Rabu, 7 Ogos 2013

SALAM LEBARAN 1424H

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua penunjuk perasaan anti rampasan kuasa di Mesir. Sesungguhnya umat Islam Mesir yang demokratik iaitu yang memilih dan mempertahankan ketua mereka dengan proses demokratik adalah paling layak meraikan kemenangan Ramadhan pada Syawal tahun ini.
Kesanggupan mereka mempertahankan hak dalam kesukaran berpuasa sebulan Ramadhan dan tidak putus asa biar pun nyawa menjadi taruhan adalah teladan bagi seluruh umat Islam.
Jika mahu bicara tentang perjuangan, maka umat Islam Mesir yang menyokong Mursi dan menentang rampasan kuasa tentera adalah pejuang tulen.
Adalah amat sukar umat Islam yang berkurun lamanya hidup dalam kelekaan akibat pengaruh modenisme dan konsumerisme tajaan barat untuk bangkit mempertahankan kebenaran dengan penuh istiqamah. Umat Islam yang secara kolektif sedar tentang adanya musuh yang tidak pernah tidur sesungguhnya tidak ramai bahkan yang majoritinya memang sedia menyuakan tengkok untuk dipergunakan oleh musuh. Hakikatnya seorang muslim yang sedar bahawa selama ini mereka adalah bebal dan sering diperbodohkan amat sedikit jumlahnya. Sesungguhnya benarlah umat Islam yang tidak berkualiti umpama buih-buih di pantai -kelihatannya banyak tetapi semuanya fatamorgana - tidak berkualiti.
Sempena Syawal ini eloklah kita belajar sesuatu dari sahabat sebenar kita yang betul-betul memahami Islam sebagai ad-din, yang bersifat wasatiyah dan yang sabar serta sentiasa menyebarkan kebenaran.

Selamat Hari Raya sahabat-sahabatku ikhwanul muslimin di Mesir dan di mana jua saudara berada. Allahu akbar walillahilham.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan