Ahad, 23 Ogos 2009

PPSMI : TIDAK AKAN SELESAI

Ada yang bertanya apa perlunya dihapuskan PPSMI kerana ia satu kebaikan. Ada yang kecewa dengan keputusan kerajaan tersebut dan berteriak agar dikekalkan. Namun hakikatnya mereka tidak akan terlalu kecewa sebagaimana pihak yang menentang PPSMI. Setelah diumumkan pemansuhan PPSMI pada 2012, rupanya tahun tersebut adalah permulaan bagi satu proses 'pendaratan lembut' yang akan selesai sepenuhnya pada tahun 2017. Malaysiakini memetik Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom "memberikan amaran mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar dua matapelajaran itu sepenuhnya dalam bahasa Malaysia sebelum 2012. Seterusnya antara tahun 2012 hingga 2016 akan terus ada amaran seumpama itu. Jangan berasa kecewa wahai golongan yang menyokong PPSMI- hak kamu masih terbela!
Memang PPSMI tidak akan selesai dengan mudah. Ada yang sudah membuat anggapan hal ini berkaitan langsung dengan kontrak niaga. Ada 'pencetak duit' akan terganggu dengan pemansuhan ini. Abaikan hal itu kerana siapa pun yang terlibat dengan 'kontrak duit' sebegitu mereka tidak pernah pun fikirkan kelangsungan hidup sesebuah bangsa. Kalau mereka Melayu sekali pun apa yang mereka peduli. Mereka tidak berurusan berkenaan kontrak dan hal-hal buat duit bersama-sama tauke Cina dan India menggunakan bahasa Melayu. Mereka meyakini sepenuhnya yang bahasa Inggeris lebih 'afdal' dalam urusan bisnis. Bahasa ibunda adalah sampah dan hina sama seperti hinanya ibu mereka di kampung yang tidak tahu bercakap bahasa Inggeris. Bagi yang lahir dalam budaya bahasa Inggeris lebih-lebih lagilah keterujaan mereka kepada bahasa Inggeris.
Patut diulangi bahawa persoalan bahasa ini amat berkait dengan apa yang ada dalam jiwa sesuatu bangsa. Jika bangsa Melayu 1Malaysia lebih hormat dan kagum kepada bahasa Inggeris dan rasa 'inferior' jika tidak mampu bercakap bahasa Inggeris maka bahasa Melayu 1Malaysia akan ditolak ke tepi. Memang ada pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran yang mungkin amat mencintai Bahasa Melayu tetapi apakan daya asakan politik dan bisnis lebih kuat dan mereka perlu 'berdiam' sekejap dalam situsai gawat ini. Jangan persalahkan pegawai kerana mereka hanya menurut perintah. Pegawai pelajaran keadaannya terhimpit samalah seperti seorang mufti dalam negera sekular. Kalau beliau tidak bekerjasama dengan kerajaan sekular tersebut ditakuti akan lebih besar mudaratnya kepada umat. Dalam keterpaksaan mufti yang alim terpaksa 'bersekongkol' dengan pembesar taghut dan zalim demi meminimumkan kerosakan kepada umatnya. Kalaulah pegawai pelajaran tidak mahu jadi pegawai untuk uruskan pendidikan adalah dibimbangi kekosongan tersebut akan diisi oleh pegawai dari syarikat multinasional atau IMF yang hanya tahu buat duit dan kira untung- dan tempatnya di Kementerian Pelajaran amatlah sesuai kerana itu adalah gubuk duit negara.
Maka barangkali dengan duduknya pegawai pelajaran di sana maka berlaku usaha memenuhkan kehendak semua pihak secara seimbang. Maka dengan sebab itulah timbulnya istilah 'pendaratan lembut'. Penyokong PPSMI tidak akan terlalu kecewa dan penentangnya pun tahu PPSMI akan terhapus jua. Apa yang masing-masing pihak tidak sedar ialah satu kelompok dari generasi kita semakin terdedah kepada krisis. Mereka kehilangan jiwa 1Malaysia kerana ilmu di dada mereka dilengkapkan dengan ketakjuban kepada bangsa penjajah dan mereka kembali terjajah. Cebisan inilah yang nantinya yang akan berkata "kami jadi anak bangsa yang maju kerana kami belajar sains dalam bahasa Inggeris". Jika kita belum menemui ajal marilah kita sama-sama saksikannya pada pentas pendidikan 2050 nanti.

Sabtu, 15 Ogos 2009

PPSMI : PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

Siapa dan bagaimanakah perjuangan yang berkaitan dengan PPSMI? Ada 2 kelompok pejuang PPSMI kini iaitu pertama mahu kekalkan PPSMI dan yang kedua mahu hapuskan PPSMI. Pejuang pihak kedua dikatakan pejuang bahasa kebangsaan dicampur pejuang bahasa ibunda iaitu bahasa Cina dan Tamil. Pejuang bahasa Tamil tidak dapat didengari 'kevokalan' mereka kerana bahasa Tamil bukan lagi bahasa yang digemari oleh orang India di 1Malaysia ini. Maka pejuang bahasa yang bersungguh barangkali hanyalah pejuang bahasa Melayu dan bahasa orang Cina.
Pihak yang pertama yang mahu kekalkan PPSMI pastilah diketuai oleh Dr. Mahathir, manakala pengikut-pengikutnya terdiri daripada warga 'elit kotaraya'. Maksud elit di sini ialah mereka punyai banyak wang dan harta. Mereka nampak budiman dan berhemah kerana rumah yang hebat dan harta yang banyak. Mereka yang muslimnya yang belum tentu solat dengan ikhlas dan faham erti takwa. Dengan wang itu mereka gunakan untuk belajar bahasa Inggeris bagi menambahkan nilai elit mereka. Mereka bergaul dengan orang yang mampu atau mahu serta gemar bercakap English. Mereka tidak kenal beras, ayam, ikan temenung, lada, minyak dan air. Mereka ke pasar membeli sugar, rice, fish, chilly and cooking oil. Cina di pasar pun meraikan mereka dengan harapan barang akan laku. Mereka menjadi begitu ekslusif dalam kelompok kejiranan mereka. Sebab itu mereka tidak faham kesulitan anak-anak yang sebangsa di hulu dan kampung tentang proses penguasaan bahasa Inggeris atau apa-apa sahaja bahasa asing selain bahasa ibunda. Sebab itulah mereka sokong PPSMI. Mereka jadi seronok dan ghairah kerana PPSMI ternyata meningkatkan 'esteem diri' mereka. Pedulikan bahasa kebangsaan kerana siapa yang akan pandang bahasa yang jelek dan rendah dari kampung itu.
Pejuang bahasa pula melihat potensi bahasa sendiri yang diyakini mampu berkembang dan menjadi wahana untuk mengintegrasikan pelbagai kelompok etnik yang membentuk 1Malaysia. Pejuang bahasa memang yakin tentang kepentingan bahasa Inggeris tetapi dek kerana 'kebesaran jiwa' mereka, bahasa kebangsaan perlulah diutamakan, ditampilkan dan dijadikan salah satu bahasa utama dunia. Faktanya bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa ke-5 terbesar di dunia selepas 1.Bahasa Inggeris(1.4 bilion penutur) 2.Bahasa Cina(lebih 1 bilion penutur)3.Bahasa Hindi(700 juta penutur) 4.Bahasa Sepanyol(300 juta penutur). Bahasa Melayu dengan lebih 280 juta penutur ternyata mengatasi bahasa penting dunia seperti Perancis, Jepun dan Jerman.
Bahasa akan terus hidup dan berkembang bila penutur asalnya berkembang biak seperti orang Cina dan India, dijadikan bahasa ilmu khususnya ilmu sains dan teknikal seperti yang dibuat bahasa Inggeris dan Perancis, atau berkembang dalam ekonomi seperti dibuat oleh orang Jepun atau melalui kekuatan politik seperti Rusia dan Inggeris. Satu fakta yang amta menarik ialah bahasa Melayu satu-satunya bahasa utama dunia yang berkembang di luar sempadan asalnya tanpa melalui penjajahan. Ertinya bahasa Melayu adalah bahasa yang berkembang secara murni tanpa paksaan. Inilah yang perlul dirasai dan dihargai oleh pemiliknya.
Jika pada peringkat awal lagi perkembangan bahasa dicantas dan digantikan dengan bahasa lain dalam proses pendidikan mana mungkin bahasa itu akan terus berkembang. Ibubapa di sekolah-sekolah kawasan kejiranan elit metropolitan pasti terlepas pandang hal ini kerana bahasa harian mereka adalah bahasa Inggeris. Mereka selesa dan ada 'superior' dengan keadaan begitu, maka mereka tetap sokong PPSMI. Mereka yakin semua orang boleh berbahasa Inggeris termasuk penjual ikan di pasar-pasar. Mereka barangkali tidak sedar yang para peniaga akan gunakan apa sahaja bahasa demi kepentingan perniagaan mereka. Apakah peniaga yang sama akan gunakan bahasa Inggeris di Quebec atau di Jeddah atau di Dili? Pergilah tinjau di sana untuk dapatkan jawapannya. Ibubapa yang merasakan mereka elit sebenarnya terpukau dan tertipu dengan suasana sekitar dan gagal menyuluh diri melihat apa yang sebenar. Mereka tidak sedar pun bahawa bahasa kebangsaan adalah untuk bangsa yang berjiwa besar. Mereka rasa mereka besar tetapi hakikatnya jiwa mereka bersifat hamba. Tuan Kapitalis dan Tuan Fuedal Baru telah membius akal mereka dan mengajarkan bahawa anak-anak di luar kota yang tidak tahu 'speak in English' adalah lekeh, kotor, hina dan mundur. Kalau orang kampung mahu teruskan belajar Matematik dalam bahasa Melayu teruskanlah kerana mereka itu tidak mahu bersaing di peringkat global.
Dr Mahathir pun berfikir sedemikian. Anak Melayu gagal bersaing dengan anak Cina kerana tidak boleh bercakap Inggeris dan Mandarin. Namun sebagai 'Melayu' Dr. Mahathir gagal menggunakan 'kelebihan' yang ada untuk mengenakan orang Cina dengan dasar bahasa yang berwibawa secara berterusan. Dr Mahathir mahu nyahkan bahasa Melayu dan ertinya Dr Mahathir mahu jadikan orang Melayu sebagai bangsa baharu yang bersifat global -yang menggunakan bahasa Inggeris. Apa yang Dr Mahathir tidak sedar atau tidak mahu faham ialah sesungguhnya orang Melayu yang baharu tetap boleh bersaing dengan menggunakan bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu. Beliau barangkali antara 'negarawan yang kecil jiwanya', yang tidak yakin terhadap diri dan bangsa sendiri. Kelihatannya kerakusan politiklah yang memberikan ruang kpeadanya untuk dinobatkan sebagai 'negarawan' . Ini realiti politik bangsa terjajah dan pewaris fuedal. Sanjungan setinggi-tingginya diberi kepada pemadat dan pewaris pemikiran jiwa hamba. Kalau bukan negarawan apa pula gelar yang selayaknya diberikan kepada anak bangsa yang memperlekehkan bahasa sendiri?
Sama ada sokong atau bantah PPSMI -semuanya perjuangan yang belum selesai. Kepada pemimpin dan politikus 1Malaysia, pilihlah sama ada mahu jadi 'bangsawan' atau 'pengkhianat'.

Jumaat, 14 Ogos 2009

PR AKAN BUNGKUS PRU13?

Membaca persepsi pemerhati politik maya seolah-olahnya UBN begitu nazak sekali dan nafas yang berbaki kini ibarat 'nyawa-nyawa ikan' sahaja. UMNO nampaknya begitu teruk dan ditolak oleh majoriti rakyat - yang senyap mahu pun yang berdegar-degar laungan suara penolakan mereka. Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat tempat dan popular di seluruh semenanjung khususnya. Jika kita sering hadir ceramah-ceramah isu semasa ahli politik PR begitulah jua yang dinyatakan dan pohon agar dirasakan oleh para pendengar. Hakikatnya bagaimana pula? Betulkah begitu atau sekadar keyakinan orang politik? Apakah sekadar dijadikan motif untuk menggerakkan massa agar tetap bersama PR? Apakah itu sekadar kata-kata tanpa makna?
Tidak kurang juga pemerhati yang melihat PR akan bungkus dalam pertarungan PRU13 nanti. Rakyat yang menghakimi sayembara politik di Malaysia 'rata-ratanya' atau majoritinya:
1) Bukan pengikut tegar atau menganggotai parti politik. Daripada 11 juta pengundi berapa ramaikah yang menjadi ahli parti poltik? Kalau dapat 50% dikirakan hebatlah.
2) Jika menonton tv mereka lebih gemar terlibat langsung dengan undian Akademi Fantasia (AFundi), Premier League, Gadis Melayu dan Panggung Sabtu. Bagi yang percayakan berita propaganda UBN mereka itu adalah sebahagian dari UBN itu sendiri. Yang lainnnya tidak melihat berita-berita kerajaan kerana tidak percaya dan ketinggalan zaman berbanding Astro.
3) Lebih gemar bekerja mencari 'makan' dan 'duit' untuk hidup. Pedulikan kebebasan bersuara, hak asasi manusia, politik baru dan sebagainya. Jangan susahkan polis jika tidak mahu hidup susah. Rakyat Malaysia sangat 'simplistik' akal dan tindakannya. Dalam akidah mereka fuedalisme itu memang masih wujud dalam bentuk baru walau pun mereka tidak faham pun apakah itu neo-feudal.
4) Anak muda dan mahasiswa telah 'dikasi' kekuatan batin dan idealisme mereka supaya mereka jadi ulat buku, mat rempit, penyangak, pelepak dan hanya fikir mahu hidup senang lenang dalam negara merdeka ini. Sahlah memang anak muda kita berjiwa merdeka. "Boleh jalanlah 1Malaysia -itu poyo apa pula tu?", Tanya sesama mereka. Mereka lebih selesa berurusan antara laptop dan pendrive yang berlambak dan bersedia siang dan malam. Kepala orang tua sudah berhabuk dengan virus, RAM lambat dan mother board sudah usang!
5) Lebih selesa meraikan budaya pemodal iaitu 'konsumerisme' dan life style hedonistik agar dapat merasai hidup ini sepuas-puasnya. Jangan marahkan rakyat sendiri kerana mereka adalah pewaris bagi semua itu. Siapa lagi yang patut jadi begitu jika bukan anak-anak bangsa yang pernah terjajah. Apa mereka tahu tentang demokrasi dan citra bangsa berjiwa besar?
Itu sebahagian dari senario yang ada di hadapan kita. Rakyat 1Malaysia adalah diyakini akan gagal memahami demokrasi yang sebenarnya. Mereka akan mengikut arus dan buat pilihan tanpa renungan akal yang betul. Percayalah!
Rakyat yang marhaen sifatnya ditambah miskin akal budi, yang gelap mata dengan asakan materialisme, yang diancam neo-feudal, yang simplistik dan malas berfikir -semuanya itu tidak akan menyemarakkan demokrasi dan kebebasan bersuara. Rakyat yang begitu sifatnya dan majoriti pula jumlahnya akan hanya meletihkan para pejuang dan pemadat demokrasi atau politik baru. Mereka tidak berpeluang diasuh dan dididik dengan harapan masa depan yang gemilang di segenap takah pendidikan mereka. Mereka hanya akan jadi pengikut semata-mata dan yang malang mereka hanya mengikut sesedap rasa, tanpa budaya fikir dan kebebasan akal yang sebenar. Itulah gejala yang akan membawa kepada keputusan PR akan tewas semula dalam PRU13 nanti. Barangkali seabad lagi pun jika budaya akal yang bebas dan sihat tidak diterap dalam diri rakyat maka UBN akan terus berpesta dalam demokrasi yang tempang ini. Bersedialah untuk teruskan perjuangan dengan pengisian politik baru tanpa jemu. Kemenangan sahaja belum memadai jika perjuangan tidak terisi secara bermakna!

Isnin, 10 Ogos 2009

MELAYU SOKONG PPSMI

Ibubapa pelajar SMK Seri Hartamas naik berang terhadap arahan yang melarang mereka menyuarakan bantahan terhadap keputusan untuk memansuhkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dijadual diadakan di sekolah itu pagi tadi, tetapi Jabatan Pendidikan, melalui pihak sekolah, memutuskan ianya tidak sah untuk diadakan.
Walaupun tidak dapat mengadakan mesyuarat tersebut, mereka mengadakan undian di kalangan ibubapa sama ada mereka mahu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris diteruskan di sekolah tersebut. Sebanyak 553 undi dikira dan 97 peratus menyokongnya. Sebanyak 1,310 kertas undi diedarkan kepada pelajar untuk diserahkan kepada ibu bapa mereka. -Sumber Malaysiakini
Apa lagi yang patut dikatakan terhadap Melayu di tanahair 1Malaysia ini? Melayu yang tinggal menetap di 'kejiranan penuh bertamadun' rupa-rupanya sangat tidak yakin dengan kemampuan bahasa asal marga mereka. Pemimpin ibubapa Melayu di situ dengan gaya berambut perangnya, pasti sekali mencerminkan pemikirannya dan perasaannya adalah berkiblatkan bangsa asal berambut perang. Ini bukan tuduhan atau agakan semata-mata. Ini berlandaskan fakta ilmu psikologi. Mengikut Adler, manusia akan sentiasa bergerak dari 'inferior' kepada superior. Perubahan emosi dan pemikiran mereka dicerminkan melalui 'life-style' dan matlamatnya sering berpaksikan 'fictional finalism'. Manusia yang terjajah akan menghormati pihak yang pernah menjajah mereka. Anak-anak yang terjajah jiwa mereka kecil, tidak berani memberikan alternatif dan pandangan sebaliknya. Matlamat mereka adalah mahu jadi seperti mantan tuan mereka. Itulah matlamat yang hebat bagi mereka. Jika tidak dilahirkan berambut perang maka tindakan mewarnakan dengan warna perang juga adalah satu kepuasan agar dapat menghampiri 'kehebatan' warna rambut bekas tuan mereka
Malang sungguh bagi 'anak Melayu' ini kerana mereka dijajah oleh 'company' luar dari Eropah dan gerombolan fuedal anak tempatan sendiri. Sebab itulah mereka gagal menjadi bangsa yang berjiwa besar. Mereka yang lelakinya hanya suka membesar-besarkan cerita mengenai kehebatan seks masing-masing. Mereka rasa ada superior dengan citra 'kejituan dan peri kehebatan' alat kelamin masing-masing sahaja. Itulah sahaja caranya untuk meningkatkan penghargaan kendiri yang ada pada mereka. Mereka hanya berani memperlekehkan isteri-isteri mereka dengan jalan kehebatan seks mereka. Mereka puas dan jadi superior dengan cara begitu. Mereka akan tunduk kepada tauke besar yang baik dan pemurah, mereka akan patuh kepada juak-juak istana pengutip cukai. Bagi golongan wanita yang dilepaskan dari dapur, yang diberikan peluang pendidikan mereka begitu mudah dihasut juak-juak feminisme yang akhirnya menjadikan mereka penderhaka. Mereka menderhaka kepada hukum agama dan institusi penegaknya dan tentu sekali kepada kaum lelaki -suami masing-masing. Bagi mereka kuasa talak kepada suami adalah tidak adil. Hanya inilah sumber superior yang ada dalam jiwa feminisme anak bangsa terjajah. Mereka tidak akan berani mencadangkan feminisme yang bermatlamatkan kehormatan wanita. Mereka hanya menuruti sahaja idea kebebasan wanita untuk bergaul, membuat keputusan dan untuk hidup yang dicadangkan tuan-tuan mereka dari barat - kerana bangsa barat lebih hebat dan bangsa sendiri sampai kiamat pun tidak akan jadi hebat. Bangsa sendiri rendah kerana bahasa dan budayannya rendah.
Dilema anak bangsa terjajah inilah yang dipaparkan oleh sebahagian besar 'anak-anak elit metropolitan'. Mereka rasa hebat dengan bahasa dan budaya bangsa yang pernah menjajah mereka. Mereka rasa bangga bila boleh berbual dan bergelak ketawa dengan menggunakan bahasa sang penjajah. Mereka tidak sedar pun merekalah yang menggadai maruah bangsa konon atas nama 'globalisasi, persaingan dan kemajuan pasca moden.
Apa lagi yang patut dikatakan kepada mereka semua? Mereka gemarkan bahasa asing, budaya hidup bangsa asing dan mereka tidak merasakan itu satu keasingan. Mereka meluat dengan tulisan jawi, mereka rasa nak termuntah membaca dan menulis dalam bahasa ibunda sendiri. Mereka juga yang pastinya akan bersama-sama Ibrahim Ali menyokong akta warisan penjajah yang sudah ditolak itu. Merekalah inilah yang satu ketika dahulu begitu meluat dan menyampah terhadap lelaki islam yang berjanggut kerana mengamalkan sunnah rasul. Dan anak-anak muda dari kalangan mereka inilah juga yang hari ini merasa amat selesa dan bangga berjanggut sejemput kerana mengambil teladan dari Linkin Park! Kah..kah..kah..kah..kah. mereka sudah ikut sunnah rupanya sekarang!
Sila sampaikan kepada Melayu moden itu.

KETAHUI LANJUT MENGENAI H1N1

Dipetik dari http://papa-umar.blogspot.com/

Be careful with H1N1. Virus tu very STRONG... Pesakit yang kena memang SUFFER nak RECOVER... NO VAKSIN.. Cuma ada Anti-Viral & Psylogi Mental pesakit itu sendiri untuk MELAWAN.
Beginner Stage
Batuk, selsema, demam, sakit tekak, bila terbesin bunyi tak kuat.
Second Stage
Susah bernafas, simptom macam asthma but not asthma, at this stage if you touch the person, or breath in the same room 80% boleh kena... Masa ni kena kuarantinat hospital. Masalahnya sekarang dah ramai yg kena.. Hospital tak cukup katil & bilik kuarantin.
Critical Stage
Lung infection. Bila X-Ray we can see the virus covered the lung. Very scary bila tengok x ray Pesakit H1N1. At this stage pesakit need oksigen with highest level, Strongest Anti-Vral.. very high drug. At least 7 days oksigen kena bagi. % to recover depend to age, immune badan pesakit.
Virus H1N1 ni VERY genius virus.. Can HIDE in our body (Pandai main SOROK-SOROK)... Difficult to detect. Only can detect thru swap which the cost is RM1k above. Unable detected in blood as well.. When they start action...Can kill the person if the body imune does not strong. For those have baby atau anak2, U & ur family do not go to crowded place, better WEAR MASK when u outside from home. The vaksin will come to Msia in Nov-Dec 2009. So far, hanya lelaki dewasa can fight the virus.... woman might be 70%, children most probably payah nak lawan virus ni.Take care You & Your Family.
[Note : Kepada para Bloggers friends, forwardkanlah PERINGATAN ini untuk semua kawan-kawan kita yang lain. Sesunggunya, H1N1 ini merupakan satu bala dari Allah untuk mengingatkan kita kembali kepadaNYA].
Posted by Abu Umar at 1:57 AM
Sedikit ulasan saya:
Bagi yang tiada pegangan kepada Yang Maha Kuasa maka ketakutan kepada Influnnza A (H1N1) adalah keutamaannya. Maka dengan sebab itulah kelihatan sesetengah manusia menjadi panik, sentiasa takut, bimbang, mendesak pihak lain dan menjauhi komuniti.
Banyak-banyaklah memohon keampunan dan berdoalah kepada Yang Maha Kuasa agar dapat dijauhi bala ini. Memang sains mengatakan ini adalah wabak dan hanya sains sahaja yang mampu selesaikan. Maka teruskan usaha-usaha bersifat sains itu manakala yang tidak berupaya
sebagaimana saintis berdoalah. Jangan jadi bongkak dan besar diri berhadapan kuasa hebat yang tidak nampak pada pandangan mata. Kepada manusia yang punyai kuasa dan sains sehebat Yang Maha Kuasa hidupkanlah kembali mereka yang telah mati akit H1N1 itu -jika mahu nafikan atau tandingi kuasa Yang Maha Kuasa itu!