Jumaat, 14 Ogos 2009

PR AKAN BUNGKUS PRU13?

Membaca persepsi pemerhati politik maya seolah-olahnya UBN begitu nazak sekali dan nafas yang berbaki kini ibarat 'nyawa-nyawa ikan' sahaja. UMNO nampaknya begitu teruk dan ditolak oleh majoriti rakyat - yang senyap mahu pun yang berdegar-degar laungan suara penolakan mereka. Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat tempat dan popular di seluruh semenanjung khususnya. Jika kita sering hadir ceramah-ceramah isu semasa ahli politik PR begitulah jua yang dinyatakan dan pohon agar dirasakan oleh para pendengar. Hakikatnya bagaimana pula? Betulkah begitu atau sekadar keyakinan orang politik? Apakah sekadar dijadikan motif untuk menggerakkan massa agar tetap bersama PR? Apakah itu sekadar kata-kata tanpa makna?
Tidak kurang juga pemerhati yang melihat PR akan bungkus dalam pertarungan PRU13 nanti. Rakyat yang menghakimi sayembara politik di Malaysia 'rata-ratanya' atau majoritinya:
1) Bukan pengikut tegar atau menganggotai parti politik. Daripada 11 juta pengundi berapa ramaikah yang menjadi ahli parti poltik? Kalau dapat 50% dikirakan hebatlah.
2) Jika menonton tv mereka lebih gemar terlibat langsung dengan undian Akademi Fantasia (AFundi), Premier League, Gadis Melayu dan Panggung Sabtu. Bagi yang percayakan berita propaganda UBN mereka itu adalah sebahagian dari UBN itu sendiri. Yang lainnnya tidak melihat berita-berita kerajaan kerana tidak percaya dan ketinggalan zaman berbanding Astro.
3) Lebih gemar bekerja mencari 'makan' dan 'duit' untuk hidup. Pedulikan kebebasan bersuara, hak asasi manusia, politik baru dan sebagainya. Jangan susahkan polis jika tidak mahu hidup susah. Rakyat Malaysia sangat 'simplistik' akal dan tindakannya. Dalam akidah mereka fuedalisme itu memang masih wujud dalam bentuk baru walau pun mereka tidak faham pun apakah itu neo-feudal.
4) Anak muda dan mahasiswa telah 'dikasi' kekuatan batin dan idealisme mereka supaya mereka jadi ulat buku, mat rempit, penyangak, pelepak dan hanya fikir mahu hidup senang lenang dalam negara merdeka ini. Sahlah memang anak muda kita berjiwa merdeka. "Boleh jalanlah 1Malaysia -itu poyo apa pula tu?", Tanya sesama mereka. Mereka lebih selesa berurusan antara laptop dan pendrive yang berlambak dan bersedia siang dan malam. Kepala orang tua sudah berhabuk dengan virus, RAM lambat dan mother board sudah usang!
5) Lebih selesa meraikan budaya pemodal iaitu 'konsumerisme' dan life style hedonistik agar dapat merasai hidup ini sepuas-puasnya. Jangan marahkan rakyat sendiri kerana mereka adalah pewaris bagi semua itu. Siapa lagi yang patut jadi begitu jika bukan anak-anak bangsa yang pernah terjajah. Apa mereka tahu tentang demokrasi dan citra bangsa berjiwa besar?
Itu sebahagian dari senario yang ada di hadapan kita. Rakyat 1Malaysia adalah diyakini akan gagal memahami demokrasi yang sebenarnya. Mereka akan mengikut arus dan buat pilihan tanpa renungan akal yang betul. Percayalah!
Rakyat yang marhaen sifatnya ditambah miskin akal budi, yang gelap mata dengan asakan materialisme, yang diancam neo-feudal, yang simplistik dan malas berfikir -semuanya itu tidak akan menyemarakkan demokrasi dan kebebasan bersuara. Rakyat yang begitu sifatnya dan majoriti pula jumlahnya akan hanya meletihkan para pejuang dan pemadat demokrasi atau politik baru. Mereka tidak berpeluang diasuh dan dididik dengan harapan masa depan yang gemilang di segenap takah pendidikan mereka. Mereka hanya akan jadi pengikut semata-mata dan yang malang mereka hanya mengikut sesedap rasa, tanpa budaya fikir dan kebebasan akal yang sebenar. Itulah gejala yang akan membawa kepada keputusan PR akan tewas semula dalam PRU13 nanti. Barangkali seabad lagi pun jika budaya akal yang bebas dan sihat tidak diterap dalam diri rakyat maka UBN akan terus berpesta dalam demokrasi yang tempang ini. Bersedialah untuk teruskan perjuangan dengan pengisian politik baru tanpa jemu. Kemenangan sahaja belum memadai jika perjuangan tidak terisi secara bermakna!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan