Ahad, 23 Ogos 2009

PPSMI : TIDAK AKAN SELESAI

Ada yang bertanya apa perlunya dihapuskan PPSMI kerana ia satu kebaikan. Ada yang kecewa dengan keputusan kerajaan tersebut dan berteriak agar dikekalkan. Namun hakikatnya mereka tidak akan terlalu kecewa sebagaimana pihak yang menentang PPSMI. Setelah diumumkan pemansuhan PPSMI pada 2012, rupanya tahun tersebut adalah permulaan bagi satu proses 'pendaratan lembut' yang akan selesai sepenuhnya pada tahun 2017. Malaysiakini memetik Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom "memberikan amaran mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar dua matapelajaran itu sepenuhnya dalam bahasa Malaysia sebelum 2012. Seterusnya antara tahun 2012 hingga 2016 akan terus ada amaran seumpama itu. Jangan berasa kecewa wahai golongan yang menyokong PPSMI- hak kamu masih terbela!
Memang PPSMI tidak akan selesai dengan mudah. Ada yang sudah membuat anggapan hal ini berkaitan langsung dengan kontrak niaga. Ada 'pencetak duit' akan terganggu dengan pemansuhan ini. Abaikan hal itu kerana siapa pun yang terlibat dengan 'kontrak duit' sebegitu mereka tidak pernah pun fikirkan kelangsungan hidup sesebuah bangsa. Kalau mereka Melayu sekali pun apa yang mereka peduli. Mereka tidak berurusan berkenaan kontrak dan hal-hal buat duit bersama-sama tauke Cina dan India menggunakan bahasa Melayu. Mereka meyakini sepenuhnya yang bahasa Inggeris lebih 'afdal' dalam urusan bisnis. Bahasa ibunda adalah sampah dan hina sama seperti hinanya ibu mereka di kampung yang tidak tahu bercakap bahasa Inggeris. Bagi yang lahir dalam budaya bahasa Inggeris lebih-lebih lagilah keterujaan mereka kepada bahasa Inggeris.
Patut diulangi bahawa persoalan bahasa ini amat berkait dengan apa yang ada dalam jiwa sesuatu bangsa. Jika bangsa Melayu 1Malaysia lebih hormat dan kagum kepada bahasa Inggeris dan rasa 'inferior' jika tidak mampu bercakap bahasa Inggeris maka bahasa Melayu 1Malaysia akan ditolak ke tepi. Memang ada pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran yang mungkin amat mencintai Bahasa Melayu tetapi apakan daya asakan politik dan bisnis lebih kuat dan mereka perlu 'berdiam' sekejap dalam situsai gawat ini. Jangan persalahkan pegawai kerana mereka hanya menurut perintah. Pegawai pelajaran keadaannya terhimpit samalah seperti seorang mufti dalam negera sekular. Kalau beliau tidak bekerjasama dengan kerajaan sekular tersebut ditakuti akan lebih besar mudaratnya kepada umat. Dalam keterpaksaan mufti yang alim terpaksa 'bersekongkol' dengan pembesar taghut dan zalim demi meminimumkan kerosakan kepada umatnya. Kalaulah pegawai pelajaran tidak mahu jadi pegawai untuk uruskan pendidikan adalah dibimbangi kekosongan tersebut akan diisi oleh pegawai dari syarikat multinasional atau IMF yang hanya tahu buat duit dan kira untung- dan tempatnya di Kementerian Pelajaran amatlah sesuai kerana itu adalah gubuk duit negara.
Maka barangkali dengan duduknya pegawai pelajaran di sana maka berlaku usaha memenuhkan kehendak semua pihak secara seimbang. Maka dengan sebab itulah timbulnya istilah 'pendaratan lembut'. Penyokong PPSMI tidak akan terlalu kecewa dan penentangnya pun tahu PPSMI akan terhapus jua. Apa yang masing-masing pihak tidak sedar ialah satu kelompok dari generasi kita semakin terdedah kepada krisis. Mereka kehilangan jiwa 1Malaysia kerana ilmu di dada mereka dilengkapkan dengan ketakjuban kepada bangsa penjajah dan mereka kembali terjajah. Cebisan inilah yang nantinya yang akan berkata "kami jadi anak bangsa yang maju kerana kami belajar sains dalam bahasa Inggeris". Jika kita belum menemui ajal marilah kita sama-sama saksikannya pada pentas pendidikan 2050 nanti.

1 ulasan:

  1. Dulu anak2 kurang pandai dalam 1 matapelajaran sahaja; English, sekarang ramai anak2 kita kurang pandai dala 3 matapelajaran; Science, Maths n English + 1 matapelajaran bonus; BM.
    Habis haru-biru anak2 Malaysia terutama anak2 Melayu Islam..
    Aku tak percaya langsung kalau tak ada kaedah lain nak majukan English n dalam masa yang sama Science n Maths juga maju...

    BalasPadam