Sabtu, 15 Ogos 2009

PPSMI : PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

Siapa dan bagaimanakah perjuangan yang berkaitan dengan PPSMI? Ada 2 kelompok pejuang PPSMI kini iaitu pertama mahu kekalkan PPSMI dan yang kedua mahu hapuskan PPSMI. Pejuang pihak kedua dikatakan pejuang bahasa kebangsaan dicampur pejuang bahasa ibunda iaitu bahasa Cina dan Tamil. Pejuang bahasa Tamil tidak dapat didengari 'kevokalan' mereka kerana bahasa Tamil bukan lagi bahasa yang digemari oleh orang India di 1Malaysia ini. Maka pejuang bahasa yang bersungguh barangkali hanyalah pejuang bahasa Melayu dan bahasa orang Cina.
Pihak yang pertama yang mahu kekalkan PPSMI pastilah diketuai oleh Dr. Mahathir, manakala pengikut-pengikutnya terdiri daripada warga 'elit kotaraya'. Maksud elit di sini ialah mereka punyai banyak wang dan harta. Mereka nampak budiman dan berhemah kerana rumah yang hebat dan harta yang banyak. Mereka yang muslimnya yang belum tentu solat dengan ikhlas dan faham erti takwa. Dengan wang itu mereka gunakan untuk belajar bahasa Inggeris bagi menambahkan nilai elit mereka. Mereka bergaul dengan orang yang mampu atau mahu serta gemar bercakap English. Mereka tidak kenal beras, ayam, ikan temenung, lada, minyak dan air. Mereka ke pasar membeli sugar, rice, fish, chilly and cooking oil. Cina di pasar pun meraikan mereka dengan harapan barang akan laku. Mereka menjadi begitu ekslusif dalam kelompok kejiranan mereka. Sebab itu mereka tidak faham kesulitan anak-anak yang sebangsa di hulu dan kampung tentang proses penguasaan bahasa Inggeris atau apa-apa sahaja bahasa asing selain bahasa ibunda. Sebab itulah mereka sokong PPSMI. Mereka jadi seronok dan ghairah kerana PPSMI ternyata meningkatkan 'esteem diri' mereka. Pedulikan bahasa kebangsaan kerana siapa yang akan pandang bahasa yang jelek dan rendah dari kampung itu.
Pejuang bahasa pula melihat potensi bahasa sendiri yang diyakini mampu berkembang dan menjadi wahana untuk mengintegrasikan pelbagai kelompok etnik yang membentuk 1Malaysia. Pejuang bahasa memang yakin tentang kepentingan bahasa Inggeris tetapi dek kerana 'kebesaran jiwa' mereka, bahasa kebangsaan perlulah diutamakan, ditampilkan dan dijadikan salah satu bahasa utama dunia. Faktanya bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa ke-5 terbesar di dunia selepas 1.Bahasa Inggeris(1.4 bilion penutur) 2.Bahasa Cina(lebih 1 bilion penutur)3.Bahasa Hindi(700 juta penutur) 4.Bahasa Sepanyol(300 juta penutur). Bahasa Melayu dengan lebih 280 juta penutur ternyata mengatasi bahasa penting dunia seperti Perancis, Jepun dan Jerman.
Bahasa akan terus hidup dan berkembang bila penutur asalnya berkembang biak seperti orang Cina dan India, dijadikan bahasa ilmu khususnya ilmu sains dan teknikal seperti yang dibuat bahasa Inggeris dan Perancis, atau berkembang dalam ekonomi seperti dibuat oleh orang Jepun atau melalui kekuatan politik seperti Rusia dan Inggeris. Satu fakta yang amta menarik ialah bahasa Melayu satu-satunya bahasa utama dunia yang berkembang di luar sempadan asalnya tanpa melalui penjajahan. Ertinya bahasa Melayu adalah bahasa yang berkembang secara murni tanpa paksaan. Inilah yang perlul dirasai dan dihargai oleh pemiliknya.
Jika pada peringkat awal lagi perkembangan bahasa dicantas dan digantikan dengan bahasa lain dalam proses pendidikan mana mungkin bahasa itu akan terus berkembang. Ibubapa di sekolah-sekolah kawasan kejiranan elit metropolitan pasti terlepas pandang hal ini kerana bahasa harian mereka adalah bahasa Inggeris. Mereka selesa dan ada 'superior' dengan keadaan begitu, maka mereka tetap sokong PPSMI. Mereka yakin semua orang boleh berbahasa Inggeris termasuk penjual ikan di pasar-pasar. Mereka barangkali tidak sedar yang para peniaga akan gunakan apa sahaja bahasa demi kepentingan perniagaan mereka. Apakah peniaga yang sama akan gunakan bahasa Inggeris di Quebec atau di Jeddah atau di Dili? Pergilah tinjau di sana untuk dapatkan jawapannya. Ibubapa yang merasakan mereka elit sebenarnya terpukau dan tertipu dengan suasana sekitar dan gagal menyuluh diri melihat apa yang sebenar. Mereka tidak sedar pun bahawa bahasa kebangsaan adalah untuk bangsa yang berjiwa besar. Mereka rasa mereka besar tetapi hakikatnya jiwa mereka bersifat hamba. Tuan Kapitalis dan Tuan Fuedal Baru telah membius akal mereka dan mengajarkan bahawa anak-anak di luar kota yang tidak tahu 'speak in English' adalah lekeh, kotor, hina dan mundur. Kalau orang kampung mahu teruskan belajar Matematik dalam bahasa Melayu teruskanlah kerana mereka itu tidak mahu bersaing di peringkat global.
Dr Mahathir pun berfikir sedemikian. Anak Melayu gagal bersaing dengan anak Cina kerana tidak boleh bercakap Inggeris dan Mandarin. Namun sebagai 'Melayu' Dr. Mahathir gagal menggunakan 'kelebihan' yang ada untuk mengenakan orang Cina dengan dasar bahasa yang berwibawa secara berterusan. Dr Mahathir mahu nyahkan bahasa Melayu dan ertinya Dr Mahathir mahu jadikan orang Melayu sebagai bangsa baharu yang bersifat global -yang menggunakan bahasa Inggeris. Apa yang Dr Mahathir tidak sedar atau tidak mahu faham ialah sesungguhnya orang Melayu yang baharu tetap boleh bersaing dengan menggunakan bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu. Beliau barangkali antara 'negarawan yang kecil jiwanya', yang tidak yakin terhadap diri dan bangsa sendiri. Kelihatannya kerakusan politiklah yang memberikan ruang kpeadanya untuk dinobatkan sebagai 'negarawan' . Ini realiti politik bangsa terjajah dan pewaris fuedal. Sanjungan setinggi-tingginya diberi kepada pemadat dan pewaris pemikiran jiwa hamba. Kalau bukan negarawan apa pula gelar yang selayaknya diberikan kepada anak bangsa yang memperlekehkan bahasa sendiri?
Sama ada sokong atau bantah PPSMI -semuanya perjuangan yang belum selesai. Kepada pemimpin dan politikus 1Malaysia, pilihlah sama ada mahu jadi 'bangsawan' atau 'pengkhianat'.

1 ulasan: