Selasa, 10 November 2009

INILAH MASANYA UNTUK BERJUANG

Membaca situasi politik terkini ternyata mencabar dan mendewasakan sekali gus. Mencabar kerana apa yang tergambar situasinya seolah-olah semua pihak berpecah belah - di kedua-dua front yang wujud di tanahair 1Malaysia ini. UMNO dan rakan-rakannya ada masalah dan Pakatan Rakyat pun begitu jua. Bagi pengikut yang dangkal atau bebal ilmu politiknya tentu menerima sebagai ini benar-benar terjadi tanpa mempertimbangkan bahawa itu adalah kaedah san pendekatan berpolitik. Ada ahli PAS benar-benar percaya yang kepimpinan PAS sedang berebut kuasa. Presiden mereka telah diracuni akalnya dengan sekolompok orang tertentu dan Mursyidul Amnya kini sedang membetulkan keadaan. Bagi orang-orabng Cina pula mereka merasakan semua parti yang mengaku mewakili mereka adalah tidak berguna dan pemimpin mereka asyik bercakaran berebut kuasa.

Namun semua itu bakal mendewasakan kerana selagi politik cara lama berlangsung maka selagi itulah semua kebebalan akan wujud. Politik cara lama bukan untuk kesejahteraan rakyat tetapi untuk memenuhi permintaan perut dan kemaluan para pemimpin. Barisan yang mengakui pakatan untuk rakyat pun seandainya lebih fokus kepada kepentingan parti sendiri maka mereka sama sahaja dengan gerombolan fuedal dan kapitalis yang lainnya. Mereka hanya pentingkan diri sendiri. Rakyat hanya slogan untuk menarik hidung untuk bersama-sama berjuang menentang rasuah dan ketidakadilan.

Bagaimana jalannya untuk jadi dewasa dalam situasi sebegini? Tiada lain selain kecerdikan dan ilmu yang mencukupi. Orang bodoh tetap makanan orang cerdik biar pun kekayaannya sama banyak dengan harta negaranya sendiri. Lantas bagi menjadi cerdik perlulah sentiasa berfikir, meneliti dan membaca situasi yang wujud. Berkawan dan terimalah pendapat ahli ilmu yang ikhlas dan bijaksana. Jangan jadi bebal! Keluar dari kebebalan adalah perjuangan sebenarnya!

1 ulasan: