Catatan jam 5.00 petang ini adalah sebagai satu muhasabah terhadap diri sendiri. Selanjutnya muhasabah ini diharapkan dapat dikongsi bersama oleh penelaahnya yang teliti. Fikrah ini ada kaitan dengan situasi yang melatari tempat dan masa penulis sendiri. Sekejap lagi -satu setengah jam dari sekarang- melalui jendela sisi ini, penulis akan dapat perhatikan gelagat anak-anak muda yang keluar melepak. Bermula jam 6.30 petang hingga tengah malam bahkan awal pagi- mereka alkan silih berganti akan melepak di sekitar itu.
Di luar jendela sisi penulis, di sana ada 'bus stop' baru dan ada tembok di simpang jalan. Di situlah aktiviti anak-anak muda selepas riadah fizikal mereka. Mereka yang berbual dan berlarut-larut di simpang jalan itu budak Melayu dan Islam. Paginya mereka ke laut, tengaharinya mereka tidur hingga melepasi waktu asar. Kemudian ada yang pergi sepak bola raga dan yang tidaknya terus ke 'port' itu. Mereka ada kerja dan ada duit sendiri tetapi mereka tidak produktif sedari muda lagi. Mereka bugitu simplistik. Awal pagi pergi kerja laut, siang tidur, malam berjaga dan esoknya kembali ke laut. Mereka tidak pernah terfikir atau bersidang bagaimana caranya mahu besarkan bot mereka, bagaimana mahu jadi pembekal alatan nelayan, bagaimana mahu jadi pemborong atau bagaimana mahu proses hasil laut. Bot yang rosak akan dihantar kepada mekanik cina bermata sepet atau siam yang entah dari daerah mana datangnya.
Mereka juga tidak fikirkan tentang solat, zakat dan sadaqah. Mereka hidup dengan slogan 'sempoi' (simple). Tiba masanya untuk kahwin pihak keluarga akan bertungkus lumus menanggung kos kahwin. Mereka tidak perlu fikir itu. Bila sudah beranak pinak mereka masih begitu- ada duit beli beras dan lauk, hantar anak ke sekolahdan cari duit lagi. Bini kerja memasak dan pelajaran anak-anak cikgu uruskan. Perhitungan mereka sebegitu mudah.
Imam, JKKK (termasuk juga JKKKP) juga simplistik akalnya kerana asalnya mereka begitu jua. Tiada matlamat jelas tentang kerja laut. Sekali dalam tempoh beberapa tahun mungkin mereka akan beroleh hasil ribuan ringgit dan mereka anggap itu bonus-entah dari siapa- selebihnya mereka kembali ambil mudah. Ada musibah dan masalah cari jalan selesai. Tidak perlulah teruk rancang atau simpan duit. Tidak perlu fikir untuk bersaing dengan sesiapa.
Itulah anak-anak muda yang kita punyai sekarang. Di desa mahu pun di kota besar. Mereka sangat simplistik. Tiada matlamat jelas atau 'angan-angan besar'. Lantas potensi mereka terabai begitu sahaja. Di simpang jalan dan di atas tembok itu. Perlukah anak-anak muda itu diajar sesuatu? Namun bukankah mereka sudah punya pendapatan. Setiap hari biarpun beberapa keping sahaja mereka bukan penganggur? Apa yang perlu diajarkan kepada mereka sebenarnya agar potensi mereka boleh dijelmakan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara? Menjadikan mereka pengikut memang tidak sukar tetapi menjadikan mereka dewasa dan berguna itulah tanggungjawab pemimpin. Ayuh JKKK mahun pun JKKKP , Perkida, Pewaris dan sekalian yang memimpin. Jadikan mereka belia yang berkualiti dan jangan abaikan usia muda mereka? Siapa lagi yang patut kita seru dalam hal ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan