Penantian adalah kata kerja yang bermaksud 'menunggu ketibaan sesuatu atau seseorang". Penanti pula apa maknanya? Adakah sejenis kata kerja, kata sifat atau kata nama? Ada apa-apa bendakah seperti pokok atau binatang yang bernama Penanti?
Dalam tempoh sebulan ini Penanti akan jadi tumpuan, malah satu penantian pula sebab banyak andaian menarik tentang Penanti ini. Antara telahan yang amat menarik ialah Penanti sengaja dijadikan pentas perang. Bukan perang pilihanraya atau perang poster tetapi 'perang psikologi'. Bagi yang membuat telahan sebegitu kelihatan kompleks akal dan psikologinya seakan-akan telah melepasi dinding perintang dan mampu melihat apa di sebaliknya. Ramai yang bersetuju bahawa memang itu perang psikologi dari kem pakatan rakyat dan jawaban balas dari kem sebelah pula ialah 'perang ini akan merugikan rakyat kerana terbukti hanya untuk kepentingan politik! Semua ulasan atau serang balas kini sering berpaksi atau menggunakan pembolehubah 'rakyat'. Satu anjakan akal yang semakin sihat -dari pandangan akademik!
Apa pun ulasan dan rumusajn yang ditampilkan bagi pemerhati dan pengulas ada perkara yang perlu dibereskan. Pertamanya jangan terlalu lurus dan naif mendepani kesongsangan akal politikus! Kita perlu cerdik akal untuk berwacana dan mampu berkilas kata, sama ada jelas atau berkias -syaratnya tidak sama-sama bergelumang dalam kekotoran siasah yang disengajakan itu. Keduanya walau apa pun pandangan siasah -atas sifat akademik, akal yang mengulas hendaklah memberikan kelebihan kepada rakyat dan tidak berpihak kepada mana-mana front atau sidiket. Rakyat perlu berpesta dalam demokrasi ini biar pun dipergunakan secara yang amat licik oleh akal siasah yang nakal mahu pun jujur. Kalau politikus boleh jujur maka pemilik akal yang memerhati dan menganalisis hendaklah seribu kali lebih jujur. Jujur dan amanah tetapi bukan naif dan bebal hingga boleh dipergunakan secara tidak sedar dan diperlekehkan pula oleh rakyat yang serba lekeh. Itulah kehinaan akal dan akhlak ahli ilmu yang tiada penawarnya.
Sama-sama kita nantikan 'perang dalam perang psikologi' di Penanti' dan saksikan apakah hamburan kebebalan, janji dan apa-apa sahaja tentang politik yang bakal muncul! Selepas itu ada harapan besar agar Kepala Batas juga akan jadi medan perang. Apakah Kepala Batas hanyalah sekadar penantian yang penuh siksaan? Sama-sama kita nantikan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan