Selasa, 7 April 2009

Radix

Di Malaysia biasanya orang mengenal radix sebagai satu jenama kopi yang ditandakan dengan slogan ‘Mai secawan’. Radix yang sama kini berkembang pula menjadi restoran makanan segera, nasi ayam dan hidangan masakan cina. Namun bukan itu tumpuan pembicaraan ini.
Ramai telah diberitahu yang radix itu maknanya akar. Dalam wacana yang lain radix itulah sebenarnya yang diperkembangkan menjadi radikal yang selanjutnya dikaitkan pula dengan fundamental. Fundamental dan radix adalah asas kepada sesuatu pemikiran atau ideologi. Berabad kemudian kedua-dua istilah tersebut dipergunakan pula bagi menggambarkan sesuatu yang berhaluan keras, melampau malah ganas. Itulah permainan makna yang pada asas (usul atau akarnya) sesuatu yang sangat murni tetapi menjadi terbalik pada hujung julainya.
Merujuk kepada tindakan golongan fundamental beerti keinginan untuk kembali kepada sifat asal sesuatu akidah atau pemikiran. Golongan fundamental islam umpamanya ingin kembali kepada amalan murni yang dipraktikkan pada kurun-kurun awal kemunculannya. Mereka kembali mempromosi konsep-konsep seperti ‘islam sebagai cara hidup’, ‘islam syumul’, ‘hasanah dunia dan akhirat’ dan sebagainya. Manakala kelompok yang bukan fundamental mungkin terdiri dari liberalis, terrorist, pelupa agama dan ajaran sesat yang selesa dengan bentuk agama yang tersedia kini – biar pun sudah tersasar dari ‘radix’nya.
Apa yang menariknya fundamentalis ini dikaitkan dengan radikal yang membawa makna ‘melampau’ dan dikaitkan pula dengan pengganas. Ambil contoh paling mudah iaitu cara berpakaian di mana jika perempuan islam berpakaian menutup aurat yang lengkap iaitu berjubah dan hijab –dan selanjutnya tidak mahu bersalaman dengan lelaki ajnabi(asing) -maka dia dilihat berlainan dengan kehendak semasa, tidak liberal dan melampau, tidak sesuai dengan budaya tempatan. Maka akhirnya kelompok inilah yang dilabel sebagai radikal dalam erti kata melampau. Memang mereka radikal tetapi makna radikal itulah dijungkir balikkan menjadi sebegitu kontra.
Pemikiran ini ditanam dalam kepala dan perasaan masyarakat dengan pelbagai sokongan negatif seperti pemakai hijab adalah miskin, buta huruf dan boleh dipergunakan untuk jadi pengebom nekad. Dalam konteks masyarakat majmuk dikatakan boleh menganggu sensitiviti masyarakat lain, tidak perlu kerana hijab sesuai untuk kawasan berdebu pasir sahaja dan pelbagai lagi. Rumusannya sesiapa yang memakai hijab maka dia melampau, tidak moden, rendah martabat. Apabila dijadikan pandangan umum lama kelamaan situasi ini menjadi pelik dan perlu disingkirkan . Jika masih ada ‘fundamentalis’ yang mahu petahankannya maka mereka adalah radikal dan melampau, setaraf dengan pengganas. Dalam konteks alam pemikiran Melayu pula pengganas itu dikaitkan pula dengan istilah komunis untuk melengkapkan makna kejahatan kelompok fundamental itu. Komunis bagi umat Melayu adalah pengganas biar di mana pun kewujudannya – walau pun asalnya pengganas komunis itu hanyalah merujuk kepada Partai Komunis Malaya(PKM)! Semua komunis adalah jahat bagi umat Melayu.
Itulah akar pemikiran tentang radix. Konsep asalnya yang murni akhirnya menjadi tersangat kotor, keji dan menyesatkan. Secawan radix beraroma kopi memang sedap tetapi implikasinya merangsang otak dan boleh tahan mengantuk. Ramuan akar-akar dan kopi itulah rahsianya. Pemikiran radikal dan fundamental pun kuat kerana rahsia akar-akarnya (usuluddin), namun mengilas makna dan mengkaburkan rahsianya menjadikan radix itu sangat hodoh hatta di mata dan dalam gedung akal penganutnya sendiri. Orang cerdik pun boleh tergoda dengan kilasan rahsia radix itu. Percayalah!
Sukarnya mencatat dan pasti sekali sukar untuk dihadami, namun fikirkanlah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan