Meneliti Bajet (belanjawan sebenarnya) terkini para penganalisis tampil dengan pelbagai rumusan berdasarkan sudut pandangan masing-masing. Politikus dengan teori dan pengalaman politik mereka tentunya, para saintis sosial pula berteraskan perspektif masing-masing. Pakar ekonomi tentunya autoriti yang patut dijadikan rujukan utama. Rumusan mereka sama ada berdasarkan teori terkini atau pengalaman tentu sekali bersifat fundamental dan lebih kukuh hujahnya.
Namun demikian tidak kurang juga pakar ekonomi yang gemar 'berfatwa' atau bersuara sebagai mengesahkan cakap bos politik masing-masing. Inilah masalahnya dengan sistem kita. Para cendikiawan sama ada agama, ekonomi, pendidikan dan segala-galanya tidak dipandang mulia sebaliknya hanya dipergunakan. Inilah nilai kepimpinan pragmatis yang bertunjangkan kepentingan sendiri atau lebih tepat mengikut nafsu.
Sama ada di pihak kerajaan atau alternatif para cerdik pandai masing-masing gagal tampil neutral dan dengan wibawa tersendiri. Ada sahaja celanya jika berkata benar. Apa yang mengecewakan di pihak yang mecerakinkan ilmu untuk mengalakkan amar makruf dan meyakini ada kalanya kebenaran itu pahit, gagal menerima kritikan membina. Apa yang dikehendaki para pemimpin pragmatis itu ialah kata-kata yang selaras dengan misi kita', 'ubah suailah apa yang patut'. Sekali berikan pendapat yang tidak selaras ertinya kau bukan orang aku.
Sikap sebegini tanpa disedari akan membawa kepada kejumudan akal dan natijahnya masyarakat akan diulang-ulang dengan idea yang sama. Idea baru akan dianngap buruk dan menentang bukannya membina. Sebab itulah agaknya ramai pakar kelahiran 1Malaysia lebih selesa memberikan pendapat mereka di luar negara dan tawar hati berkhidmat di tanahair sendiri.
Jika sekiranya pendapat pakar diterima atas prinsip ilmu pasti sekali PPSMI tidak wujud atau pun dan jika sudah berjalan akan segera dihapuskan, tanpa perlu 'soft landing' sedikit pun. Siapa agaknya pakar yang menasihatkan agar diadakan pendaratan lembut tersebut? Tidak salah jika rakyat andaikan pakar itu barangkali 'pakar pembekal laptop dan rakan-rakan sealiran mereka'. Sekali lagi dipertegaskan jika kita (pemimpin dan rakyat 1Malaysia) berjiwa besar dalam soal PPSMI ini maka 'soft landing' itu bukan satu keperluan. Martabatkan bangsa dengan bahasanya adalah keutamaannya kini. Tanyalah pakar ekonomi yang jujur, pentadbir yang memandang ke hadapan, agamawan yang kritkal dan rakyat yang berjiwa besar jika mahu jawapannya. Selagi pendapat pakar tidak dihargai maka selama itulah bangsa ini tidak berharga!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan