Selasa, 1 Disember 2009

RASUAH TETAP RASUAH

Walau siapa pun jadi pemerintah. Walau apa pun bangsa dan agamanya jika berlaku amalan rasuah dan seumpamanya maka mereka tetap bersalah. Komponen rasuah termasuklah kronisme, nepotisme, tidak amanah dan salah guna kuasa. Lazimnya rasuah melibatkan wang atau benda bernilai sama biar pun sedikit jumlahnya. Rasuah juga termasuk penggunaan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga atau kelompok. Dalam masyarakat yang sebati budaya rasuahnya perbuatan korupsi tanpa melibatkan duit atau benda kurang difahami dan seperti bukan rasuah tanggapannya. Sebagai contohnya seorang penemuduga jawatan kosong yang mendorong panel lain memilih seseorang yang dikenali atau punyai hubungan baik dengannya sudah boleh dianggap rasuah. Namun hal tersebut kurang dipandang sebagai rasuah kerana itu sudah jadi budaya dan perkara biasa.
Budi bicara juga ada masanya dianggap rasuah. 'Perjanjian tersirat' atau commom law atas dasar 'hari ini aku tolong kau, esok kau tolong aku' yang menjadi amalan antara pihak penguatkuasa dan orang awam @ peniaga menjadikan rasuah tidak dapat dijustifikasikan dengan sempurna. Sikap ambil mudah terhadap peraturan atau pelanggaran 'standard of procedure' dengan cogan kata 'kira cincai lah bos' menjadikan amalan rasuah semakin merebak.
Apabila pihak audit membuat semakan dan berlaku ketidakakuran dan jalan keluarnya ialah membetulkannya di atas kertas sahaja menjadikan rasuah itu benda yang boleh ditoleransi. Sebagai contoh pembelian barang guna buang tetapi yang tidak wujud boleh dilakukan atas kertas sahaja. Jika ada pembelian barangan pada harga tidak logik tetapi 'calculation' betul maka ia tidak menjadi kesalahan. Ini masalah pentadbiran yang boleh membawa kepada mekarnya budaya rasuah.
Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya bersalah. Namun ada ketikanya tidak jelas peranan masing-masing kerana kedua-duanya sentiasa memberi dan menerima secara berterusan. Ikatan ini menjadikan rasuah sudah tidak kelihatan dan apa yang berlaku ialah urusan yang berbentuk pakatan strategik atau perkongsian bijak.
Apa yang lebih malang lagi rakyat marhaen tidak percaya yang pihak pembanteras rasuah benar-benar berlaku adil dan bekerja dengan ikhlas berdasarkan tindakan mereka selama ini. Pihak media yang menayangkan berita rasuah pun tidak banyak membantu meningkatkan kepercayaan marhaen terhadap perang rasuah kerana nampak sangat media itu berpolitik dan berlegar dalam konteks sensasi semata-mata. Ada berita panas boleh buat untung dan mereka akan abaikan penghormatan masyarakat terhadap usaha yang benar dan ikhlas untuk perangi rasuah.
Oleh kerana rasuah satu budaya, yang kabur justifikasinya, agensi pencegah rasuah tidak ikhlas, media hanya main wayang dan pemimpin serta pegawai kerajaan tidak takut kepada tuhan untuk terus merasuah maka indeks rasuah negara terus meningkat dan menyamai negara miskin (yang rakyatnya mungkin 'terpaksa' merasuah untuk terus hidup), biar pun cita-cita kita ingin menjadi negara maju. Akal rendah rakyat dan pemimpin tidak mungkin menzahirkan masyarakat maju.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan