Jumaat, 31 Julai 2009

SATU CADANGAN

1 Ogos 2009 khabarnya akan diadakan perhimpunan besar-besaran mansuhkan ISA manakala di satu pihak lagi yang diketuai oleh MP Ibrahim Ali akan adakan perhimpunan menyokong ISA.
Saya sokong usaha Ibrhaim Ali itu kerana adalah terlalu sukar untuk menghimpunkan orang secara sukarela dan penuh bersemangat untuk menyokong pengekalan akta lama warisan penjajah tersebut. Saya kira kalau ajak Dr. Mashitah pun beliau tidak mahu kerana perhimpunan sebegitu tidak perlu katanya. Begitu juga MP BN yang lainnya pasti akan mendahulukan rakyat dengan aktiviti yang lain daripada berdemonstrasi bersama Ibrahim Ali. Tak percaya lihatlah nanti, hanya beberapa orang dari NGO dan budak-budak upahan serta 'pelagak demo' sahaja yang turut serta. Atau mungkin akan dibatalkan pada saat akhir atas nasihat Ketua Polis demi menjaga ketenteraman awam.ada.
Bagi peneliti politik pula, Ibrahim Ali sebenarnya tidak sepenuh ghairah pun menyokong pengekalan ISA tetapi mahu hanya bertembung dengan penentang ISA bagi meraikan demokrasi dan selepas itu barangkali beliau akan mendapat sedikit kredit -kalau dalam bahasa budak-budak muda "mahu enter-frame cari glamour le tu". Beliau mungkin akan dijadikan ikon pejuang Melayu yang mempertahankan kedaulatan undang-undang. Pelbagai kemungkinan ada di sana. Tiada siapa pun yang waras mengatakan tindakan menyokong ISA itu sebagai satu kebijaksanaan melainkan jika disuruh berkata demikian kerana takut dan mahu pertahankan kedudukan.
Namun apa yang boleh dijangkakan ialah jika benar-benar Ibrahim Ali turun padang maka beliau akan beroleh demokrasi dengan 'kerjasama banyak pihak' manakala puak yang satu lagi akan lebih mengerti maksud sebenar demokrasi juga dengan 'kerjasama banyak pihak' khususnya dari pihak kerajaan.
Selepas ini Ibrahim Ali akan berkata demokrasi di Malaysia adalah yang terbaik kerana kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat adalah terjamin. Bagi pihak yang satu lagi pasti akan merasai sebaliknya kerana itulah yang sering terjadi selama ini.
Sekiranya betul-betul Ibrahim Ali dan gerombolannya membuat unjuk rasa, hanya satu sahaja cadangan iaitu esok 1 Ogos 2009 PDRM silalah tangkap Ibrahim Ali atas alasan 'menambahkan kegawatan awam' dan letakkan di bawah ISA beberapa tahun. Bukankah Ibrahim Ali mahu buat perhimpunan setelah ada pihak lain yang telah merancang dan memutuskan tarikh tersebut sebelum ini -malah sejak akhir 2008 lagi. Maksudnya Ibrahim Ali hanya menambahkan kegawatan dan kegelisahan awam kerana akan berlaku pertembungan. Maka Ibrahim Ali patut ditahan atas sebab itu jika mahu mengikut pertimbangan yang betul dan rasional. Ini hanya cadangan sahaja dan bukan mahu mendesak pun!
Selepas diletakkan Ibrahim Ali di bawah ISA selama beberapa tahun tanpa bicara maka kita lihatlah apa pula pendirian beliau. Itu sahaja caranya jika mahu menguji sesuatu kebenaran jika gagal dibaca secara berhemah dan penuh hikmah. Kalau ada orang tidak percaya api itu boleh membakar maka humbankan sahaja beliau ke dalam api itu untuk merasai sendiri bagaimana diri dimamah api!

Rabu, 15 Julai 2009

TELUS CAMPUR HAGAS

Manek Urai, 14 Julai 2009.
Majoriti 65 undi dari sejumlah hampir 11000 undi yang dibuang amat memalukan bagi satu pakatan yang tengah naik namanya. PR mendapat 5,348 undi manakala BN pula mendapat 5,283 undi. Persoalannya sekarang ialah:
1. Apakah nilai Pakatan Rakyat sama sahaja dengan BN bagi pengundi di Manek Urai?
2. Apakah Rakyat Kelantan tetap tebal dengan sikap perkaumannya dan tiada maklumat yang tepat dan jelas tentang politik baru masuk ke telinga mereka?
3. Apakah ini sebagai satu 'isyarat rakyat ' khususnya kepada PAS agar lebih 'tawaduk' dalam politik selepas ini sesuai dengan sifatnya sebagai parti Islam?
Soal permainan di atas padang tidak rata bukan isunya di sini kerana kata pemerhati "oghe kelate meme bijak dan tahu main politik". Jika benar mereka bijak maka hasilnya tentulah jauh dari kecenderungan hampir seri. Maka dalam keadaan begini kebijaksanan politik orang Kelantan hari ini wajib dipertikaikan. Apa ertinya kebijaksanaan jika jalur siasah 'oghe kelate' sama sahaja dengan 'oghang perlih' yang masih terpikat kepada budaya kepolitikan keluarga Ibnu Kassim. Mereka tetap bersifat perkauman dan di Manek Urai sudah nampak usaha untuk kembali kepada UMNO. Maknanya mereka sudah sedia hilangkan 'thiqah' kepada Tok Guru. 'Oghe Manek Urai' semacam mahu tunjuk hagas sekarang. Mereka seperti mahu keluar dari paradigma asabiyah yang selama ini merujuk kepada Tok Guru. Tidak mustahil Tok Guru mungkin akan hilang kawalan ke atas 'oghe kelate' satu hari nanti seperti mana yang pernah dirasai Ku Li dahulu.
Dalam bahasa politik sikap sebegitu menunjukkan satu isyarat baru biar pun bukan ke arah politik baru. Isyarat baru ini berkecenderungan untuk menyokong UMNO semula. Apakah ini sekadar manipulasi massa bagi membuktikan 'oghe kelate' benar-benar bijak berpolitik? Namun jika tendensi memilih UMNO itu satu kebijakan politik ertinya orang Kelantan kini bersifat hagas campur bebal. Mereka merasakan itu betul sebagai pengajaran politik kepada Tok guru namun hakikatnya samapi bila-bila pun politik perkauman adalah satu bentuk politik lama. Apa lagi yang boleh dibanggakan kalau itu pilihan mereka.
Benar ketidak akuran proses politik dan tipu helah 'bertahap nafsu amarah' pun boleh dijadikan penyebab namun itu di luar kawalan PR. Maka sekarang tinggalkan dahulu hujah itu dan kembali melihat realiti. PAS perlu bermuhasabah dengan sungguh-sungguh agar peluang sebegini tidak akan terlepas begitu sahaja. Orang PAS jangan hagas, sombong, bongkak dan bebal. Mereka perlu terima hakikat bahawa Anwar Ibrahim memang teras pakatan rakyat dan bukan sekadar pelengkap politik oposisi. Justeru jangan perlekehkan PKR. Itu sangat penting. Jangan samakan DAP seperti MCA dan merasakan DAP adalah duri dalam daging. Para pemimpin adalah bertanggungjawab menunjukkan teladan bagaimana cara 'berakan' yang betul -ertinya jangan berakkan kawan! Memang kita telus cuba bersikap telus dalam pentadbiran negeri dan parti namun kalau telus berbaur hagas maka tunggulah saat kejatuhannya. Tunggulah kita semua akan tersungkur kerana sikap sendiri. Kadang-kadang kerja politik pun perlukan ilmu pedagogi sebagai panduan kerana politik itu juga merupakan wahana bagi usaha mendidik umat.

Isnin, 13 Julai 2009

“Alaman Terlabik” : SEKADAR RENUNGAN


Perhatikan beberapa amalan di bawah ini yang boleh dikategorikan sebagai amalan terbalik.

1. Amalan kenduri arwah – ahli keluarga mengeluarkan belanja dan bertungkus lumus menyediakan makanan untuk orang lain yang membaca tahlil dan doa. Sepatutnya mengikut apa yang dianjurkan Rasulullah ‘jiran tetangga dan orang lain’ yang perlu ambil tanggungjawab tersebut untuk meringankan kesedihan dan kesusahan mereka.
2. Kalau hadir kenduri kahwin (walimatul urus) kita merasa segan jika tidak dapat hulurkan sumbangan kepada tuan rumah. Di rumah kenduri makanan disediakan tanpa pertimbangan untuk mendapatkan semula kosnya dan tetamu dijemput makan sehingga kenyang. Sepatutnya kita perlu berikan sedekah ketika hadir menziarahi kematian tetapi itu jarang pula dilakukan.
3. Ketika hadir majlis pemimpin negara kita berpakaian –ada ‘dress code’ dan sering pula dipesan oleh pengelola majlis mengenainya. Sebaliknya ketika hadir di hadapan Allah kita berlebih kurang sahaja bahkan ada yang tidak berbaju. Menutup aurat sudahlah.
4. Ketika bertamu ke rumah orang dan dihidangkan makanan kita merasa segan untuk menghabiskan makanan yang dihidangkan. Beradab dan hormat tuan rumah kononnya. Sebaliknya apa yang dituntut ialah menghabiskan apa yang dihidangkan bagi menggembirakan tuan rumah dan elakkan pembaziran.
5. Kalau solat sunat di masjid kita begitu rajin dan bersemangat tetapi di rumah kita merasa malas. Sepatutnya apa yang dituntut ialah memperbanyakkan solat sunat di rumah seperti yang diajarkan Rasulullah.
6. Bulan puasa ialah bulan mendidik hawa nafsu tetapi sebaliknya apa yang terjadi ialah perbelanjaan bulanan meningkat, makanan berlebihan dan membuat persediaan untuk hari raya yang melampau.
7. Kenduri doa selamat dibuat ketika balik dari musafir bukan ketika memulakan perjalanan. Sebaliknya apa yang berlaku ialah kenduri dibuat ketika mahu mengerjakan haji dan apabila pulang tidak ada apa-apa jamuan kesyukuran pula.
8. Ramai ibubapa amat bimbang jika anak-anak gagal peperiksaan dan sanggup menghantar anak ke kelas tambahan. Sebaliknya amat sedikit ibubapa yang bimbang anak-anak mereka gagal al-Quran dan amalan fardu ain. Tidak ada kelas tambahan jika anak gagal menguasai al-Quran dan pengajaran yang percuma pun tidak dipedulikan.
9. Jika bekerja mencari rezeki untuk kesenangan dunia penuh dengan iltizam tidak kira hujan, ribut, siang atau malam. Sebaliknya bekerja mencari habuan akhirat tidaklah sebegitu tahap istiqamahnya. Lebih banyak alasan diberikan untuk mengelak dari pergi ke masjid bersolat jamaah.

Cuba fikirkan dan muhasabah semula. Adakah hidup kita ini mengikut ‘apa yang betul dan benar’ atau mengikut ‘apa yang dikatakan betul’ oleh orang lain. Fahamilah bahawa sekularisme itu ada di mana-mana hatta di depan mimbar masjid. Urusan dunia dan akhirat yang sering dipisah-pisahkan menjadikan umat Islam ‘sesat antara dunia dan akhirat’ dan terjadilah amalan yang terbalik dari apa yang sepatutnya.

Ahad, 12 Julai 2009

GUA SUKA SAMA MELAYU

Encik Hussin Lampoyang ada catat dalam blognya bahawa 86% daripada 59446 voters di blog chedet mengatakan NO kepada langkah kerajaan mansuh PPSMI. Wow! amat dahsyat kalau begitu. Maknanya lebih 8 1/2 orang daripada 10 orang memang menyokong PPSMI -itu cerita dalam blog chedet. Maaf gua tak baca blog tu sebab gua tak respek sama chedet. Guru gua pesan jangan respect sama chedet biar pun ada 26 juta lagi rakyat Malaysia menyanjungi dan memuja-muja chedet. Gua tidak rasa rugi pun jika gua tidak baca atau dengar apa-apa kenyataan berhemah dari chedet.
Gua ini Melayu tetapi gua tak respect pemimpin Melayu sebab gua rasa itu Melayu banyak bikin susah sama Melayu. Bukan maksud gua sukakan 'comfort zone' , simplistic, burn-out atau gua dari keturunan yang jenis personaliti plagmatik atau mandom. Bukan gua tidak inginkan kemajuan dunia dan tanahair gua. Namun apa ertinya kemajuan apabila anak bangsa jadi keparat dan agama diperalat? Ini memang gua sangat ralat. Selama ini gua ingat pembagkang jahat dan pecah belahkan umat. Hari-hari radio dan tv gerombolan menyampaikan hikayat. Bila gua lihat ramainya orang sokong chedet agar PPSMI dikekalkan gua sudah rasa lain macam. Maknanya apa yang dapat digambarkan ialah hanya 2 orang sahaja dalam dunia ini yang tidak respect chedet. Maka yang dua orang itu gua anggap gua dan guru gua sahaja.
Maka mulai hari ini, gua punya resolusi ialah "Gua suka sama Melayu" sebab Melayu sudah maju dan berjiwa besar. Kepada semua yang ada ingin gua hadiahkan puisi ini untuk semua bangsa Melayu yang setia berjiwa PPSMI

PPSMI Jiwa Bangsa
Aku patut gelak besaq dulu..kah..kah..kah..
Melayu mahu jadi clever
misti pulun cakap English...kah..kah..kah
misti pandai cakap Ingglish macam
paddayappa dan heroin pilem Tamil..kah..kah..kah..
Melayu belajar Sains dalam bahasa Melayu
mistinya Melayu kangkung
Melayu maju misti speaking English..kah..kah..kah..
Bahasa PPSMI Jiwa Bangsaku kah..kah..kah
Melayu patut tahu Inglish kerana
jiwa Melayu adalah jiwa Ingglish....
kah..kah..kah..
Melayu bijak kerana Inglish
Jangan cakap dan tulis ikut ejaan Melayu
Mari kita kencing atas paper jawi kah..kah..kah.
Apa la punya bahasa Melayu...kah..kah..
tak dak jiwa bagi orang Melayu..kah..kah..kah...kah
Melayu akan bodoh sampai kiamat
andai berahikan bahasa Melayu
belajarlah sains bodoh dalam bahasa Melayu
Matematik Melayu untuk Melayu ngok sahaja
kah..kah..kah..kah
Melayu bebal tolol yang tak tau guna Ingglish...
Kah..kah..kah
Jiwailah PPSMI demi agama, bangsa dan negara
GUA SUKA SAMA MELAYU


Sabtu, 11 Julai 2009

PEJUANG BANGSA vs PEJUANG BAHASA

Slogan "Bahasa Jiwa Bangsa" sememangnya tepat memberikan erti bahawa dengan bahasa sahajalah sesuatu bangsa dikenali. Bangsa akan berjiwa dan terus hidup (survive) dengan bahasanya sendiri -jika tidak ia akan jadi bangsa lain atau marga dari rumpun bangsa lain. Keturunan Iban, Kadazandusun, Aceh, Bugis, Batak dan sebagainya yang hidup menyerata di Kepulauan Melayu tentu tidak 'segan silu' jika dikategorikan sebagai rumpun Melayu. Di Malaysia lebih lagilah gelar Melayu itu mahu dimiliki. Orang Brunei menambahkan ciri Melayu mereka menjadikan Melayu Brunei kerana berbangga dengan kelebihan 'negara bangsa' mereka. Bahasa Indonesia hari ini sebenarnya adalah bahasa Melayu asalnya, sedangkan 'orang Melayu' di Indonesia adalah satu kelompok etnik kecil sahaja. Namun dalam rumpun Nusantara ini Melayu menjadi besar dan menjadi rujukan. Bahasa Melayu menduduki carta keenam dari segi banyaknya jumlah penutur di dunia. Melayu menjadi besar dan dikenali kerana bahasanya iaitu bahasa Melayu. Orang tidak kenal Melayu hanya kerana budu, baju atau tariannya semata-mata tetapi yang pertama sekalai adalah apa yang dituturkan iaitu bahasa.
Anehnya di Malaysia yang sepatutnya menjadi pusat rumpun Melayu sedunia wujud suasana yang kontras. Bahasa Melayu di Malaysia diperintah sebut secara rasmi sebagai bahasa Malaysia. Yang lucu lagi satu ketika dahulu bahasa Melayu hanya merujuk kepada bahasa dalam sistem pendidikan. Apa yang lebih menarik lagi (aneh sebenarnya) ialah seakan-akan wujud dua wajah pejuang berkaitan Melayu iaitu 'pejuang bangsa Melayu' dan satu kelompok lagi 'pejuang bahasa Melayu'. Siapa mereka itu?
Golongan pejuang bangsa Melayu pasti sekali para politikus UMNO dan para penyokong mereka sama ada guru, orang kampung, penulis mahu pun pemblog khusunya dari bloggers kelompok
"Pembela Negara". Mereka ini jelasnya hanya memperjuangkan bangsa Melayu sahaja sedangkan aspek bahasa Melayu dikesampingkan. Maka dengan itu muncullah golongan 'pejaung bahasa Melayu' pula yang ditampilkan dalam pelbagai kelompok seperti sastewrawan, GMP, Gapena dan sebagainya. Lontaran suara dari kehendak kelompok ini nampaknya agak keras dan sering menentang pemimpin dan pejuang Melayu. Semua pertentangan itu dapat dilihat dalam kes PPSMI. Pejuang bahasa tegas mahukan PPSMI dihapuskan manakala pejuang Melayu yang majoritinya orang dan penyokong UMNO merasakan tindakan membatalkan PPSMI adalah merugikan anak Melayu. Hujahnya bahasa Inggeris lebih signifikan jika mahu maju dalam konteks global. Bahasa Melayu dalam sains dan teknolgi boleh ditertwakan ika mahu pergi lebih jauh. Tun Dr. Mahathir telah menyenaraikan pelbagai kata terbitan dari 'oxygen' bagi memperlekehkan kemampuan kosa kata Melayu. Taktik ini diteladani 'secara licik' oleh pejuang Melayu.
Khilaf antara kedua-dua kelompok ini sebenarnya satu hikmah di mana situasi ini memberikan peluang kepada rakyat untuk berfikir secara bijaksana dan mendalam. Ramai yang berkata rakyat yang rugi dalam pertentangan ini tetapi hakikatnya UMNO yang paling rugi. UMNO perlukan sokongan rakyat untuk terus hidup tetapi kelihatannya rakyat terpengaruh dengan dakyah 'pejuang bahasa' yang katanya didokongi oleh politikus pembangkang. Ertinya para pejuang bahasa itu bersekongkol dengan orang jahat kerana 'pembangkang adalah jahat'. Itulah inti ajaran politik UMNO yang kini sudah dimengertikan oleh sebahagian besar rakyat.
Apakah rakyat menderhaka dan tidak bersyukur kepada kerajaan Barisan Nasional? Ini persoalan yang jelas mempebodohkan rakyat jelata. Apabila rakyat menggunakan akal secara kritikal maka rakyat dipersoalkan tentang kesetiaan dan kehendak mereka. Inilah kebebalan nyata para pejuang Melayu hari ini. Mereka mengakui sebagai pejuang bangsa Melayu tetapi jiwa orang Melayu iaitu bahasa Melayu mereka abaikan. Melayu dibuang jiwanya dengan alasan untuk bersaing di peringkat global menggunakan bahasa Inggeris. Sungguh licik alasan ini namun tidak berjiwa. Ini akal seorang pemimpin sahaja dan diterbitkan atas nama jamaah UMNO. Maka menjadi dasar UMNO untuk pertahankan akal songsang itu yang akhirnya ditolak oleh 'Melayu yang berjiwa'.
Rumusannya selagi ada pejuang yang mahu pertahankan PPSMI maka ertinya pejuang bangsa itu sudah tidak berjiwa Melayu. Habis apa ertinya perjuangan itu? Melayu tanpa jiwa adalah ibarat 'jantan tanpa telur' yang beerti tidak akan ada upaya untuk menghasilkan zuriat atau jantan yang bersifat penakut(ini perumpamaan Melayu kampung tetapi amat besar ertinya). Maka selagi pejuang Melayu itu mahukan bahasa asing dalam proses penitisan ilmu terhadap bangsanya maka selagi itulah bangsa yang berjiwa akan menolak. Inilah yang tidak disedari atau terlepas pandang oleh UMNO selama ini. Penolakan rakyat inilah juga yang mencabar keegoan dan rasa kebangsawanan UMNO selama ini. Rakyat yang berjiwalah yang akan menendang para bangsawan dan elitis siasah sebegitu jauh hingga ke ruang persemadian. Tidak ada penghormatan terakhir atau apa-apa bekalan doa dan harapan. Tolehlah kepada sejarah untuk memahaminya!

Rabu, 8 Julai 2009

PPSMI MANSUH -ABAIKAN MAHATHIR!

Berita utama petang ini "PPSMI mansuh 2012". Tahniah kepada Menteri Pelajaran - ada keberanian dan kebijaksanaan. Seluruh rakyat yang cintakan bahasa dan kelangsungan hidup Melayu akan menyokongnya. Hanya mereka yang pentingkan diri, berjiwa kecil dan yang pemikirannya terjajah sahaja akan pertahankannya. Hanya Melayu yang tidak yakin dengan keupayaan bahasa sendiri sahaja yang akan pertahankannya.
Mendengar pandangan terbanyak adalah sifat berhemah yang perlu ada dalam setiap diri pemimpin. Merasakan diri sendiri sahaja betul adalah sikap anarkis dan bebal. Seharusnya pendapat orang yang ahli perlu didengari dan dihormati. Abaikan Tun Mahathir kerana beliau adalah negarawan yang tidak berhemah dalam kes ini. Tun Mahathir tentu antara sebilangan Melayu yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa sendiri. Bagi Tun bahasa Inggeris sahajalah yang berupaya menjadi bahasa ilmu. Tidak boleh bahasa lain dijadikan bahasa ilmu kerana ilmu akan bersifat dinamik dengan hanya berwahanakan bahasa Inggeris. Para pengikut Tun Mahathir seperti Hishamuddin, Rais Yatim dan beberapa kerat Melayu yang lidah mereka 'dilahirkan' sebagai penutur bahasa Inggeris pasti kecewa. Namun mereka ini hanyalah 'ranger-ranger' Tun sahaja di mana akal masing-masing terletak di dalam genggaman Tun -tidak lebih dari itu.
Maka pada hari ini wajarlah seluruh pejuang bahasa dan rakyat yang cintakan bahasa Melayu mengucapkan syukur ke hadrat ilahi. Menolak PPSMI beerti memartabatkan semula bahasa Melayu. Apa pun selepas ini biarkanlah Tun Mahathir sendiri dan kalau Tun mahu membuat demonstrasi besar-besaran menentang keputusan ini pun terserahlah. Walau pun Tun sudah bersara cukuplah layanan istimewa setakat ini. Bukankah Tun secara 'terhormat' sudah ditaklimatkan mengenai hal ini?
Timbalan perdana menteri dan pegawai kanan kementeriannya memberi taklimat kepada Dr Mahathir di rumahnya selama kira-kira tiga jam."Saya memberitahu Tun Dr Mahathir bahawa jika polisi ini diteruskan kita bimbang ia akan memberi kesan yang tidak begitu baik kepada kepada pelajar."Segala mengenai polisi ini telah dijelaskan kepada Tun dan beliau boleh menerima dengan baik," kata Muhyiddin di kementeriannya di Putrajaya kira-kira 2.30 petang ini.
Walaupun dalam tempoh empat tahun itu keputusan ini masih boleh ditarik balik namun keputusan hari ini adalah yang terbaik dalam sejarah pendidikan negara. Ingatlah catatan terbaik ini akan menjadi hina dan kotor jika ada sifat dolak-dalik selepas ini. Ini amaran kepada pembuat keputusan yang ada kaitannya dengan kepentingan umat Melayu -jangan main-main atau jangan berpolitik murahan. Keputusan ini adalah muktamad. Jika tidak kami sejuta rakyat akan turun ke jalanan- tunggulah!
Teruskan perjuangan -daulatkan bahasa Melayu, hapuskan jiwa hamba dari terusan terjajah!

Jumaat, 3 Julai 2009

PATUTKAH PAS SEDIAKAN PELAN B

Tanpa apa-apa soalan pun sepatutnya Pelan B sudah boleh digerakkan pada bila-bila masa. Ini pelan kecemasan yang perlu ada dalam setiap organisasi di mana-mana jua pun. Pelan ini bukan patut ada dalam kepala pemimpin sahaja bahkan seluruh ahli organisasi perlu sedar sekurang-kurangnya pada peringkat prinsip.
Misalannya DAP di semua negeri Pakatan mahu keluar PR maka parti sekutunya iaitu PAS dan PKR sudahkah punyai pelan kecemasan. Walau pun hal ini 'rahsia besar' tetapi semua pihak perlu tahu perkara sebegini dan patut jadi 'rahsia umum'. Janganlah bila sudah terhantuk baharu mahu angkat kepala. Kesedaran dan sikap waspada perlu ada pada semua ahli organisasi. Bukannya bermaksud mempersoalkan kejujuran sahabat namun perlulah berawas takut akal sahabat parah diracun musuh. Konsep pakatan ini tidak ada 'big boss' maka tiada siapa yang boleh mengaku sebagai ketua maka tahap 'persefahaman' perlu sangat kukuh dan padu.
Maka Pelan B di sini maksudnya ialah bagaimana urusan perhubungan awam perlu dibuat sesama sahabat seperjuangan seandainya berbeza pendapat. Bagaimana bersepakat untuk melawan musuh. Bukan sepakat untuk berpadu dengan musuh dan lawan sahabat lama. Angin perang dingin dan prasangka politik lama sepatutnya sudah tidak ada. Tumpuan adalah untuk berpakat menyerang dan melawan musuh.
Masalahnya PAS kelihatan macam 'syok sendiri' dan tidak sedar bahaya. Ahli-ahlinya bila senang lenang siap puji habis sekutu rapat dan bila 'naik syeh' kutuk habis sekutu sendiri sama seperti mengutuk musuh. Ini perlu dibaca pimpinan dan diberikan peringatan berterusan. Apa pun keadaannya sekutu adalah sahabat dan musuh perlu ditentang secara bersama. Pelan B yang pertama ialah menyelamatkan keadaan dan Pelan B yang seterusnya ialah berdikari jika sahabat benar-benar jadi musuh.
Ahli-ahli PAS sudah bersediakah untuk itu? Rujuklah PKR kerana diyakini mereka sudah ada semua itu - butang mana perlu tekan, arah mana perlu pilih jika kecemasan. Jika tidak apa gunanya lantik Pengarah Strategik? Adab dan tertib hidup Melayu ialah 'jangan perlekehkan 'budak kecik kanyaq' jika akalnya lebih besar dari kita'. Bacalah akal Nadim dalam kisah Temasik Dilanggar Todak untuk faham semuanya!

Rabu, 1 Julai 2009

PPSMI DAN J-QAF : 'POWER' vs KEBIJAKSANAN

PPSMI yang dilaksanakan semasa zaman PM Tun Mahathir dikatakan akan mampu mengangkat martabat Melayu dengan penguasaan bahasa Inggeris. Setelah enam tahun pelaksanaannya sana-sini orang sibuk mengkritik, membantah, menentang dan membawakan fakta tidak relevannya PPSMI dan wajar diberhentikan segera. Maka lahirlah pejuang bahasa Mealyu dan pejuang yang menentang PPSMI.
Kelompok yang menyokong pun ada tetapi tidaklah seramai yang menentang. Penyokong utamanya ialah Hishamuddin Tun Hussein dan sepupunya Mohd Najib, kelompok Melayu urban yang gemar berbahasa Inggeris, keturunan India yang tidak minat lagi bahasa Tamil dan beberapa kerat dari kelompok elit Cina. Tidak ramai dari kalangan intelektual pelbagai kaum yang menyokong melainkan beberapa profesor seperti Profesor Sejarah Ramlah Adam dan seorang Profesor Perhubungan Antarabangsa dari UUM serta seorang Naib Canselor yang sangat kuat perjuangan Melayunya yang pastinya melampaui tahap perjuangan KJ. Didapati lebih ramai cendikiawan yang menentang PPSMI hinggakan mereka bersama-sama dengan beraninya menulis buku menolaknya. Pak Ungku Aziz yang dipercayai sebagai antara genius Melayu itu pun menentang PPSMI. Prof. Khoo Khay Kim yang sangat celik sejarah pun dipercayai menentangnya. Semua Sasterwan Negara yang masih hidup dipercayaai menentang PPSMI. Khalid Samad tidak pastilah bagaiamana pendiriannya sekarang manakala Dr. Fuad Zarkasyi sudah pasti 'kalih' pendiriannnya kepada setuju -walaupun tidak didengari kenyataan rasminya selepas terlantik sebagai Timbalan Menteri.
Tun Mahathir mengatakan PPSMI adalah idea bijak tetapi pihak yang lebih bijak dan pandai mengatakan sebaliknya -ertinya idea bebal. Tun Mahathir menang pusingan awal kerana beliau ada 'power'. Dengan bantuan penuh para 'ranger-rangernya' maka terlaksanalah PPSMI. Menteri-menteri yang ada sekarang majoritinya adalah 'ranger-ranger' Tun yang masih setia kepada Tun. Tidak pastilah pula sama ada Tan Sri Nazri Aziz sudah tetap pendirian mahu mufarakah dari saf Tun Mahathir dalam isu PPSMI ini. Prinsip 'Power' tidak akan ambilkira kebijaksanaan jika perlu atau terdesak, namun lama kelamaan 'kebenaran' yang dicetuskan oleh kebijaksanaan akan memenangi 'game' ini. Perlulah kita bersabar selagi 'power' masih belum pudar dan masih mahu kebijaksanaan ditekan-tekan. Tatkala kebenaran muncul maka para 'rangers' yang ada hari ini barangkali akan berkata 'pemansuhan ini adalah langkah terbaik yang diambil oleh pemimpin besar kita dan seluruh rakyat jelata 1Malaysia patut bersyukur di atas kebijaksanaan ini. Bijak..bijak...bijak!!!.
Satu lagi isu pendidikan yang menarik tetapi kurang diberikan tumpuan ialah program JQAF. Projek ini juga bertujuan untuk mengangkat martabat Melayu khususnya dalam penguasaan jawi, al-quran, bahasa Arab dan fardu ain. Projek ini berjalan lancar. Tiada tunjuk perasaan yang menentang hatta oleh orang bukan Islam dan SIS atau Islam Liberal yang nyata tidak gemarkan Islam jenis lama - iaitu yang suka baca al-Quran. Guru-guru dilatih secara berterusan dan dipastikan mencukupi hingga ke ceruk-ceruk desa. Idea asal program JQAF adalah dari Tun Abdullah Badawi namun sambutan dan fenomenanya tidaklah seperti terhadap idea utamanya Islam Hadhari. Menurut sumber dan pemerhatian didapati JQAF memberikan impak yang sangat positif dan diyakini akan mampu mengangkat martabat anak Melayu dalam penguasaan semula jawi dan al-Quran. Pendekatan JQAF ini memang diakui sebagai langkah bijak dan para intelektual Melayu-Islam 1Malaysia tidak pernah merungut apa-apa pun. Tindakan ini menggabungkan 'power' dan kebijaksanaan. Natijahnya kebenaran akan muncul dalam tempoh singkat. Buktinya anak-anak sekolah yang mengikutinya sudah berkeyakinan untuk membaca al-Quran dan menulis jawi dengan lancar. Mengenai solat pula khususnya di rumah terpulanglah kepada 'kebijaksanaan' dan 'power' ibu bapa masing-masing. Jika ibu bapa tidak solat maka amat sukar anak-anak beroleh motivasi untuk solat walaupun ilmunya tentang solat penuh di dada. Keterampilan berbahasa Arab pula dalam konteks negara kita memadailah setakat tahu sepatah dua sebagai penyegaran minda dan membantu fasahah dalam bacaan al-Quran.
Kita perlulah menyokong sepenuhnya kebijaksanaan sebegini biar pun bukan lahir dari kerajaan perpaduan, proses reformasi atau kerajaan rakyat. Ini idea asal yang sangat murni dan sangat besar pahalanya - khusus kepada Tun dan para 'rangers' yang mengartikulasikan idea tersebut. Termasuk sekalilah barisan pelaksananya iaitu guru-guru JQAF, ustaz serta ustazah sekaliannya. Biar pun bukan pahala yang menjadi 'target' utama Tun dan gerombolonnya tetapi selepas ini jika manfaatnya menyerata pasti secara tidak langsung Tun akan beroleh pahala jua lebih-lebih lagi jika bermula dengan niat 'Lillahi Taala'. Kalau pun Tun hanya mahu mencari 'glamour' semasa memberikan idea ini tetapi jika hasilnya sangat bermanfaat pasti sekali anak-anak Melayu yang mendapat kebaikan dari JQAF akan mendoakan kesejahteraan terhadap Tun dan keluarga secara berterusan. Sebalik itu harap-harapnya tidaklah ada anak-anak Melayu yang menyumpah seorang Tan Sri yang pernah mengabaikan jawi suatu ketika dahulu.
Antara PPSMI dan JQAF kedua-duanya bermatlamatkan untuk meningkatkan pencapaian dan mengangkat martabat anak-anak Melayu. Bezanya satu disertakan kebijaksanaan manakala satu lagi dengan akal yang hampir sifar isinya. Beza yang lainnya ialah satu darinya bermatlamatkan dunia dan akhirat manakala satu lagi jelas untuk kepentingan anak-anak Melayu di atas dunia yang fana ini semata-mata. Yang lekeh sekali antara matlamatnya ialah agar anak-anak Melayu boleh bersaing dengan anak-anak Cina ketika pergi temuduga kerja di pejabat swasta atau kilang Cina. Persaingan itu ialah 'kemampuan mengungkapkan pemikiran yang saintifik dan rasional menggunakan bahasa pertuturan sejagat' -jika bercakap bahasa orang Melayu, tiada kerja! Itu sahajalah akalnya!