Rabu, 1 Julai 2009

PPSMI DAN J-QAF : 'POWER' vs KEBIJAKSANAN

PPSMI yang dilaksanakan semasa zaman PM Tun Mahathir dikatakan akan mampu mengangkat martabat Melayu dengan penguasaan bahasa Inggeris. Setelah enam tahun pelaksanaannya sana-sini orang sibuk mengkritik, membantah, menentang dan membawakan fakta tidak relevannya PPSMI dan wajar diberhentikan segera. Maka lahirlah pejuang bahasa Mealyu dan pejuang yang menentang PPSMI.
Kelompok yang menyokong pun ada tetapi tidaklah seramai yang menentang. Penyokong utamanya ialah Hishamuddin Tun Hussein dan sepupunya Mohd Najib, kelompok Melayu urban yang gemar berbahasa Inggeris, keturunan India yang tidak minat lagi bahasa Tamil dan beberapa kerat dari kelompok elit Cina. Tidak ramai dari kalangan intelektual pelbagai kaum yang menyokong melainkan beberapa profesor seperti Profesor Sejarah Ramlah Adam dan seorang Profesor Perhubungan Antarabangsa dari UUM serta seorang Naib Canselor yang sangat kuat perjuangan Melayunya yang pastinya melampaui tahap perjuangan KJ. Didapati lebih ramai cendikiawan yang menentang PPSMI hinggakan mereka bersama-sama dengan beraninya menulis buku menolaknya. Pak Ungku Aziz yang dipercayai sebagai antara genius Melayu itu pun menentang PPSMI. Prof. Khoo Khay Kim yang sangat celik sejarah pun dipercayai menentangnya. Semua Sasterwan Negara yang masih hidup dipercayaai menentang PPSMI. Khalid Samad tidak pastilah bagaiamana pendiriannya sekarang manakala Dr. Fuad Zarkasyi sudah pasti 'kalih' pendiriannnya kepada setuju -walaupun tidak didengari kenyataan rasminya selepas terlantik sebagai Timbalan Menteri.
Tun Mahathir mengatakan PPSMI adalah idea bijak tetapi pihak yang lebih bijak dan pandai mengatakan sebaliknya -ertinya idea bebal. Tun Mahathir menang pusingan awal kerana beliau ada 'power'. Dengan bantuan penuh para 'ranger-rangernya' maka terlaksanalah PPSMI. Menteri-menteri yang ada sekarang majoritinya adalah 'ranger-ranger' Tun yang masih setia kepada Tun. Tidak pastilah pula sama ada Tan Sri Nazri Aziz sudah tetap pendirian mahu mufarakah dari saf Tun Mahathir dalam isu PPSMI ini. Prinsip 'Power' tidak akan ambilkira kebijaksanaan jika perlu atau terdesak, namun lama kelamaan 'kebenaran' yang dicetuskan oleh kebijaksanaan akan memenangi 'game' ini. Perlulah kita bersabar selagi 'power' masih belum pudar dan masih mahu kebijaksanaan ditekan-tekan. Tatkala kebenaran muncul maka para 'rangers' yang ada hari ini barangkali akan berkata 'pemansuhan ini adalah langkah terbaik yang diambil oleh pemimpin besar kita dan seluruh rakyat jelata 1Malaysia patut bersyukur di atas kebijaksanaan ini. Bijak..bijak...bijak!!!.
Satu lagi isu pendidikan yang menarik tetapi kurang diberikan tumpuan ialah program JQAF. Projek ini juga bertujuan untuk mengangkat martabat Melayu khususnya dalam penguasaan jawi, al-quran, bahasa Arab dan fardu ain. Projek ini berjalan lancar. Tiada tunjuk perasaan yang menentang hatta oleh orang bukan Islam dan SIS atau Islam Liberal yang nyata tidak gemarkan Islam jenis lama - iaitu yang suka baca al-Quran. Guru-guru dilatih secara berterusan dan dipastikan mencukupi hingga ke ceruk-ceruk desa. Idea asal program JQAF adalah dari Tun Abdullah Badawi namun sambutan dan fenomenanya tidaklah seperti terhadap idea utamanya Islam Hadhari. Menurut sumber dan pemerhatian didapati JQAF memberikan impak yang sangat positif dan diyakini akan mampu mengangkat martabat anak Melayu dalam penguasaan semula jawi dan al-Quran. Pendekatan JQAF ini memang diakui sebagai langkah bijak dan para intelektual Melayu-Islam 1Malaysia tidak pernah merungut apa-apa pun. Tindakan ini menggabungkan 'power' dan kebijaksanaan. Natijahnya kebenaran akan muncul dalam tempoh singkat. Buktinya anak-anak sekolah yang mengikutinya sudah berkeyakinan untuk membaca al-Quran dan menulis jawi dengan lancar. Mengenai solat pula khususnya di rumah terpulanglah kepada 'kebijaksanaan' dan 'power' ibu bapa masing-masing. Jika ibu bapa tidak solat maka amat sukar anak-anak beroleh motivasi untuk solat walaupun ilmunya tentang solat penuh di dada. Keterampilan berbahasa Arab pula dalam konteks negara kita memadailah setakat tahu sepatah dua sebagai penyegaran minda dan membantu fasahah dalam bacaan al-Quran.
Kita perlulah menyokong sepenuhnya kebijaksanaan sebegini biar pun bukan lahir dari kerajaan perpaduan, proses reformasi atau kerajaan rakyat. Ini idea asal yang sangat murni dan sangat besar pahalanya - khusus kepada Tun dan para 'rangers' yang mengartikulasikan idea tersebut. Termasuk sekalilah barisan pelaksananya iaitu guru-guru JQAF, ustaz serta ustazah sekaliannya. Biar pun bukan pahala yang menjadi 'target' utama Tun dan gerombolonnya tetapi selepas ini jika manfaatnya menyerata pasti secara tidak langsung Tun akan beroleh pahala jua lebih-lebih lagi jika bermula dengan niat 'Lillahi Taala'. Kalau pun Tun hanya mahu mencari 'glamour' semasa memberikan idea ini tetapi jika hasilnya sangat bermanfaat pasti sekali anak-anak Melayu yang mendapat kebaikan dari JQAF akan mendoakan kesejahteraan terhadap Tun dan keluarga secara berterusan. Sebalik itu harap-harapnya tidaklah ada anak-anak Melayu yang menyumpah seorang Tan Sri yang pernah mengabaikan jawi suatu ketika dahulu.
Antara PPSMI dan JQAF kedua-duanya bermatlamatkan untuk meningkatkan pencapaian dan mengangkat martabat anak-anak Melayu. Bezanya satu disertakan kebijaksanaan manakala satu lagi dengan akal yang hampir sifar isinya. Beza yang lainnya ialah satu darinya bermatlamatkan dunia dan akhirat manakala satu lagi jelas untuk kepentingan anak-anak Melayu di atas dunia yang fana ini semata-mata. Yang lekeh sekali antara matlamatnya ialah agar anak-anak Melayu boleh bersaing dengan anak-anak Cina ketika pergi temuduga kerja di pejabat swasta atau kilang Cina. Persaingan itu ialah 'kemampuan mengungkapkan pemikiran yang saintifik dan rasional menggunakan bahasa pertuturan sejagat' -jika bercakap bahasa orang Melayu, tiada kerja! Itu sahajalah akalnya!

1 ulasan:

  1. Ambo sokong Jqaf ni, cuma mungkin gurunya belum berpengalaman menyebabkan kejayaannya nampak perlahan.

    BalasPadam