Isnin, 15 Jun 2009

BUKU YANG MEMBERIKAN ERTI

Dari sejumlah besar buku dan makalah yang ditekuni salah sebuah yang amat memberikan kesan kepada saya ialah ‘maaza yakni intamai lil islam’ yang diterjemahkan oleh Ustaz Alias Othman dengan judul ‘Apa ertinya saya menganut Islam’. Kitab tersebut amat komprehensif dan mudah difahami khususnya bagi memahami 'Apa itu Islam' pada peringkat asas. Memang buku itu digunakan dalam perbincangan usrah di mana-mana pun. Terdapat pula syarah tambahan yang dibuat oleh penterjemah atau naqib lainnya dalam bentuk edaran. Buku tersebut yang saya beli dari wakil Penerbit Pustaka Salam (sekitar tahun 1986) masih ada dalam simpanan sampai sekarang dan kandungannya saya kira masih relevan dan perlu diulang-ulang baca. Penting sebagai meneguhkan kefahaman, ulangkaji dan barangkali ‘modal’ untuk berbicara tentang asas Islam dan asas harakah islam.
Ternyata bakti penulis buku ini amat besar dan ilmu akan ini terus berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Kitab seumpama inilah yang sesuai untuk dibaca seluruh umat manusia. Kandungannya sesuai untuk sepanjang zaman, semua tempat dan semua manusia yang mahu memahami Islam. Mudah-mudahan (atau sepatutnya) anak-anak muda kita –yang bersekolah, di menara gading, nelayan muda, yang merempit atau yang menganggur hatta penagih dadah dan bohsia- akan membaca buku ini. Mereka perlu diperkenalkan dan disyarahkan kandungan buku ini. Ini tugas pendakwah untuk sampaikan kepada anak-nak muda kita. Para ahli jamaah tabligh patutlah membacakan sama buku ini di masjid atau surau yang disinggahi. Patut juga para dermawan atau korperat menjadikan buku ini sebagai hadiah kepada anak-anak muda. Perlu diterbitkan dalam versi murah (serendah harga RM1.00 umpamanya) agar anak-anak muda mampu memilikinya. Setiap perpustakaan sepatutnya sudah ada beberapa nashkah buku ini di raknya.
Perlu ada tindakan atau daya usaha agar buku ini dijadikan salah satu teks tasawwur Islam di universiti dan kolej kerana diyakini para mahasiswa (Islam atau Non-Islam) akan lebih faham apa itu Islam setelah menekuni buku ini. Memanglah buku sebegini amat ditakuti oleh sesetengah pihak dengan alasan akan meracuni pemikiran anak muda- takut jadi fundamentalis dan radikal. Maka perlulah dijelaskan kepada mereka bahawa fundamentalis dan radikallah yang sebenarnya dapat memberikan erti kepada semua ideologi yang ada. Tidak mungkin sosialis dan kapitalis akan berkembang andai fundamental dan ‘radix’nya tidak kukuh atau tidak boleh diyakini. Lantas jika mahu perkembangkan Islam maka fundamentalnya mesti jelas dan kukuh. Adalah amat tidak adil untuk menyekat sesuatu kefahaman untuk berkembang dengan sempurna sedangkan kefahaman lain diberi ruang bergerak yang seluas-luasnya.

Bakti Ustaz Dr. Fathi Yakan sebagai penulis dan pendakwah akan dikenang sepanjang zaman. Pemergiannya amat dirasakan khususnya bagi pendokong dan pejuang gerakan Islam atau pun sekurang-kurangnya penelaah buku beliau yang ini. Moga-moga ruhnya berkelana di alam abadi menemui sang kekasih dengan penuh rahmat. Al-Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan