Isnin, 8 Jun 2009

Catatan Pasca Muktamar (1)

Muhasabah Haluan Perjuangan
Selesai sudah PAS bermuktamar. Usul yang dibahas telah diterima atau ditolak. Ahli Jawatankuasa baru sudah dipilih. Semangat dan akal baru yang dibekalkan kepimpinan tertinggi dibawa pulang ke kawasan masing-masing sebagai pedoman. Harapan dan mimpi besar PAS ialah memerintah Malaysia pada PRU 13. Tahniah dan selamat berjuang.

Renung balik atau muhasabah yang perlu pasca muktamar antaranya ialah kesinambungan kepimpinan ulama’, kerajaan perpaduan, gerak kerja ke arah kegemilangan PRU 13 dan yang paling penting ialah sejauh manakah ahli PAS peringkat akar umbi sanggup menghadapi cabaran pemikiran dan pendekatan perjuangan yang semakin rencam atau kompleks ini.

Pertamanya, PAS sama ada didorong massa atau atas kesedaran ahlinya sendiri telah memuktamadkan pemilihan ‘tungku’ ulama bagi saf kepimpinan tertingginya. Bagi PAS ulama’ adalah rujukan teras dan tidak kiralah ulama itu pemikirannya konservatif, fundamental atau moderat hatta 'sekularis tanpa sedar' (mudah-mudahan tiada). Dalam konteks ini pada PAS ulama’ itu maksudnya yang layak dipanggil ustaz atau tuan guru, manakala sisi lain bincang kemudian dan itu adalah muktamad. Selepas ini tekad azam dan bulatkan ketaatan demi kejayaan dan keberkatan perjuangan.

Kedua, Presiden dan Timbalannya tetap dengan prinsip muzakarah dan bersedia sehingga ke peringkat menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO -atau sesiapa sahaja(frasa berlapiknya). Walau pun tidak jelas tetapi umum dapat andaikan kerajaan tersebut melibatkan PAS dan UMNO yang barangkali atas kepentingan Melayu Islam. Itu andaian umum dan kebarangkalian betulnya andaian terbut adalah tinggi. Bacaan awam dalam hal ini, PAS selain perjuangan asasnya membentuk Negara Islam tetap meraikan Melayu (baca: perkauman tetapi dicampur Islam) dan dalam konteks ini UMNO adalah parti orang Melayu dan PAS juga majoriti ahlinya orang Melayu. Jika sekiranya faham perkauman ini masih ada dalam pemikiran pemimpin PAS (biar pun PAS diyakini berpegang dengan prinsip kesyumulan dan keunikan Islam) maka Kerajaan Perpaduan dengan UMNO pasti akan jadi realiti, lebih-lebih lagi jika Melayu kelihatan ‘tersepit’.

Ketiga, perlu juga diingatkan bahawa PAS sebetulnya tidak akan berjaya mendirikan kerajaan secara bersendirian biar pun bertanding kesemua kerusi parlimen yang ada. Realiti politik hari ini ialah ‘bukan orang Melayu-Islam’ sahaja yang sudah celik politik tetapi semua rakyat Malaysia. Apa mungkin kecelikan politik rakyat Malaysia ini hanya akan memberikan kelebihan kepada PAS semata-mata. Jawabannya tidak! Memasuki era politik dwi-parti pilihan PAS ialah sama ada bekerjasama dengan BN atau PR. Itu sahaja dan tidak boleh lagi melontarkan idea politik "kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mahukan Islam (termasuk syaitan)” kerana pilihan kini terhad – melainkan PAS proaktif membentuk satu lagi kumpulan parti politik (bersama AKIM, BERJASA, dan PERKIDA barangkali). Oleh itu kerjasama perlulah atas dasar hormat menghormati dan ke arah matlamat yang satu iaitu kemenangan mutlak PRU 13. Jika masih berebut kerusi, menghentam sahabat, rasa parti lain lebih lekeh dan kita paling dominan dan ingin jadi ketua maka pakatan tersebut tidak akan ke mana. Percayalah!. Ini penting diingatkan kerana mentaliti ‘abang besar’ atau 'big boss' janaan pemikiran gerombolan UMNO jika ada dalam pemikiran mana-mana parti dalam PR maka ia akan menjadi barah dan merumitkan kelancaran proses politik baru pakatan yang berpaksi rakyat ini. Pemikiran sempit seumpamanya 'kita takut nantinya ‘orang lain’ akan jadi ketua kita' patut dihindari. Konsep 'orang lain' itu jugalah yang menjadi modal besar UMNO untung melemahkan semangat perjuangan dan kerjasama kerajaan rakyat yang dimpi-impikan itu.
Tiada maknanya politik baru jika sisa-sisa 'budaya ketakutan yang palsu'(false sense security) ini masih bergelora dalam akal dan emosi pemimpin dan ahli PAS. Peluang untuk menerajui Pakatan Rakyat masih terbuka dan kerja keras kita memenangi rakyat sahajalah yang bakal memberikan peluang itu milik kita. Pakar culaan kita perlu lebih realistik dan inovatif dan tidak cenderung menyebarkan 'berita gembira' sahaja jika tidak mahu terlepas peluang ini. Jangan berpuas hati setakat pencapaian yang ada - biar pun kita sudah patut bersyukur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan