Isnin, 15 Jun 2009

TIDAK MENARIK TETAPI MENARIK

Senario tidak menarik yang menarik perhatian ialah sukan khususnya bola sepak. Tidak menarik kerana Malaysia sering gagal di peringkat awal hinggalah minit-minit terkahir permainan. Menarik perhatian kerana semua orang berminat membincangkannya. Bola sepak kita sejak memasuki era professional memang fokusnya lebih kepada bab duit atau gaji yang tinggi manakala aspek spirit, strategy, skill dan stamina pemainnya tetap berada pada tahap paling tidak profesional. Itulah malang dan tidak menariknya senario bola sepak negara kita. Bidang sukan lain pun begitu juga. Tiada ada yang ketara kejayaannya khususnya bagi acara berpasukan dan perlukan pertempuran. Sukan hoki pula, ambil contoh kejohanan belia yang sedang berlangsung sekarang. Pada awalnya tampak garang namun kini sudah memasuki zon gagal dan akan gagal pada perlawanan seterusnya yang mana akhirnya Malaysia mungkin akan menduduki tangga ke 12 atau ke-16 sahaja. Jangan haraplah kedudukan ke -9 atau ke-13 atau pertahankan kedudukan ke-10. Andaian ini berdasarkan apa yang telah dibuktikan selama ini. Pattern pencapaian skuad memang dapat dijangkakan. Jika dalam pertarungan untuk kumpulan ke 4 hingga ke-8 maka Malaysia tidak kira pasukan senior, belia, sekolah atau veteran pasti akan menduduki tangga ke-4. Itu yang lazim terjadi.

Mengapa pencapaian Malaysia amat tidak membanggakan dan biasanya harapan peminat hanya sampai kepada tahap kempunan? Beberapa jawapan ini boleh dijadikan pedoman oleh ‘coach’ (bahasa professional) atau pengurus, ahli psikologi, saintis dan pentadbir sukan Malaysia.

1. Pasukan Malaysia disertai oleh pemain-pemain yang ‘kurang cerdik’ dalam pencapaian akademiknya. Rata-ratanya tidak cemerlang bahkan gagal dalam matematik. Kalau tidak percaya sila semak pencapaian Matematik SPM mereka. Natijahnya daya taakulan dan kemahiran membuat keputusan mereka berada pada tahap yang rendah. Pakar Sains Sukan dan Ahli Psikologi kita perlulah melihat sudut ini dengan bersungguh-sungguh. Negara perlukan ahli sukan yang sihat fizikal dan akalnya.

2. Mereka menjadi ‘star’ sebelum tiba masanya. Ibarat kembang tidak jadi, buah belum ranum dan masih mentah. Tahap ‘bintang’ mereka sama ada akibat perasaan sendiri atau diraikan media dan peminat merupakan barah yang membaham perlahan-lahan tubuh pasukan kebangsaan. Mereka menuntut keistimewaan yang belum perlu namun tugasan mereka dari sudut skill dan stamina sahaja pun gagal dilaksanakan dengan baik.

3. Perlu dipertikaikan sama ada mereka berjuang untuk pasukan negara atau kerana imbuhan. Samalah keadaannya dengan polis, tentera, guru, JPJ dan sebagainya yang berkejaya sama ada untuk mendapat gaji atau untuk negara. Orang akan gelak jika seorang polis berkata ‘Aku bekerja demi agama, bangsa dan negara’ atau seorang guru juga ungkapkan begitu zaman sekarang ini. Pandangan umum melihat pekerja adalah buruh ekonomi yang bekerja untuk kepuasan dan keperluan hidup seharian. Menjadi pejuang adalah bab lain dan tidak masuk dalam bab kerjaya. Maka begitulah juga para ahli sukan professional kita. Jelas mereka bukan pejuang. Untuk apa mereka berjuang jika nanti akan dimaki hamun jika kalah! Tidak perlulah pula mereka menemui manusia hipokrit yang memuji dan menjulang bila mereka menang. Jika dipuji satu bonus bagi populariti mereka dan bukannya penghargaan di atas perjuangan mereka. Itu lebih baik dan lebih adil.

4. Persekitaran sukan kita adakah memangkin kepada tahap professional atlet? Infrastruktur barangkali mungkin. Kemudahan lain seperti kepakaran sains sukan, gaji yang terjamin, insuran dan laluan kerjaya seterusnya amat tidak diyakini oleh ahli sukan. Ini perlulah diteliti dengan serius oleh para pentadbir sukan.

Saya kira pasukan kita mudahnya jika betul-betul mahu berjaya dan meningkatkan 'ranking' pasukan perlulah jadi ‘pejuang’ dan bukan sekadar makan gaji. Gaji atlet kita sudah tinggi dan memadai. Perlu adanya semangat juang yang kuat(spirit), stamina yang dikekalkan sepanjang tahun, kemahiran yang diasah sepanjang masa dan strategi permainan yang sentiasa advance khususnya dari ‘coach’. Ahli sukan perlu juga membaca buku untuk menambahkan ilmu dan kreativiti. Jika tidak jangan mimpilah Malaysia akan menduduki ranking ke-99 FIFA dalam tempoh 10 tahun ini. Percayalah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan