Rabu, 9 Disember 2009

BEST BOLA-BOLA(2)

Pengurusan, industri dan sains sukan merupakan tiga kata kunci utama berkaitan bola sepak masa kini. Biar pun perlu dilihat perspektif lain, namun aspek di atas adalah keutamaan dan tumpuan. Pengurusan adalah kerja sistematik dan berseni. Perlukan kefahaman, disiplin dan pendekatan yang relevan. Anak raja dan ketua parti politik tidak semestinya mahir pengurusan dengan begitu sahaja. Penjaja ulam dan ikan perkasam di Pasar Malam Sungai Petani yang berasal dari Belantik mungkin lebih cekap menguruskan jajaannya berbanding eksekutif jualan kereta. Yang membezakan mereka adalah dari segi skala dan margin untungnya.

Pengurusan

Dalam pengurusan bola jika dipilih yang glamour semata-mata tidak cukup. Perlu ada bersamanya pengurus yang cekap dan beramanah. FAM dapat bertahan biar pun tidak cemerlang kerana ada di dalamnya pengurus yang cekap dan amanah. Namun yang nampak di mata adalah yang glamour dan tidak cekap. Tidak semestinya kita pilih Serbegeth Sigh atau Soh Chin Aun atau Azman Adnan tetapi boleh pilih orang yang kredibel, berani dan berjiwa besar seperti arwah Dato Ahmad Basri. Kita tidak pilih Shebby Sigh sebab ilmunya hanya layak jadi pengkritik, Soh Chin Aun dalam politik dan Azman Adnan auranya lebih dalam bidang dansa, barangkali!

Pengurusan perlu ada visi seperti Vision 2020, perlu ada objektif kerjanya, perlukan akauntabiliti dan amanah. Jika kerja dilihat tidak bersandarkan etika dan akauntabiliti dan lebih kepada kuasa tertentu -kes Pahang umpamanya- maka siapa yang mahu hormat kepada corak pengurusan sebegitu. Umum tidak bantah kerana mereka jelak dan tidak mahu berbalah dengan pengurusan yang kelihatan bebal dan tidak amanah. Pergi jahanamlah kamu -kalau ikut bahasa yang agak kasarnya atau 'bullshit' bagi penggemar(pengamal) budaya cercaan dan makian .

Selanjutnya dapat ditanggapi betapa lemahnya segmen peminat dan pemain. Mereka tidak punyai upaya untuk halang ketidakcekapan dan sifat tidak amanah pemimpin bola sepak nasional. Jika di negara maju yang bola sepak dan akal rakyatnya pasti mereka ini dengan penuh hormat meletakkan jawatan atau ditendang keluar oleh pemain dan peminat bola sepak. Kenapa penyokong dan pemain kita begitu 'mangkuk hayun' sekali dan biarkan sahaja isu tersebut berlalu? Ini ada kaitan dengan kemajuan industri bola sepak negara.

Industri Sukan

Di negara 1Malaysia ini rakyat tidak membudayakan sukan biar pun bola sepak dikatakan sukan nombor satu. Badminton dan skuash yang berkali-kali pemain Malaysia jadi juara dunia pun rakyat tidak begitu kisah sangat. Ertinya tiada peluang 'cari makan' yang menyeluruh dalam kegiatan sukan di Malaysia. Di Malaysia pihak insuran, bank dan 'lawyer' tidak boleh buat duit. Proposal mereka tidak dipandang pun. Penjaja tidak boleh berharap sepenuhnya, pembekal baju dan stokin lebih banyak 'melahu'. Pemain yang profesional pun ada masanya terpaksa jual ABC atau buat sesi fotografi dengan artis popular untuk tampung belanja hidup. Sukan di Malaysia bersifat kampungan. Kecil dan simplisitik -tidak bersifat industri. Lanjutan itu segalanya dipermudahkan dan banyak yang ambil mudah. Pemian tiada insuran, fisioterapis memadai seorang dua, aspek psikologinya memadai jemput Dr. Fazilah Kamsah untuk beri motivasi. Pelajar Sekolah Sukan dan Akademi bola awal-awal lagi sudah mahu bergelar 'star', latihan ikut keadaan dan mood. Semua yang terlibat sukan baca buku pun malas. Ini semua ada kaitan dengan Sains Sukan.

Sains Sukan

Aspek sains sukan seperti pemakanan, kesihatan, psikologi dan pengurusan pemain kurang diambil perhatian. Di Institut Sains Sukan atau MSN barangkali dipraktikkan beberapa elemen namun secara menyeluruhnya sains sukan di Malaysia hanya benda lawak dan asing. Jurulatih bola sama ada sekolah, kelab, belia dan seterusnya hanya sambilan, perutnya boroi, tidur jam 2 pagi, minum kopi 'o' kaw. Pengetahuan dan amalan kesihatan mereka hampir zero, aspek psikologi lagilah kelam. Ada jurulatih yang boleh kongsi rokok dengan pemain yang usianya bawah 18, masih budak sekolah -untuk keserasian katanya. Jurulatih yang lembap dalam pengurusan dan sukan gagal jadi teladan yang baik. Hanya tahu melalak dan ada yang memaki 'player' untuk tunjukkan ketegasan mereka.

Sepatutnya para jurulatih, pengurus dan pemain tahu serba sedikit sains sukan - yang asas. Apa yang perlu dimakan, berapakah jumlah jam rehat dan tidur dan berapa jam perlu berlatih sebagai seorang pemain profesional. Perlu ada etika kerja yang jelas. Perlu ada semangat untuk bekerja dan bermain. Perlu ada stamina dan kemahiran yang mencukupi.

Seandainya jurulatih kosong aspek pengurusan dan sains sukan, pemain sudah jadi 'star' sebelum tiba masanya, pengurusan hanya jadikan persatuan sebagai platform politik untuk cari nama manakala penaja hanya fikir untung maka bola sepak negara tidak akan maju. Hanya berlegar pada tahap itu sahaja. Tidak semestinya tukar pengurusan atau sediakan prasarana berkelas dunia maka bola sepak kita akan jadi hebat. Semua 'stake holder' perlu tahu dan ambil peranan sendiri-ertinya jangan terus jadi bebal dan bersikap simplistik seadanya seperti selama ini. Majulah bola sepak untuk negara bukan untuk kroni! (maksunya bukan hanya untuk yang terlibat semata-mata)

Nota
*Best Bola-Bola adalah nama sebuah gelanggang futsal di Butterworth.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan