Ahad, 20 Disember 2009

ADIL & ZALIM (1)

Adil mengikut Kamus Dewan(Edisi Ketiga, hal. 8) ialah "yg atau dengan berdasarkan pertimbangan(peraturan, ketentuan) yang wajar atau berpatutan, tidak memihak, tidak sewenang-wenang, tidak melebihi atau kurang daripada yang sewajarnya. Lawan bagi adil ialah zalim yang bermaksud "tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis, kejam" (hal. 1557).
Persepsi dan sasaran akal bagi frasa adil dan zalim ini lazimnya tearah ke bidang siasah. Sifat ini sering dikaitkan dengan raja atau pihak berkuasa. Rumusan pemikiran Melayu berkaitan wacana ini terangkum dalam peribahasa "raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Raja ertinya ketua umat yang memerintah atau menaungi bermula dari Raja hinggalah kepada sida-sida istana dan pemukul canangnya. Menyanggah raja adalah derhaka bagi Melayu yang berimankan fuedalisme. Melawan bangsawan juga sama ertinya seperti melawan raja. Maka Melayu dahulu kala hanya berlawan sesama sendiri dan konsep inilah yang diperteguhkan lagi oleh teman-teman rapat fuedal iaitu kolonialisme. Kedua-dua faham ini bergabung untuk menindas dan meletakkan martabat rakyat pada taraf serendah mungkin.
Mengkelaskan manusia agar berkasta adalah pekerjaan yang zalim. Bangsawan yang memandang rendah manusia lain adalah zalim dan tidak adil. Dalam Islam keadilan bermaksud
"meletakkan sesuatu pada tempatnya" manakala zalim adalah perlakuan yang menyalahinya. Seandainya ada pemimpin yang tidak memberikan hak sepatutnya kepada rakyat maka mereka dikira sebagai zalim. Ertinya perbuatan yang dikatakan zalim itu tidak semestinya apabila sudah sampai kepada tahap mendera dan membunuh.
Pemimpin yang menafikan suara rakyat menuntut hak mereka umpamanya hak memperolehi royalti minyak seperti yang terkandung dalam perjanjian adalah zalim. Menukarkan yang sebenarnya umpamanya royalti kepada wang ihsan juga adalah tidak adil kerana tidak bertetapan dengan apa yang sebenar. Dari perspektif akademik memang begitulah yang patut difahami. Nak nafikan apa lagi? Namun dalam konteks siasah yang diwarisi dari kolonial dan diterajui neo-fuedal tidak patutlah diulas dan diterima sebegitu. Rakyat yang bacul dan 'mandom' tidak akan terima atau dibenarkan terima hakikat ilmu sebegitu mudah. Maka jumudlah akal rakyat pada takah itu. Pemimpin sahaja yang perlu dimanis dan progresif kerana mereka akan pertahankan rakyat hingga "ke titisan darah yang terakhir".
Menyekat perkembangan ilmu dan proses cendikia rakyat adalah ketidakadilan raja terhadap rakyat. Dosa kezaliman sebegitu sama keadaan seperti mana seorang guru yang menyekat anak muridnya daripada memahami ilmu hingga ke tahap hakikatnya. Guru yang mengindoktrinasi muridnya agar bersifat dogmatik dan militan adalah guru yang tidak adil. Memang ilmu yang berkait akidah itu dogmatik sifatnya, namun ruang dibuka dalam konteks perbincangan falsafah agar kebenaran terus dicari dan dihargai.
Zalim raja terhadap rakyat bukan setakat yang berkaitan dengan pemerintahan negeri sahaja tetapi juga melibatkan apa yang dimakan, dipakai, dipelajari hatta kepada apa yang dibuat di dalam kelambu bersama permaisuri dan gundik-gundiknya. Tidak adil jika seorang raja yang sememangnya layak memiliki empat isteri (dalam konteks Islam) menambahkan lagi 40 orang puluh orang gundik di istana-istana hinggapnya untuk kepuasan syahwatnya. Raja yang lebih gemar melayan kemaluan dan perut sendiri adalah tidak adil dan tidak patut dirajakan. Namun dalam faham fuedal dan kapatalis-kolonial itulah yang perlu diterima dan diteruskan.

Rakya boleh berkata mahu menyanggah raja zalim tetapi akal dan tekad politik yang lemah menjadikan slogan itu ibarat anjing menyalak bukit. Dalam konteks demokrasi rakyat diberikan peluang untuk mengkembirikan raja yang zalim dan tidak adil. Namun rakyat yang bonsai akalnya pula akan bersifat zalim. Mereka salah pilih dan meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Maka berterusanlah raja yang zalim dipilih. Ertinya biar pun demokrasi dan kebebasan memilih itu wujud namun jika akal dan jiwa tidak bebas maka keadilan tidak akan berlaku. Rakyat dan raja yang sama-sama membuat zalim pada diri dan generasi mereka sendiri. Lantas jika semua pihak berperibadi zalim siapa yang mahu menyanggah ketidakadilan masing-masing?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan