Ahad, 21 Jun 2009

BLOGGER SELAK KAIN : BLOGGER GAYA LAMA

Entri kali ini adalah sebagai satu tazkirah untuk muhasabah rakan 'citrawan' atau blogger khususnya yang menumpu kepada kritik dan ulasan politik.
Saya fikir rakan-rakan sekalian perlu membantu massa untuk mendidik rakyat dan generasi baru tentang politik baru. Oleh itu para blogger perlulah berfikiran baru -dalam erti kata memberikan kritik dan komen komprehensif dan membina. Biar di pihak mana pun anda berada anda bertanggungjawab untuk membantu perkembangan politik tanahair tercinta ini ke arah penyuburan politik baru yang waras. Apa pulak politik tidak waras?
Politik tidak waras dicetuskan oleh pemimpin dan dituruti oleh pengikutnya yang tidak waras juga. Kalau diumpamakan dengan jenaka maka politik tidak waras adalah lawak melondeh kain kawan-kawan di market atau di dalam masjid. Melondeh kain kawan sendiri di market akan dilihat orang lain -jantan betina, lelaki perempuan, anak dara-teruna, orang tua, cina, siam, PATI(jika ada) dan sebagainya.
Melondeh kain kawan di dalam masjid akan dilihat oleh saudara seagama yang satu tujuan dan satu matlamat iaitu menyembah Allah.
Blogger yang turut serta dalam pesta politik tidak waras seperti itu tidak menyumbang apa-apa pun yang bermakna kepada pendidikan politik. Memanglah ruang maya blog ini terbuka untuk berkata apa sahaja justeru terbuka kepada kreativiti dan inovasi. Itu tidak ternafikan namun demikian citrawan atau blogger itu ternyata masih bergaya lama. Kita boleh berkreatif tanpa perlu mem'babi'kan orang lain, tanpa perlu menyumpah dan membangsatkan pihak lawan. Kita boleh sampaikan mesej tentang keburukan liwat tanpa perlu menunjukkan aksi liwat (seperti yang disketsakan oleh sesetengah pemuda dan puteri politik lama itu).
Jika blogger pun sama dengan politikus lama yang tidak waras itu apa yang tinggal dalam arena politik kita? Memanglah sesetengah blogger nampak kurang matang dan kurang gemar berwacana atau berhujjah dengan fakta namun kita patut belajar sedikit demi sedikit agar tetes kematangan itu menyerapi akal dan ruh kita.
Memanglah ada pewacana dari kedua-dua belah pihak memberikan fakta masing-masing dan saling menampakkan kehuduhan pihak lain. Itu baik selagi tidak mencerminkan kehuduhan diri sendiri. Memang ada blogger dan pewacana yang nampak 'kekangkungan' dan kekampungan tetapi itu lebih baik daripada melontarkan emosi marah, dendam atau ugutan.
Saya fikir sudah tiba masanya blogger atau citrawan maya saling berhujah ke arah kebaikan bukannya untuk kepentingan tembolok pemimpin besar dan pengikut mereka sahaja. Barangkali sesetengah dari kita nampak apa itu kehuduhan tetapi kita tidak mahu menyatakan kebenaran kerana kita juga akan terasa pahitnya. Apa pun selagi blogger masih berperan dengan gaya lama maka selama itulah politik lama akan terus hidup dan selama itulah jua rakyat akan berfikiran lama. Rakyat akan terus-terusan mengatakan liberalis itu lebih baik dari komunis dan sosialis sedangkan pada hakikatnya semuanya itu palsu dan tipu muslihat belaka. Selamanya kita dan rakyat tidak akan nampak kebaikan yang terbit dari jatidiri bangsa sendiri.

Rabu, 17 Jun 2009

Mim Lam Alif Ya Wau SEBUTANNYA: MALAY

1. Perkara penting berkaitan bahasa yang perlu sering diulang-ulang ialah BAHASA JIWA BANGSA, manakala bangsa yang berjiwa besar akan mempertahan dan memperkembangkan bahasanya sendiri ke seluruh dunia.
2. Masalah di Malaysia sekarang bukan penguasaan bahasa Inggeris tetapi iltizam mendaulatkan bahasa Kebangasaan iaitu bahasa Melayu. Jika keutamaanya sekarang bahasa Inggeris maka tiada masa untuk kita daulatkan bahasa Melayu
3. Sila kaji kenapa tulisan Jawi hampir luput di alam sedangkan itu adalah teras budaya dan jiwa Melayu. Apa kaitannya dengan tulisan rumi bahasa Melayu?. Adakah Jawi diberikan keutamaan hingga menyebabkan hampir luput? atau adakah ini kebenarannya konsep "gunakan kayu untuk memusnahkan kayu" dalam kes batang/pemegangkapak? Bahasa Melayu dipergunakan untuk musnahkan jatidiri bangsa sendiri -tanpa sedar secara perlahan.
4. Bahasa Inggeirs beratus tahun dahulu bukannya bahasa penting dan utama tetapi orang Inggeris berusaha mendaulatkannya dengan pelbagai cara. antaranya
4.1. menterjemah ilmu dari bahasa asing
4.2. gunakan English sebgai bahasa ilmu dan komunikasi
4.3. elakkan campur aduk atau pengaruh nyata bahasa asing seperti Greek Yunani.

5. Kalau Melayu sendiri masih tidak tahu jalannya untuk majukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa besar tunggulah nanti mungkin keturunan mamak, hispanic, negro, Lee Kuan Yew atau Datuk shah Rukh Khan akan martabatkan bahasa Melayu. Itu sahaja. Untuk sampai ke tahap dan masa itu Malaysia mestilah setaraf Amerika Syarikta sekarang ini atau paling maju pada mas itu. Cuma kita harapkan pada masa itu bahasa Melayu sudah jadi antik dan primitif seumpama tulisan kuno dinding piramid atau batu bersurat .
6. Kita juga berharap Bahasa Melayu belum menjadi sisipan dalam akhbar News Straits Times pada ketika itu. Tulisan Jawi tidak diabaikan hanya dalam tempoh 30 tahun sahaja sudah layak jadi sisipan dalam akhbar tulisan rumi sekarang ini. Mungkin 75 akan datang bahasa Melayu masih ampuh bertahan walaupunh cucu cicit kita semuanya sudah berbahasa Inggeris dengan lancar dan malu atau tidak betah lagi berbahasa Melayu. Kita haraplah begitu!
7. Kalau kita berjiwa 'kecik' memang kita tidak nampak perkara ini. Kecik dan biasa sahaja masalah ini sedangkan kita perlu bersaing di peringkat global mengguna bahasa Ingggeris! Seganlah mahu tulis perkataan computer dengan susunan ejaan ini : komputer! Samalah pelik dan malunya anak-anak muda Melayu zaman pasca moden ini mengeja perkataan Melayu gunakan huruf-huruf begini: mim lam alif ya wau..peliklah! Melayu pun patutnya sudah jadi Malay! ahh..sudahhlah..apa yang kau merepek ni!

Isnin, 15 Jun 2009

TIDAK MENARIK TETAPI MENARIK

Senario tidak menarik yang menarik perhatian ialah sukan khususnya bola sepak. Tidak menarik kerana Malaysia sering gagal di peringkat awal hinggalah minit-minit terkahir permainan. Menarik perhatian kerana semua orang berminat membincangkannya. Bola sepak kita sejak memasuki era professional memang fokusnya lebih kepada bab duit atau gaji yang tinggi manakala aspek spirit, strategy, skill dan stamina pemainnya tetap berada pada tahap paling tidak profesional. Itulah malang dan tidak menariknya senario bola sepak negara kita. Bidang sukan lain pun begitu juga. Tiada ada yang ketara kejayaannya khususnya bagi acara berpasukan dan perlukan pertempuran. Sukan hoki pula, ambil contoh kejohanan belia yang sedang berlangsung sekarang. Pada awalnya tampak garang namun kini sudah memasuki zon gagal dan akan gagal pada perlawanan seterusnya yang mana akhirnya Malaysia mungkin akan menduduki tangga ke 12 atau ke-16 sahaja. Jangan haraplah kedudukan ke -9 atau ke-13 atau pertahankan kedudukan ke-10. Andaian ini berdasarkan apa yang telah dibuktikan selama ini. Pattern pencapaian skuad memang dapat dijangkakan. Jika dalam pertarungan untuk kumpulan ke 4 hingga ke-8 maka Malaysia tidak kira pasukan senior, belia, sekolah atau veteran pasti akan menduduki tangga ke-4. Itu yang lazim terjadi.

Mengapa pencapaian Malaysia amat tidak membanggakan dan biasanya harapan peminat hanya sampai kepada tahap kempunan? Beberapa jawapan ini boleh dijadikan pedoman oleh ‘coach’ (bahasa professional) atau pengurus, ahli psikologi, saintis dan pentadbir sukan Malaysia.

1. Pasukan Malaysia disertai oleh pemain-pemain yang ‘kurang cerdik’ dalam pencapaian akademiknya. Rata-ratanya tidak cemerlang bahkan gagal dalam matematik. Kalau tidak percaya sila semak pencapaian Matematik SPM mereka. Natijahnya daya taakulan dan kemahiran membuat keputusan mereka berada pada tahap yang rendah. Pakar Sains Sukan dan Ahli Psikologi kita perlulah melihat sudut ini dengan bersungguh-sungguh. Negara perlukan ahli sukan yang sihat fizikal dan akalnya.

2. Mereka menjadi ‘star’ sebelum tiba masanya. Ibarat kembang tidak jadi, buah belum ranum dan masih mentah. Tahap ‘bintang’ mereka sama ada akibat perasaan sendiri atau diraikan media dan peminat merupakan barah yang membaham perlahan-lahan tubuh pasukan kebangsaan. Mereka menuntut keistimewaan yang belum perlu namun tugasan mereka dari sudut skill dan stamina sahaja pun gagal dilaksanakan dengan baik.

3. Perlu dipertikaikan sama ada mereka berjuang untuk pasukan negara atau kerana imbuhan. Samalah keadaannya dengan polis, tentera, guru, JPJ dan sebagainya yang berkejaya sama ada untuk mendapat gaji atau untuk negara. Orang akan gelak jika seorang polis berkata ‘Aku bekerja demi agama, bangsa dan negara’ atau seorang guru juga ungkapkan begitu zaman sekarang ini. Pandangan umum melihat pekerja adalah buruh ekonomi yang bekerja untuk kepuasan dan keperluan hidup seharian. Menjadi pejuang adalah bab lain dan tidak masuk dalam bab kerjaya. Maka begitulah juga para ahli sukan professional kita. Jelas mereka bukan pejuang. Untuk apa mereka berjuang jika nanti akan dimaki hamun jika kalah! Tidak perlulah pula mereka menemui manusia hipokrit yang memuji dan menjulang bila mereka menang. Jika dipuji satu bonus bagi populariti mereka dan bukannya penghargaan di atas perjuangan mereka. Itu lebih baik dan lebih adil.

4. Persekitaran sukan kita adakah memangkin kepada tahap professional atlet? Infrastruktur barangkali mungkin. Kemudahan lain seperti kepakaran sains sukan, gaji yang terjamin, insuran dan laluan kerjaya seterusnya amat tidak diyakini oleh ahli sukan. Ini perlulah diteliti dengan serius oleh para pentadbir sukan.

Saya kira pasukan kita mudahnya jika betul-betul mahu berjaya dan meningkatkan 'ranking' pasukan perlulah jadi ‘pejuang’ dan bukan sekadar makan gaji. Gaji atlet kita sudah tinggi dan memadai. Perlu adanya semangat juang yang kuat(spirit), stamina yang dikekalkan sepanjang tahun, kemahiran yang diasah sepanjang masa dan strategi permainan yang sentiasa advance khususnya dari ‘coach’. Ahli sukan perlu juga membaca buku untuk menambahkan ilmu dan kreativiti. Jika tidak jangan mimpilah Malaysia akan menduduki ranking ke-99 FIFA dalam tempoh 10 tahun ini. Percayalah!

BUKU YANG MEMBERIKAN ERTI

Dari sejumlah besar buku dan makalah yang ditekuni salah sebuah yang amat memberikan kesan kepada saya ialah ‘maaza yakni intamai lil islam’ yang diterjemahkan oleh Ustaz Alias Othman dengan judul ‘Apa ertinya saya menganut Islam’. Kitab tersebut amat komprehensif dan mudah difahami khususnya bagi memahami 'Apa itu Islam' pada peringkat asas. Memang buku itu digunakan dalam perbincangan usrah di mana-mana pun. Terdapat pula syarah tambahan yang dibuat oleh penterjemah atau naqib lainnya dalam bentuk edaran. Buku tersebut yang saya beli dari wakil Penerbit Pustaka Salam (sekitar tahun 1986) masih ada dalam simpanan sampai sekarang dan kandungannya saya kira masih relevan dan perlu diulang-ulang baca. Penting sebagai meneguhkan kefahaman, ulangkaji dan barangkali ‘modal’ untuk berbicara tentang asas Islam dan asas harakah islam.
Ternyata bakti penulis buku ini amat besar dan ilmu akan ini terus berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Kitab seumpama inilah yang sesuai untuk dibaca seluruh umat manusia. Kandungannya sesuai untuk sepanjang zaman, semua tempat dan semua manusia yang mahu memahami Islam. Mudah-mudahan (atau sepatutnya) anak-anak muda kita –yang bersekolah, di menara gading, nelayan muda, yang merempit atau yang menganggur hatta penagih dadah dan bohsia- akan membaca buku ini. Mereka perlu diperkenalkan dan disyarahkan kandungan buku ini. Ini tugas pendakwah untuk sampaikan kepada anak-nak muda kita. Para ahli jamaah tabligh patutlah membacakan sama buku ini di masjid atau surau yang disinggahi. Patut juga para dermawan atau korperat menjadikan buku ini sebagai hadiah kepada anak-anak muda. Perlu diterbitkan dalam versi murah (serendah harga RM1.00 umpamanya) agar anak-anak muda mampu memilikinya. Setiap perpustakaan sepatutnya sudah ada beberapa nashkah buku ini di raknya.
Perlu ada tindakan atau daya usaha agar buku ini dijadikan salah satu teks tasawwur Islam di universiti dan kolej kerana diyakini para mahasiswa (Islam atau Non-Islam) akan lebih faham apa itu Islam setelah menekuni buku ini. Memanglah buku sebegini amat ditakuti oleh sesetengah pihak dengan alasan akan meracuni pemikiran anak muda- takut jadi fundamentalis dan radikal. Maka perlulah dijelaskan kepada mereka bahawa fundamentalis dan radikallah yang sebenarnya dapat memberikan erti kepada semua ideologi yang ada. Tidak mungkin sosialis dan kapitalis akan berkembang andai fundamental dan ‘radix’nya tidak kukuh atau tidak boleh diyakini. Lantas jika mahu perkembangkan Islam maka fundamentalnya mesti jelas dan kukuh. Adalah amat tidak adil untuk menyekat sesuatu kefahaman untuk berkembang dengan sempurna sedangkan kefahaman lain diberi ruang bergerak yang seluas-luasnya.

Bakti Ustaz Dr. Fathi Yakan sebagai penulis dan pendakwah akan dikenang sepanjang zaman. Pemergiannya amat dirasakan khususnya bagi pendokong dan pejuang gerakan Islam atau pun sekurang-kurangnya penelaah buku beliau yang ini. Moga-moga ruhnya berkelana di alam abadi menemui sang kekasih dengan penuh rahmat. Al-Fatihah.

Selasa, 9 Jun 2009

LAGI-LAGI KERAJAAN PERPADUAN!

Wacana dan borak-borak tentang Kerajaan Perpaduan merancakkkan akal dalam sehari dua ini. Maksud yang diberikan ialah ‘sebuah kerajaan tanpa pembangkang’. Ada iras-iras kerajaan Republik Iran, Indonesia dan Israel. Pemimpin tertinggi kerajaan pun boleh disaman kerana mahkamah benar-benar bebas – kerajaan tidak perlu elak dari mahkamah dan SPRM kerana tiada pembangkang yang akan menempelaknya- semuanya punyai peluang yang sama untuk mencadang dan membangkang. Itulah keunggulan fikrah tentang 'unity government' -berbanding kerajan campuran, dwi-parti atau parti tunggal.

Masalahnya semua orang masih tidak faham dan ada yang tanya orang lain. Ustaz Azizi Abdullah kata ada bisul dalam serban PAS. Dr. Khir Toyo pun tumpang sekaki –tidak penting katanya! Lebih malang ada yang buat cerita kononnya ada orang PAS yang mahu melompat ke PKR gara-gara Kerajaan Perpaduan ini. Ada yang mengaskan bahawa 'unity government' tidak menyalahi syarak dan menampakkan keikhlasan pemimpinnya. Maka KJ pun mengajak PAS untuk hidupkan bermuzakarah. Apa-apa pun janganlah gabra. Pasti akan ada penamatnya yang harap-harapnya Happy Endinglah!

Rumusannya Kerajaan Perpaduan itu hanya sesuai bagi politikusnya yang BAIK dan JUJUR berpolitik.Bersedia untuk selesaikan masalah unat dengan jalan yang terbaik, telus dan pasti sekali faham dan mengharapkan ‘baldatun taoiyibbah wa Rabbun ghafur”. Soalnya sekarang adakah para politikus itu BAIK dan JUJUR, telus dan mahu selesaikan masalah rakyat?
Ataukah sebaliknya tok-tok lebai sudah memasuki fasa ‘main politik baru’ yang sanggup bersama orang yang dahulunya dilabel tidak JUJUR dan telus? Ada yang sudah mula ulang tayang amanat Haji Hadi lebih 20 tahun dahulu! Politik suku agama suku akan ditentang!
Walak kepada pemimpin adalah perlu malahan wajib tetapi fikrah yang baik dan jernih adalah pengimbang kepada ketaatan yang membuta-tuli (atau membabi buta??).
Satu hal lagi bagaimana mahu cari makenisme untuk pilih pemimpin yang tidak dipengaruhi musuh luar jika kita bersama-sama dengan orang luar? Dalam politik orang luar itu maksudnya musuh - biar pun sama bangsa, sama puak hatta sama anutan agama. Mekasnisme yang dicari itu bagaimana jika milik musuh? Sentiasa husnuz zan kah terhadap musuh demi perpaduan?

Penyokong, ahli parti, pengamat dan pembaca dalam dilema andai status ulama berterusan dipertaruhkan dalam apa jua kerja buat tanpa sanggup disanggah akal. Bukan menyanggah ulama tetapi tahap kecekapan dan keberkesanan ulama itu yang dipersoal. Profesionalisme lah sikit, barulah nampak dinamik!

Isnin, 8 Jun 2009

Catatan Pasca Muktamar (2)

Bekerja Untuk Menang
Bertolak dari proses renung balik arah hala perjuangan PAS, maka perlulah dipertegaskan bahawa pemikiran seluruh kerabat PAS perlulah dicerna secara berterusan dan sistematik. Dalam konteks ini proses tarbiyah dan penyusunan organisasi sangatlah penting. Pemuda adalah teras parti yang sering diabaikan apabila selesai musim pilihanraya. Perlu dilihat adakah pemuda kita terus istiqamah dengan masjid atau sama sahaja sahsiahnya dengan pemuda-pemudi pimpinan KJ. Apakah tasawwur perjuangan pemuda-pemudi kita benar-benar jelas atau hanya sebagai penggamat laungan takbir sahaja? Atau apakah pemuda kita hanya menjadi barisan hadapan untuk melayan balik provokasi lucah budak-budak KJ?
Pendekatan perjuangan kita mesti bersifat fundamental kerana yakinlah musuh kita sentiasa lebih ‘advance’ sedangkan kita merasa sudah cukup dengan apa yang ada. Pemikiran pejuang khususnya pemuda mestilah lebih jauh melepasi Wawasan 2020. Pemuda semestinya boleh ‘capai tahap mumtaz’ dalam fardu ain, jawi dan al-Quran. Pemuda mesti memahami asas ekonomi dan terlibat dengan ekonomi yang betul. Pemuda mesti boleh menyusun agenda mesyuarat dan muzakarah dengan betul dan bukan hanya mampu mengerah rakan-rakan ke jalanraya atau pada hari penamaan calon semata-mata.
Sedarkah kita tahap pemikiran dan kesiap sigaan pemuda kita terhadap tekad penubuhan kerajaan rakyat masih di peringkat minimum? Perlu adanya institusi tarbiyah dan latihan yang sistematik agar kita benar-benar bersedia memimpin. Akademi latihan kita sepatutnya ada elemen profesionalisme, intelegensia dan berorientasikan nilai enterprising. Ingatlah kerajaan rakyat nanti bukan dikuasai oleh PAS sepenuhnya dan bukan hak PAS semata-mata biar pun PAS mengetuiai kerajaan. Kerajaan Rakyat itu nanti adalah kerajaan –yang barangkalinya diketuai ulama’- tetapi ahli-ahli kabinetnya lebih ramai ahli professional dan aktivis parti. Pemikiran dan budaya politik akan bersilang dan berbaur. Pasti akan ada kesukarannya tetapi matlamat yang jelas dan keazaman politik yang kuat akan memudahkan perjalanan Kerajaan Rakyat dan benar-benar bermanfaat untuk rakyat. Biar pun kita berjuang bukan untuk jawatan tetapi dalam Kerajaan Rakyat nanti jawatan akan jadi amanah besar atau sebaliknya godaan besar kepada para pejuang kita. Jawatan perlu diterima sebagai membuktikan laungan tentang ketelusan dan keadilan selama ini benar-benar boleh dimplementasi dengan jayanya.

Maka seusai sahaja muktamar ini, PAS sepatutnya sudah menyediakan pemudanya dengan bekalan fikrah yang kritis dan berdaya saing, tasawwur yang jelas dan sahsiah yang memikat. Pemimpin PAS perlu sedar bahawa ahli-ahli muda kita hari ini hanyalah tekal dengan prinsip ‘sami’na wa ato’na’ (kami dengar dan kami patuh) atau tunggu dan lihat. Sikap ini adalah betul tetapi tidak memadai kerana diyakini dengan cara itu pemuda kita tidak akan mampu bersiasah pada peringkat tinggi.
Buatlah survey atau tanyalah sendiri kepada pemuda kita tentang sikap mereka. Tanyalah soalan umpamanya “apa kamu akan jadi 10 tahun dari sekarang – sebagai pejunag PAS?”. Jika diterima jawapan yang komprensif atau lengkap maka bolehlah saf kepimpinan berpeluk tubuh dan tunggulah kejayaan PRU 13 nanti kerana semuanya sudah bersedia. Namun hakikatnya manusia ramai yang alpa –kecuali pemimpin barangkali- tidak ramai yang waspada dan merancang dengan baik untuk sepuluh tahun akan datang khususnya dalam siasah. Maka anak-anak muda yang belum matang itu patutlah menjadi keutamaan kepimpinan untuk dibimbing bagi menghadapi persaingan siasah yang kian rumit dan mencabar.
Oleh yang demikian latihan dan tarbiyah yang tersusun (bagi mengambil alih kerajaan) perlu digerakkan segera –sehari selepas muktamar. Tentu pemimpin sudah berpesan –baliklah ke kawasan masing-masing dan bekerjalah bersungguh-sungguh untuk capai matlamat memerintah Malaysia. Apa ertinya kerja tanpa ilmu mencukupi yang merangkumi falsafah, nilai, pendekatan, strategi dan kaedah yang berkesan? Hal inilah yang diharapkan dari kelompok profesional. Memimpin pemikiran strategik segenap peringkat ahli terutamanya barisan pemuda. Kerja yang perlukan skima akal yang sistematik, kreatif dan cekap ini tidak dapat diperoleh dengan begitu sahaja tatkala memasang poster umpamanya. Jalan sukses bagi kerja perjuangan ini boleh didapati sekurang-kurang melalui 3 cara iaitu melalui bilik kuliah, pengalaman hidup dan imaginasi atau celik akal. Semuanya ini perlu dirancang dan dibuat bukan hanya sekadar dengan mengharap pertolongan kuasa ghaib semata-mata.
Perlu diperjelaskan bahawa perjuangan kita ini perlukan ilmu yang benar dan mecukupi, usaha dengan kerja keras, doa dan tawakal untuk memastikan kita berjaya memerintah dengan baik selepas PRU 13. Semua keperluan tersebut bukan sekadar retorik di atas kertas atau pentas semata-mata dan perlu dilaksanakan. Siapa yang patut laksanakan selain kita semua. Kami para blogger (atau citrawan) pada peringkat ini barangkali menyaring dan menyususn idea dan menyebarkan- untuk rujukan tambahan biar pun bukan satu bentuk ilmu. P
ada masa akan datang pun jika masih perlukan kami maka pasti kami akan ada bersama para pejuang sekalian.
Selanjutnya pemimpin tertinggi perlulah pastikan semua ‘tungku’ di segenap peringkat berfungsi secara efektif. Jika tidak PAS hanya bermimpi untuk memimpin manakala natijahnya masih dipimpin –dan yang malangnya pemimpinnya tetap gerombolan yang itulah untuk kesekian kalinya.
Pertanyaan terakhir dan renung balik yang amat penting ialah, masih mahu bicara lagikah soal perpaduan dan kelangsungan hidup Melayu jika nantinya kita masih tetap dipimpin oleh mereka sedangkan dalam jalur siasah sekarang PAS punyai 'advantage' - yang bukan sedikit?

Catatan Pasca Muktamar (1)

Muhasabah Haluan Perjuangan
Selesai sudah PAS bermuktamar. Usul yang dibahas telah diterima atau ditolak. Ahli Jawatankuasa baru sudah dipilih. Semangat dan akal baru yang dibekalkan kepimpinan tertinggi dibawa pulang ke kawasan masing-masing sebagai pedoman. Harapan dan mimpi besar PAS ialah memerintah Malaysia pada PRU 13. Tahniah dan selamat berjuang.

Renung balik atau muhasabah yang perlu pasca muktamar antaranya ialah kesinambungan kepimpinan ulama’, kerajaan perpaduan, gerak kerja ke arah kegemilangan PRU 13 dan yang paling penting ialah sejauh manakah ahli PAS peringkat akar umbi sanggup menghadapi cabaran pemikiran dan pendekatan perjuangan yang semakin rencam atau kompleks ini.

Pertamanya, PAS sama ada didorong massa atau atas kesedaran ahlinya sendiri telah memuktamadkan pemilihan ‘tungku’ ulama bagi saf kepimpinan tertingginya. Bagi PAS ulama’ adalah rujukan teras dan tidak kiralah ulama itu pemikirannya konservatif, fundamental atau moderat hatta 'sekularis tanpa sedar' (mudah-mudahan tiada). Dalam konteks ini pada PAS ulama’ itu maksudnya yang layak dipanggil ustaz atau tuan guru, manakala sisi lain bincang kemudian dan itu adalah muktamad. Selepas ini tekad azam dan bulatkan ketaatan demi kejayaan dan keberkatan perjuangan.

Kedua, Presiden dan Timbalannya tetap dengan prinsip muzakarah dan bersedia sehingga ke peringkat menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO -atau sesiapa sahaja(frasa berlapiknya). Walau pun tidak jelas tetapi umum dapat andaikan kerajaan tersebut melibatkan PAS dan UMNO yang barangkali atas kepentingan Melayu Islam. Itu andaian umum dan kebarangkalian betulnya andaian terbut adalah tinggi. Bacaan awam dalam hal ini, PAS selain perjuangan asasnya membentuk Negara Islam tetap meraikan Melayu (baca: perkauman tetapi dicampur Islam) dan dalam konteks ini UMNO adalah parti orang Melayu dan PAS juga majoriti ahlinya orang Melayu. Jika sekiranya faham perkauman ini masih ada dalam pemikiran pemimpin PAS (biar pun PAS diyakini berpegang dengan prinsip kesyumulan dan keunikan Islam) maka Kerajaan Perpaduan dengan UMNO pasti akan jadi realiti, lebih-lebih lagi jika Melayu kelihatan ‘tersepit’.

Ketiga, perlu juga diingatkan bahawa PAS sebetulnya tidak akan berjaya mendirikan kerajaan secara bersendirian biar pun bertanding kesemua kerusi parlimen yang ada. Realiti politik hari ini ialah ‘bukan orang Melayu-Islam’ sahaja yang sudah celik politik tetapi semua rakyat Malaysia. Apa mungkin kecelikan politik rakyat Malaysia ini hanya akan memberikan kelebihan kepada PAS semata-mata. Jawabannya tidak! Memasuki era politik dwi-parti pilihan PAS ialah sama ada bekerjasama dengan BN atau PR. Itu sahaja dan tidak boleh lagi melontarkan idea politik "kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mahukan Islam (termasuk syaitan)” kerana pilihan kini terhad – melainkan PAS proaktif membentuk satu lagi kumpulan parti politik (bersama AKIM, BERJASA, dan PERKIDA barangkali). Oleh itu kerjasama perlulah atas dasar hormat menghormati dan ke arah matlamat yang satu iaitu kemenangan mutlak PRU 13. Jika masih berebut kerusi, menghentam sahabat, rasa parti lain lebih lekeh dan kita paling dominan dan ingin jadi ketua maka pakatan tersebut tidak akan ke mana. Percayalah!. Ini penting diingatkan kerana mentaliti ‘abang besar’ atau 'big boss' janaan pemikiran gerombolan UMNO jika ada dalam pemikiran mana-mana parti dalam PR maka ia akan menjadi barah dan merumitkan kelancaran proses politik baru pakatan yang berpaksi rakyat ini. Pemikiran sempit seumpamanya 'kita takut nantinya ‘orang lain’ akan jadi ketua kita' patut dihindari. Konsep 'orang lain' itu jugalah yang menjadi modal besar UMNO untung melemahkan semangat perjuangan dan kerjasama kerajaan rakyat yang dimpi-impikan itu.
Tiada maknanya politik baru jika sisa-sisa 'budaya ketakutan yang palsu'(false sense security) ini masih bergelora dalam akal dan emosi pemimpin dan ahli PAS. Peluang untuk menerajui Pakatan Rakyat masih terbuka dan kerja keras kita memenangi rakyat sahajalah yang bakal memberikan peluang itu milik kita. Pakar culaan kita perlu lebih realistik dan inovatif dan tidak cenderung menyebarkan 'berita gembira' sahaja jika tidak mahu terlepas peluang ini. Jangan berpuas hati setakat pencapaian yang ada - biar pun kita sudah patut bersyukur.

Jumaat, 5 Jun 2009

SELAMAT HARI ALAM SEKITAR

Hari ini 5 Jun 2009 merupakan Hari Alam Sekitar. Hakikat ramainya umat manusia yang tidak menyedarinya tidak dapat dinafikan. Apalah sangat Hari Alam Sekitar berbanding Hari Valentine, Hari Tahun Baru atau Hari Ibu. Alam sekitar seakan subjek asing bagi majoriti umat manusia. Melestarikan alam sekitar lagilah pelik dan satu kerja yang tidak kelihatan apa untungnya. Ini bukan generalisasi umum tetapi itulah faktanya. Kalau tidak percaya buatlah ‘survey’ tentang berapa orangkah di sekitar anda yang tahu tarikh Hari Alam Sekitar. Tanyalah mereka apakah kesan rumah hijau atau kenapakah banjir sering berlaku di kawasan mereka. Perhatikan di taman permainan apakah tong sampah digunakan secara efektif.

Saya kira anda akan mendapat jawapannya bila ‘melawat’ longkang di lorong-lorong belakang, sungai-sungai di tengah bandaraya atau kilang memproses makanan umpamanya. Anda akan dapati sampah memenuhi sungai dan longkang, bau busuk dan hanyir menusuk dengan tumbuhan yang warnanya bukan lagi hijau. Jika anda di tengah bandaraya perhatikan dalam tempoh satu minit berapa buah kenderaankah yang lalu di hadapan anda. Apakah kenderaan tersebut tidak mengeluarkan asap? Apa maknanya asap kenderaan itu kepada alam sekitar? Lihatlah aliran sungai, pokok-pokok, bukit dan gunung dan isi alam seluruhnya. Apa khabar mereka semuanya? Masih sihatkah semua unsur alam tersebut?

Semua tanda-tanda tersebut membuktikan betapa sebahagian penduduk dunia gagal memelihara alam sekitar, apatah lagi melestarikannya. Kenapakah manusia terlepas pandang aspek ini? Jawapannya ialah tuntutan ekonomi. Manusia tiada masa memikirkan tentang hakisan, banjir, suhu atau malar hijau alam kerana manusia hanya memikirkan makan dan wang. Manusia memilih menebang pokok yang lebih besar pemeluknya dengan maksud bagi mendapatkan lebih banyak wang. Manusia membuang bangkai, sampah dan racun ke dalam sungai dengan maksud untuk menjimatkan wang dan memaksimumkan untung. Manusia menarah bukit, mengorek pasir, menebang hutan atau membina bangunan untuk mendapatkan untung demi memastikan roda ekonomi terus berputar.
Alam sekitar dimangsakan kerana alam sekitar tidak mampu bersuara. Makhluk lain yang bergantung kepada alam sekitar (termasuklah kaum asli primitif pengamal pagan itu!) juga tidak mampu ‘bersuara’ dalam bahasa manusia. Maka manusialah yang paling berkuasa kerana mereka punyai suara untuk memberikan makna atau justifikasi terhadap apa jua tindakan mereka. Namun dari semua tindakan manusia terhadap alam sekitar kesimpulannya manusia hanya memperkuda atau memperkosa alam sekitar untuk memuaskan nafsu sesama mereka sahaja. Pelbagai istilah dicipta bagi mengesahkan segala tindakan rakus manusia terhadap alam sekitar seperti pembangunan, kemajuan bangsa, masyarakat madani hatta seni dan keindahan.

Kegagalan melestarikan alam sekitar bermaksud memusnahkan alam sekitar secara berterusan dan hasilnya nanti ialah kehodohan alam, kepanasan melampau, kecelaruan cuaca dan kegelisahan sosial. Impak tersebut tidak boleh dilihat hari ini kerana alam sekitar tidak mengingatkan manusia dengan berkata-kata. Tanda-tanda keresahan alam sekitar itulah yang perlu difahami.
Marilah kita dengari rintih resah alam seperti yang diungkapakan oleh Sasterwan Negara;

Beringin tua di pinggir jalan raya
di sebuah ibu kota yang setengah muda
ratusan tahun usianya berdiri
menadah matari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka
di sini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya
anak-anak bermain di keteduhan perdunya

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang
gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara Beringin rebah ke bumi

…Namaku Beringin pohon tua yang terbuang
dimusuhi oleh rancangan bernama Pembangunan.

SN Usman Awang
1979