Jumaat, 15 Mei 2009

SELAMAT HARI BELIA

Cubalah bertanya kepada para belia dan beliawanis tanahair tercinta ini tentang signifikannya 15 Mei terhadap mereka. Adalah diyakini sebahagian besar para belia yang dibanci itu tidak sedar pun bahawa 15 Mei itu adalah hari khas untuk belia. Ramai yang tidak ambil pot dan buat ‘donno’ sahaja. Mereka hanya peka tanggal 14 Februari dan 1 Januari sahaja sebabnya - "so, kita boleh enjoy!"
“Amende belia-belia ni bang? Kita ni hip lah, mana rock belia-belia ni bang!”

Belia itu pun definisinya bercelaru. Apa tidaknya kalau yang usianya cecah 60 tahun pun masih belia - dalam erti kata menjadi ketua belia negeri dan nasional. Belia biasanya dirujuk dalam situasi rasmi seperti persatuan belia, belia felda, kompleks belia, menteri belia dan sebagainya. Dalam suasana santai orang tidak gunakan istilah belia. Sukar ditemui anak muda yang mengaku ‘kami belia felda’ tetapi lebih selesa menyebut ‘budak felda’, ‘budak kampung, 'town guys' dan lain-lain. Peliklah kalau belia sendiri membahasakan diri mereka sebagai ‘kami belia’ ketika berbual-bual di kedai kopi atau simpang jalan. Aktiviti berseronok tajaan kerajaan untuk belia pun tidak disebut ‘Rakan Belia’ sebaliknya 'Rakan Muda’.
Hakikatnya istilah belia itu hanya diguna pakai oleh orang tua bagi merujuk kepada orang yang lebih muda dan bagi mencerminkan orang tua begitu tertib dan betul wacananya.
Belia juga dikenal dengan sebutan remaja, anak muda dan pemuda. Adakah belia itu aset negara seperti ungkapan ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”? Memang benar dan tepat sekali bahawa belia adalah aset, harapan dan warisan sesuatu bangsa. Jika tiada belia siapa yang akan jadi penyambung keturunan, marga atau bangsa? Jika belia rosak dan terencat pertumbuhannya maka harapan bangsa –jika bangsa itu bercita-cita dan berwawasan- akan terencat dan musnah sebelum tiba ke destinasinya.

Pernahkah kita bertanya kepada belia apakah harapan mereka terhadap negara? Adakah mereka boleh memberikan analisis dan kritikan yang konstruktif terhadap polis dan perdana menteri? Pertanyaan sebegitu perlulah dibuat dalam rangka mendidik dan membina generasi belia kita.
Adakah betul cara kita mendidik golongan belia hari ini? Apakah mereka ibarat bahan mentah yang hanya perlu melalui proses-proses tertentu dalam sistem pendidikan untuk ditunggu hasilnya. Apa benarkah pembinaan modal insan akan terhenti buat seketika dan hanya akan muncul semula setelah Khairy Jamaluddin(KJ) menjadi Perdana Menteri ke-8 nanti. Itu pun kalau KJ masih mahu meneruskan hasrat bapa mertuanya yang tertangguh.

Segala persoalan tersebut tidak boleh dijawab pada hari belia atau dalam masa sehari dua. Sama halnya dengan persoalan apakah bahasa Melayu akan terus ‘hidup’ selepas 100 tahun akan datang. Jawapannya boleh dijangka jika pendekatan betul dibuat terhadap persoalan ini. Memang ramai pakar berpendapat bahawa bahasa Melayu akan pupus pada generasi akan datang kerana sebahagian dari ilmu sudah tidak diajar dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu tidak lagi jadi bahasa ilmu. Cuba kaji apa terjadi pada tulisan jawi. Hari ini buku teks agama Islam pun –yang sepatutnya mesra jawi- ditulis dalam ejaan rumi. Jawi hampir pupus dan dalam makna yang lain Melayu (yang dalam istilah lain disebut Jawi) juga akan hilang dari dunia ini.

Maka bagi maksud memelihara Melayu itu selain bahasa kelompok belia yang Melayu itu perlulah dipelihara dan diasuh agar menjadi Melayu. Perlu diingat Melayu itu tidak semestinya UMNO, sama halnya Cina itu tidak semestinya orang-orang di Republik Rakyat China. Melayu tulen adalah Melayu yang bercakap Melayu, berbudaya Melayu, ‘masuk jawi dan tahu menulis jawi! Kalau orang UMNO atau Perkida tidak tahu membaca dan menulis jawi maka mereka bukanlah Melayu tulen lagi .
Memelihara jatidiri dan ketulenan marga itulah yang diperlu dipupuk dalam jiwa belia dan beliawanis kita. Belajar menyanyi, berlakon, berkompang dan berjihad ekonomi itu hanya sisi-sisi lain bagi melengkapkan keupayaan Melayu itu sendiri. Janganlah ‘dididik’ belia kita untuk jadi ‘sumber manusia’ seumpama “asimo’ dan ditambah pula dengan rencah pekerjaan yang hanya perlukan minda yang kaku.
Andainya belia ‘didengari dan didahului’ , diasuh dan dilayan serta dijenamakan dengan betul pasti sekali para pemimpin kita tidak akan melihat sebahagian dari mereka yang merempit, menghisap dadah, merusuh dan menyokong pakatan rakyat lagi. Pasti dan yakin. Selamat Hari Belia.

2 ulasan:

  1. Sebab itu banyak belia-belia merempit dan meragut, kerana badan belia Malaysia ni dah mati.

    BalasPadam
  2. paling sadis bila badan belia diketuai oleh orang tua..haha

    BalasPadam