Selasa, 19 Mei 2009

BN BERTINDAK WARAS DAN BERANI (KAH?)

Dari sekian banyak ulasan tentang penarikan diri UMNO/BN dari menyertai pilihanraya kecil Penanti saya terpikat dengan tulisan ‘citrawan’ pemilik kuda-kepang. “BN bertindak waras dan berani", itulah kesimpulan beliau. Memanglah dari sudut pandangan ahli UMNO/BN yang tiada pilihan lain melainkan 'pemimpin semuanya betul' rumusan itulah yang paling tepat. Namun bagi yang meletakkan kuda-kepang sebagai pengamat politik yang berpaksikan semangat akademik, siapa yang percaya kepada lakonan ‘kenaifan’ politiknya itu?
Saya kira ulasan tersebut tidak bertolak dari keluhuran akal sebaliknya sebagai pengesah bagi tindakan itu semata-mata. Kalau begitu kita boleh meragui bagaimana mungkin para pemikir UMNO/BN mampu membuat penilaian komprehensif dan mengartikulasikan putra-minda (brainchild) Najib dengan semulus mungkin – dan diterima umum.

Sepatutnya hal tersebut ditanggap sebagai dilema baru kepada UMNO. Memberikan alasan bahawa Pakatan (PKR) mempermainkan mandat rakyat dan bertindak berdasarkan politik ala-Michiavelli hanya alasan yang ‘cantik dan sedap’ didengar sahaja. Tindakan waras dan berani BN terserlah hanya pada masa pengumuman itu sahaja, manakala selanjutnya akan dipandang sebagai penakut dan hanya berusaha untuk selamatkan diri sahaja. Sama ada perlu atau tidak pilihanraya kecil di Penanti seharusnya bertolak dari episod awalnya.
Dalam bicara akal sebahagian kecil orang UMNO pun tentu ada gaya fikir macam ini.
“Kalaulah SPRM tak ‘kacau’ Fairus sudah tentu tak kalut macam ini. Nampaknya SPRM bukan mahu buat selesai tetapi macam ‘nak perkena’ PKR saja. Media pun tumpang sama. Buat cerita seolah-olah Fairus nak lari keluar negara dan ditangkap di Johor Bahru. Nampak macam Fairus tu perasuah besar pulak”
“Bila Fairus letak jawatan SPRM kata tak dak kes pulak! Alahai salah skrip la pulak! Bagi membetulkan skrip yang herot tu, plot baru kena lah pulak dibuat. SPR pula cadangkan Fairus tarik balik letak jawatan ...apahal pulak dengan SPR ni? Orang dah letak jawatan suruh tarik balik pulak? Tak mau kerja ka, mau makan gaji buta ke? Tak jalan juga dengan cara SPR, apalagi gunakan hujah yang pilihanraya ini membazir, tidak selaras demokrasi dan macam-macam lagi”

Semua cakap-cakap tersebut sebenarnya boleh dielakkan jika ‘kita’ orang UMNO/BN tidak ganggu demokrasi. Kita ada cita-cita mahu menjatuhkan Pakatan Rakyat, maka kita reka dan gunakan pelbagai ‘trick’ atau helah. Namun apa yang malang sekali perangkap makan tuan! Apakah ini waras dan satu kebijaksanaan?

Merungut lagi orang UMNO (dan orang bukan UMNO juga), “Macam dalam kes Eli Wong. Apa pasai dah tak bising suruh dia letak jawatan? Dr. Khir dah habis idea ka? Apa pasai tak terus pertikai moralnya? Mungkin juga ini satu pengajaran. Politik rupanya boleh mendidik dan mendewasakan kita”.
“Ermmm...kita sudah belajar dari tidak cekapnya kita mempergunakan SPRM dan media. Kita perlu pergunakan SPRM, SPR, hakim, polis, media atau guru-guru secara halus -jangan biarkan mereka lebih kuah dari sudu. ‘Action’ lebih cepat dari skrip asal perlu dielakkan. Ermmm..ini masalahnya bila kita ada pegawai kerajaan yang advance politik berbanding kita yang bekerjaya politikus ini"

Kesimpulannya apa yang ingin saya tekankan di sini ialah sebagai pemikir seandainya kita mahu membetulkan keadaan bukan sekadar ‘mengiyakan’ biar pun hati kecil tidak setuju. Kadang-kadang kita perlu beritahu tuan kita apa yang betul. Dalam kes Penanti ini, sepatutnya kita celahkan sudut berhemat kita. Perlu dipertegakan bahawa Melayu ‘janganlah jadi pengecut dan kalah sebelum berjuang. Kita punya slogan ‘alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan ertinya lawan biar sampai ke titisan darah terakhir. Itu ertinya mendorong kepada ‘celik akal’ bukan mengesahkan keputusan akal yang kabur dan celaru. Ini hanya pendapat saya. Jangan kusutkan akal tuan-tuan dan jangan tuduh saya ganggu hal ehwal UMNO pulak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan