Selasa, 26 Mei 2009

KOMUNIS YANG JAHAT

Sedari kecil kita diberitahu bahawa komunis adalah pengganas dan jahat. Parti Komunis Malaya(PKM) atau Bintang Tiga sentiasa disurahkan orang tua atau difilemkan sebagai gerombolan yang bangsat, khianat, laknat, membunuh, merogol dan sebagainya. Biasanya ahli PKM yang ditonjolkan adalah dari keturunan cina dan ketuanya ialah Chin Peng. Manakala Komunis Melayu yang terkenal ialah Rashid Maidin selain Abdullah CD, Suriani Abdullah dan Shamsiah Fakeh. Tidak ramai orang Melayu yang diketahui menjadi komunis selain mereka. Maka komunis itu sangat sinonim dengan orang-orang cina.

Kenapakah komunis wujud di Tanah Melayu dam betulkah mereka jahat? Persoalan ini tidak pernah dijawab dengan adil oleh kerajaan. Menteri Pertahanan paling baru, DS Dr. Zahid Hamidi pula menjawab bagi pihak tentera dan ahli keluarga serta veteran pasukan keselamatan. Kata Menteri tersebut pihak tentera tidak setuju usaha membawa balik Chin Peng ke Malaysia dan mereka rasa amat kecewa dan terkilan. Ini berkaitan sejarah silam di mana ramai polis dan tentera yang cedera, mati atau hilang kerana berperang melawan komunis. Oleh itu jangan haraplah pihak kerajaan akan mengatakan komunis itu baik dan berguna. Komunis berketurunan Cina pula jangan sekali-kali untuk balik ke Tanah Melayu.

Namun demikian kerajaan tetap berkawan dengan Kerajaan Besar Komunis China, Rusia dan menghantar pelajar untuk belajar perubatan di wilayah komunis. Kerajaan juga berdagang dengan negara komunis atau sepupunya iaitu sosialis. Bagaimana pun rakyat Malaysia tidak ambil pusing hal ini kerana apa yang diberitahu kepada mereka oleh buku Sejarah, komunis yang jahat dan ganas hanyalah komunis dari jenis PKM. Komunis PKI, Parti Moaist, Parti Komunis China dan sebagainya bukan pengganas kerana mereka boleh masuk pilihanraya.

Inilah propaganda besar yang berjaya ditanam oleh British dan pemodal kapitalis dunia dalam kepala anak-anak bangsa terjajah. Sistem ekonomi yang terbaik adalah sistem modal kapitalis. Untuk orang Islam sistem itu akan diolah dan dicampur sedikit dengan istilah seperti riba’, musyarakah, muamalat dan sebagainya asalkan jangan ada bau komunis sudahlah. Kenapalah agaknya umat Islam secara menyeluruh tidak pernah nampak bahawa yang mereka setujui itu bukanlah sistem hakiki ekonomi Islam. Mereka hanya patuh sahaja apa yang diwariskan British, Belanda, Perancis, Amerika dan sebagainya. Oleh kerana British mengatakan PKM itu jahat maka sampai hari inilah mereka itu tetap jahat. Jangan berkawan dengan mereka kerana merekalah yang menyebabkan kaki dan tangan polis hutan kita putus dan cacat seumur hidup. Kerana merekalah kita akan sesat dunia dan akhirat.

Kenapa komunis boleh timbul di Tanah Melayu? Apa pula jenis perjuangan mereka dan kenapa mereka berjuang begitu teruk sekali. Ini tidak ditulis secara adil dalam buku tawarikh Tanah Melayu. Mereka hanyalah pengganas yang melawan 'kerajaan'. Kalau kita teliti sejarah secara komprehensisf maka kita akan dapati bahawa komunis inilah yang melawan ‘orang putih’ secara agresif. Kerajaan yang dilawan itu sejak 1948 hinggalah 1960 adalah 'Kerajaan British'. Manakala polis dan askar Melayu di mata British hanyalah ‘gurkha’ sama seperti askar gurkha sebenar yang dibawa masuk untuk menjaga kepentingan British. Tentu sekali veteran perang Melayu amat marah, kecewa dan rasa terhina bila mereka dilabelkan sebagai ‘gurkha’ –namun hakikatnya itulah apa yang sebenarnya telah diperbuat oleh Brtish terhadap bangsa kita. Kita jarang sedari hal itu kerana kita adalah 'bangsa merdeka'. Ketika itu orang Melayu hanya tahu jadi polis atau askar dan yang terbaik pun menjadi 'cikgu' manakala seorang dua anak bangsawan menjadi ADO. Maka wajarlah mereka terbunuh melawan komunis. Orang Melayu tidak pernah meghargai Melayu lain yang menentang British. Benarkah itu sikap baik 'orang putih' yang mengerah kudrat orang Melayu berlawan dengan pihak yang mahu mengusir mereka keluar dari Tanah Melayu?
"Tidak kira British baik atau jahat, kamu kena tahu komunislah yang membunuh orang Melayu, askar Melayu, polis Melayu. Komunis tidak bunuh orang putih kerana kita sudah merdeka! Kamu budak-budak, apa kamu tahu! Janganlah jawab sambil marah-marah! Memang komunis tidak bunuh orang putih sebab itu tuan kita dan mereka berada di England atau di bandar-bandar besar yang selamat. Mereka tidak masuk hutan - sebab mereka tuan kita!
Memang tidak habis konflik sebegini jika kita hanya tahu berdendam. Ada yang berdendam kepada komunis dan ada yang berdendam kepada Britih. Cumanya sekarang kita perlu lebih berakal dan berlapang dada (rational dalam bahasa orang putih).

Kenapa pula ‘Cina mata sepek’ pula yang galak mahu usir British dari Tanah Melayu dan bukannya orang Melayu sendiri. Jawabnya mereka itu sejak dari zaman Jepun lagi sudah mahu halau Jepun dan diteruskan setelah British masuk semula. Britishlah yang membekalkan senjata kepada komunis-komunis tersebut untuk lawan Jepun. Sudah lupakah sejarah itu?
Perjuangan utama mereka adalah 'menghalau penjajah' keluar dari Tanah Melayu tidak kira siapa pun! Ini gagal difahami oleh askar, polis dan ahli politik Melayu ketika itu. Mereka terima semula ketuanan British dan bekerjasama dengan Brtitish seterusnya memohon kepada Queen untuk dimerdekakan. Mereka bangga mengatakan "kita rakyat Tanah Melayu merdeka tanpa pertumpahan darah". Merdeka dengan aman –ibarat mati dalam iman!

Sesiapa yang tidak mengikut orang Melayu maka mereka adalah musuh Tanah Melayu. Itulah yang diajarkan oleh British dan setelah merdeka pun hegemoni mereka tetap bertahan di Tanah Melayu Merdeka atas alasan memutihkan kawasan hitam zaman darurat.
Hal inilah samalah dengan apa yang berlaku di Iraq atau Afghanistan. Pihak yang menentang 'pencerobohan' Amerika adalah pengganas. Semasa Amerika memasuki Iraq ‘membawa demokrasi’ dan menyedut hasil bumi Iraq mereka menentang. Apabila Amerika keluar mereka tetap juga menentang kerajaan yang ada. Kata mereka itu adalah kerajaan buatan Amerika. Selamanya atau mungkin sehingga 50 tahun akan datang mereka tetap pengganas. Barangkali sesetengah dari kita melihat mereka sebagai wira bangsa namun meraka adalah penganas di mata kerajaan merdeka dan masyarakat dunia.

PKM adalah pengganas di mata kerajaan dan askar Melayu. Setelah negara merdeka dan pemikiran rakyat diasuh dengan politik perkauman maka kesakitan melihat Cina komunis atau Cina yang simpati komunis bertambah-tambah. Maka sebarang usaha membawa balik Chin Peng hanyalah dilihat dari sudut perkauman iaitu orang Cina merdeka mahu membawa balik Cina komunis. Mereka juga pasti telah diresapi pemikiran komunis. Askar dan polis Melayu sangat marah dan kecewa. Semuanya ini perlu ditentang. Pewaris Melayu, Perkida Melayu, NGO Melayu, ustaz Melayu dan semua yang bernama Melayu perlu menentang usaha keparat ini.
Namun perlu juga digeletek akal. Bagaimana nanti kalau sekiranya pemimpin Melayu yang berbuat demikian, maka bekas PKM itu akan tetap pengganas lagikah?

11 ulasan:

  1. Salam,
    Perjuangan yang benar tapi tak betul.
    Benar kerana memperjuangkan untuk pertahankan tanahair dari belenggu penjajah.
    Tak betul kerana perjuangan dengan cara menyalahi undang-undang negara.
    Apa pun ucapan jutaan terima kasih kepada PKM kerana sumbangan anda jugalah memberi kebebasan kepada pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman membebaskan negara dari belenggu penjajahan Jepun dan British.
    Sumbangan anda adalah salah satu penyebab terhasilnya kemerdekaan Malaya.
    http://www.zoompanas2.com/2009/05/parti-komunis-malaysia-pkm-dalam-blog.html

    BalasPadam
  2. Salam Saudara, jangan membuat andaian mengatakan komunis adalah pengganas di mata ASKAR MELAYU. Baca balik kronologi bagaimana komunis ditubuhkan. Jangan samakan situasi sekarang dengan situasi zaman darurat. Memang benar sekarang ramai pelajar dihantar belajar di Russia, China dan beberapa negara bekas komunis dan negara yang komunis yang telah liberal kepada sisoalist. Memang benar sekarang Malaysia ada hubungan perdagangan dengan Rusia, China dan Vietnam.
    Jangan samakan suasana sekarang, kerana kalau benar MPAJA yang disokong dan dibekalkan senjata oleh British menentang Jepun tidak mahu meletak senjata tetapi menentang British. Bangsa ini mahu memerintah Tanah Melayu dan tidak mahu mendapatkan kemerdekaan dengan cara aman dan bukan dengan cara menggunakan senjata. Maka mereka meminta bantuan Negara China yang mengamalkan fahaman komunis.
    Adakah saudara faham dengan objektif fahaman komunis pada masa itu? Adakah saudara faham dengan perjuangan komunis pada masa itu? Kalau tidak faham jangan membuat andaian mengatakan hanya ASKAR MELAYU dan kerajaan menganggap PKM itu pengganas. Kalau tidak ada askar melayu mungkin hidup saudara dalam ketakutan sekarang dan tidur malam saudara juga tidak akan lena.
    Mungkin saudara akan menganggap PKM itu pengganas sekiranya saudara-mara terdekat dibawa tengah malam dan hilang sehingga ke hari ini. Cuba saudara baca balik, apa yang MPAJA yang majoritinya keturunan China lakukan selama beberapa bulan sebelum British masuk semula ke Tanah Melayu. Banyak orang Melayu hilang tidak berkubur sehingga sekarang. Saya bukannya ada niat perkauman di sini. Tetapi untuk membalas tulisan saudara yang nyata menyinggung perjuangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
    Jangan hanya memandang perjuangan sekumpulan pejuang yang berlandaskan fahaman komunis di bawah PKM. Tapi lihat secara menyeluroh senario komunism pada masa tersebut. Kalau saudara lahir setelah negara ini aman, cuba bertanya kepada orang-orang yang merasai kehidupan semasa MPAJA yang akhirnya menjadi PKM. Sayang sekali pada hari ini, telah berlaku anak Melayu yang menjadi buta terhadap sejarah. Seperkara lagi, jangan campur adukkan suasana politik sekarang dengan perjuangan pengganas komunis. Saya kata pengganas sebab saudara terdekat ada yang terkorban dan cedera serta cacat kerana berjuang menentang komunis pada masa itu. Tindakan mereka tidak dapat saya maafkan. Fikir-fikirlah sebelum menulis.

    BalasPadam
  3. Kawan rasa tuan silap, jangan menilaikan perjungan PKM kerana tuan mungkin benci pada UMNO, walau pun kerana wujudnya UMNO yang membawa tuan mungkin hidup sebaik sekarang.

    Apakah tuan yakin, kalau PKM dibawah teraju Cing Peng, orang Melayu bermaruah ? Cuba tuan tanya kpd orang yg tuan kata pahlawan-pahlawan Melayu dalam PKM, kemana kuasa dan suara mereka sewaktu penduduk-penduduk kampong tak berdosa berbangsa Melayu diheret untuk dibunuh tanpa bicara ? Kalau daam PKM, pahlawan Melayu ini tidak berani bersuara, mampukah membangunkan bangsa Melayu dan Islam untuk negara ?

    Tuan mungkin dapat belajar tinggi dan bekerja dengan Kerajaan BN, kerana hasil dasar-dasar Negara yan telah dilaksanakan UMNO. Jangan jadi orangyang tidak bersyukur dan berterima kasih....... hanya fahaman komunis sahaja yang tidak percaya dan redha bahawa Allah itu tuhankita.....

    BalasPadam
  4. Analisis yang berdasarkan perkauman adalah cetek sekali. Sering kali diperkatakan ASKAR MELAYU dan POLIS MELAYU. Sedarkah kita bahawa sebelum 1957 yang dikatakan ASKAR MELAYU dan POLIS MELAYU itu hanya REJIMEN MELAYU TENTERA BRITISH? Dulu dipanggil BMA. Terminologi "TENTERA BRITISH" sengaja digelapkan supaya orang Melayu hanya melihat "Melayu"nya saja. Nah, ini lah sepak terajang semantik yang masih berkekalan hingga ke hari ini. Memang, itu kerana sejarah ditulis oleh pihak yang menang. Cuba lihat filem Bukit Kepong. Polis di situ hanya polis British berbangsa Melayu. Ada satu watak penting yang sengaja tidak dimasukkan dalam filem itu iaitu pegawai polis yang menjadi pegawai polis daerah atau negeri pada ketika adalah ORANG PUTIH. Jika dimasukkan watak ini ternyata orang Melayu akan nampak siapa yang jadi anjing orang putih sebenarnya!

    Nasib PKM sama macam nasib Dato' Bahaman, Mat Kilau dan sahabat hinggakan zuriat Dato' Bahaman dibuang ke Chiang Mai hingga ke hari ini. Zaman itu kan Dato' Bahaman dianggap pengkhianat? Puluhan tahun kemudian baru lah Dato' Bahaman dan para sahabat dianggap pejuang. Padahal pada waktu dia berjuang gerila dia terpaksa bersembunyi dari British dan juga orang Melayu yang menjadi anjing British termasuk lah raja-raja Melayu. Hingga kini masih terdampar keturunan Dato' Bahaman di Chiang Mai. Apa bezanya dengan situasi PKM dalam zaman moden ini?

    Tanpa PKM Malaya tidak akan merdeka itu adalah kenyataan. Para penyempat UMNO menangguk di air keruh maka merdeka lah Malaya TIDAK 100% dengan hasil bumi terutama getah masih dimiliki oleh British.

    Soal "askar dan polis Melayu" marah kalau Chin Peng balik itu masalah apa sebenarnya? Adakah mereka ini sanggup jadi askar kalau tidak diberi gaji? Memang lah jadi askar kena bertempur...dah tu bila kena bedil nak marah?

    Chin Peng yang pandai baca Jawi tidak diberi balik ke tanahair...CUMA BALIK KE TANAHAIR, tapi Lim Goh Tong yang cakap Melayu pun tunggang terbalik diberi hadiah GUNUNG GENTING untuk orang-orang elit UMNO dan kerabat main judi! Ini lah Melayu dan Islam yang diwar-warkan oleh mereka yang menulis sejarah dipihak.... Tidak membenarkan Chin Peng balik ke tanahair hanya tindakan orang yang takut dengan kebenaran dan kekuasaannya digugah.

    BalasPadam
  5. Salam ziarah balas sdr.

    Rencah fikiran saudara pada dasarnya saya setuju. Cuma kita masih gagal menyelami apakah tujuan perjuangan mereka sebenarnya. Kita masih samar di dalam hal itu. Sejarah yang berlakarkan tulisan dari British dan pemerintah sudah pasti menggelapkan sebab dan tujuan perjuangan sebenar mereka. Apa yang dipaparka adalah mereka ingin menghalau British dan menubuhkan Negara Raya Komunis termasuk Indonesia. Itulah yang lebelkan pada Komunis Cina.

    Yang Komunis Melayu pula bagaimana? Apakah tujuan mereka juga sama? Ingin menghalau British, memerdekakan Tanah Melayu dan menubuhkan Negara Komunis atau Negara Islam? Pihak yang digelar Komunis Melayu ini tidak pernah bercakap tentang Negara Islam yang merdeka selain dari ramai di kalangan mereka yang berkelulusan dan belajar agama di sekolah-sekolah pondok pada masa itu.

    Dan kalau disingkap peristiwa lampau Komunis Melayu ini tidak kurang juga kejamnya. Mungkin alasan mereka, kekejaman yang mereka lakukan terhadap orang melayu adalah kerana orang melayu sendiri menjadi Talibarut Penjajah British dan Jepun. Pada mereka darah orang-orang ini halal. Tapi satu persoalan lagi timbul, adakah semua yang menjadi mangsa kekejaman Komunis ini adalah memang Talibarut? Saya tidak ada masalah sekiranya memang ianya benar.

    Tentang tentera dan polis saya tidak mahu sentuh sebab walau siapa pun yang memerintah dan berkuasa, mereka hanya hamba kepada yang memerintah dan pastinya akan menurut perintah. Terasnya memang mereka berkhidmat kepada Rakyat dan Negara tetapi mereka sememangnya tertakluk kepada perintah yang berkuasa memerintah. Contohnya Polis ditubuh dan diwujudkan untuk menjaga kepentingan Negara dan Rakyat tetapi adalah mereka tidak pernah menzalimi rakyat? Mereka tetap akan mengikut perintah walau pun mereka tahu tindakan mereka itu salah dan zalim sebab mereka tertakluk kepada perintah. Yang salah guna kuasa itu tidak perlu dihujahkan sebab perkara itu berlaku di mana-mana dan kepada sesiapa saja manusia yang kurang iman.

    BalasPadam
  6. tanggapan sdr tentang sejarah bangsa menarik.kepada saya terserah kepada diri sendiri bagaimana mahu meletakkan sejarah itu ditempatnya.dan tentunya dalam kita memahami sejarah itu,tentu ada pro dan kontra disamping kita tidak boleh memisahkan faktor emosi serta pengalaman silam.
    sebenarnya masih banyak sisi sejarah yang masih belum terungkai kerana tiadanya upaya yang benar-benar rulus dari mereka yang berwenang untuk menggalinya.cuma kepada saya,sementara kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju didalam memberikan wewenang kepada pelaku dan peristiwa sejarah,yang penting adalah kesediaan kita untuk mendengar,mememerhati dan seterusnya menghargai sejarah.apapun,kita,orang Melayu sesungguhnya menggalas beban sejarah.
    jadi,saya kira kejernihan fikiran diperlukan didalam kita cuba mengkaji,merungkai dan memahami sejarah khususnya yang membabitkan tragedi atau pengalaman peribadi sesetengah individu.
    maka perdebatan yabg sihat diperlukan.
    maka,teruskan mengkaji dan meneliti.

    BalasPadam
  7. Salam GA
    Ulasan tuan sangat menarik. Saya simpulkan camni. British memang tak nak bagi kita merdeka. Kalo takat UMNO yang hanya berani meludah dan naikkan sepanduk 'Malaya for Malays' jer, usahler diharapkan kita akan merdeka. Mesti ada penyebabnya kenapa British sanggup berkawan dengan UMNO. Sebabnya British takut pada PKMM. PKMM ini Melayu tapi dianggap musuh oleh UMNO. Alang-alang udah dikatakan musuh, baikler angkat senjata join PKM. Janji boleh merdekakan tanah air.
    Rumusannya, PKMM adalah perintis kemerdekaan. PKMM ler yang berjuang di barisan depan sehingga letih British dikerjakan oleh PKMM. British gunakan UMNO untuk mengawal kemarahan Melayu terhadap British. Lastnya UMNO jer yang dapat nama memerdekakan negara.
    Aci ker?

    BalasPadam
  8. APA ERTI PERJUANGAN?

    Askar atau polis mereka berjuang?ya atau tidak?Ya kerana berjuang mengekal keamanan negara.Tidak kerana mereka dibayar untuk berperang.Pejuang tulen tidak dibayar untuk berjuang menegakkan idealogi masing masing.PKM dibayar?tidak mereka berjuang kerana percaya kepada idealogi mereka menentang sebarang bentuk penjajahan cuma cara yang diguna pakai ialah perjuangan bersenjata.Ada berbagai jenis pejuang dibumi ini ada pejuang yang tulen ada pejuang yang mementingkan imbuhan semata.Sejarah tidak bisa diputar belitkan ia adalah satu fakta.PKM adalah pencetus kepada kemerdekaan negara.Cuma didalam buku buku sejarah mereka ini dianggap sebagai pengganas dan pengkhianat bangsa kerana sejarah itu sendiri sudah diputar belitkan oleh yang berkepentingan maka sejarah wajar dikaji semula jangan menidakkan sumbangan mereka didalam perjuangan memerdekakan tanah air.Dato Maharaja Lela juga dianggap sebagai pengganas dan pengkhianat semata-mata beliau membunuh JWW Birch.Beliau dianggap sebagai pengganas kerana menentang kerajaan British semasa itu.Memang diakui didalam perjuangan lebih lagi perjuangan bersenjata memang ada colatteral damages.Ada pihak yang terkorban dan berkorban.

    BalasPadam
  9. Sila baca sendiri buku2 shamsiah fakeh, abdullah cd dan rashid maidin. Nilai sendirilah. Pada saya ada beberapa persoalan (yang saya telah ajukan kepada penulis blog Kampung perdamaian sukhirin, namun telah dipadamkan).

    1. Gerakan komunis termasuk rej ke-10 'membasmi hantu'. Nyatalah bahawa kerja2 membunuh rakyat tersebut adalah tanpa sebarang perbicaraan. Apakah ini bukan pengganas? Kejadian ini berleluasa di serata pelusuk negara pada ketika itu. Ini bukan kes2 terpencil. Apakah pimpinan PKM termasuk yang melayu tidak tahu hal ini?

    2. Kejadian pembunuhan anak allahyarhamah shamsiah oleh dua pengganas komunis cina. Kedua2 mereka ini tidak dihukum sewajarnya atas alasan bayi itu belum berjasa kepada revolusi. Adilkah ini? Kenapa pimpinan PKM yang melayu Islam tidak membantah? Wajarkah menggadaikan nyawa bayi tidak berdosa dan hukum-hakam demi perjuangan ynag sia2 itu?

    3. Satu rejimen komunis berbangsa cina tidak mahu bekerjasama membantu melengkapkan persenjataan rej ke-10, walaupun mereka ada kelebihan senjata. Apakah terlalu pariah rej ke-10 itu pada pandangan komunis cina itu? Chin Peng sendiri pun tidak membantah tindkan ketua rejimen cina itu. Apakah ini bukan bukti cauvinis cina dalam pkm?

    4. Semasa dalam hutan ideologi komunis didoktrinasikan melalui kelas2 ideologi yang diadakan dari semasa ke semasa. Apakah pada pandangan pahlawan melayu itu, ideologi komunis bersesuaian dengan agama?

    cukup untuk kali ini. Tuan2 boleh baca sendiri dalam buku2 yang ditulis sendiri oleh kmonuis2 ini. Mereka masih berfahaman komunis sehingga hari ini. Bacalah sajak dan lagu2 dalam buku abdullah CD.

    BalasPadam
  10. Whats the problem?

    Commie-Panic! Nu generation have right to kow truth

    BalasPadam
  11. Siapa-siapa yg mengatakan komunis itu berjasa memang tak berakal...mmg la komunis tu melawan british...tapi untuk ape ?untuk kebebasan tanahair? jawapannya tidak samasekali..ini kerana mereka mempunyai agenda untuk memerintah negara ini..amat pelik bangsa melayu yg percayakan Allah dan seorg muslim boleh menyokong komunis yg terang menolak agama..kalau untuk membebaskan negara mengapa setelah merdeka ..komunis bangsat ini masih menentang kerajaan?Sekali lagi ...bodoh dan tidak berakal sesiapa kata komunis itu berjasa...

    BalasPadam