Isnin, 4 Mei 2009

Berkat

Saya ditanya oleh seorang teman yang bukan Islam. “Tuan, apa itu berkat?”. Agar sukar menjelaskan sesuatu yang sangat abstrak. Saya soal kembali kepadanya “Apakah dalam agama tuan tidak ada konsep berkat?” Dia hanya ualangi soalan asal. Saya pun tidak pasti apakah konsep berkat yang digunakan oleh agama-agama selain Islam. Namun yang perlu akal saya jelas ialah bagaimanakah konsep berkat itu harus menyerata dan difahami merentasi budaya. Memang dalam sesetengah ideologi berkat itu tidak penting. Pemikiran rasional ternyata menolak keperluan berkat kerana yang terpenting sekali ialah hasil dari tindakan bukannya janji pembalasan yang tidak pasti dan kabur.
Teman tadi ternyata ingin mengetahui konsep berkat namun memberikan penjelasan dengan kata-kata dan rujukan kamus adalah tidak memadai. Berkat itu perlu dirasai dan disentuh bagi mendapat makna yang muktamad. Perkara mujarad sebegitu tidak dapat dicapai oleh pancaindera yang zahir. Menyentuh dengan nurani dan iman tentunya memerlukan si pelaku memasuki alam iman itu iaitu masuk Islam. Kalau sudah Islam tidak perlulah lagi penjelasan kerana sudah ada kemungkinan merasainya sendiri. Maka di sini akal perlulah bijak mengatur bicara dan memberikan misalan yang jelas.
Kalau kita bekerja siang dan malam untuk menyara keluarga adakah berkat? Jawabnya ada dua kemungkinan iaitu sama ada berkat atau sebaliknya. Rukun pertamanya bertolak dari niat ingin kumpul rezeki halal. Selanjutnya cara mesti halal, hasilnya mesti halal, penggunaan hasilnya mesti juga halal, pelupusannya juga mesti halal.
Berkat juga ada kaitan dengan amanah, kerendahan hati, kebijaksanaan mengurus, asertif, penggunaan masa dan segala-galanya. Katakanlah kita ingin menjadi jutawan yang mendapat berkat, pertamanya niat mestilah kerana Allah. Segala perbuatan mestilah amanah, tidak bongkak atau menunjuk-nunjuk. Penggunaan masa mestilah efektif agar tidak membazir dan wujudnya pembahagian masa untuk kerja, ibadat dan belajar. Mahu jadi jutawan perlu juga kaji sistem bank yang tidak amalkan riba, tidak ada syubahat, tidak ada lagha dan tidak berlebih-lebihan. Selanjutnya bagi menjamin keberkatan berpanjangan perlulah bersadaqah dan zakat. Berkat juga ada kaitan dengan asertif? Sudah pasti! Kita perlu tegas dengan prinsip. Umpamanya dalam proses menjadi jutawan kita mesti tegas dengan konsep aurat, pergaulan, waktu solat, makanan dan segala-galanya.
Menerangkan konsep berkat dalam konteks silang budaya amatlah sukar –khususnya kepada non-muslim. Apa yang pasti berkat itu adalah sebahagian dari cara hidup Islam. Mendapat berkat beerti mendapat bahagia dan keredaan serta keampunan Allah. Bagi seorang muslim berkat itu boleh dikaitkan dengan pembalasan dosa atau ganjaran pahala. Di dunia ini pun jika hidup tidak berkat boleh dinilai sendiri iaitu sama ada kita merasa bahagia atau tidak. Berkecukupan masa dan keperluan hidup atau tidak. Itu semua adalah tanda-tanda sama ada hidup berkat atau sebaliknya.
Bagaimana halnya orang yang tidak mendapat berkat tetapi tetap kaya raya? Persoalan ini bergantung pula kepada kepercayaan anda terhadap konsep berkat itu. Kalau anda percaya berkat itu tidak perlu ada, maka begitulah tanggapan anda terhadap persoalan di atas.
Kepada temanku yang bertanya soalan tentang sebegini, ku pohon maaf kerana teramat sukar untuk dijelaskan konsep berkat-sama sukarnya dengan keinginan untuk merasai sendiri keberkatan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan