Sabtu, 16 Mei 2009

SELAMAT HARI GURU!

“Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat ‘cikgu’ kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.”

(SN Usman Awang, 1979)


Seperti yang pernah kucatatkan sebelum ini sempena 1BlackMalaysia, Cikgu Mat Black merupakan antara insan guru yang begitu berjasa dalam mendidik anak bangsa. Biar pun digelar Mat Black namun hatinya tulus dan jiwanya cekal menjalankan amanah. Sekali lagi tabik untuk Cikgu Mat Black sempena Hari Guru 16 Mei 2009.
Setiap orang pasti pernah ‘mengadap’ atau bertemu dengan insan bergelar guru dalam hidupnya – sama ada guru formal atau tidak formal. Ustaz, ustazah, tok guru, mahaguru, cikgu atau profesor adalah antara panggilan yang diberikan kepada guru oleh anak-anak didiknya. Guru juga disebut pendidik dan pensyarah di Institut Perguruan pernah diistilahkan sebagai ‘Pendidik Guru’.
Hari ini aku ingin berkongsi susur pengalaman peribadiku bersama guru-guruku- sebagai rakaman penghargaan untuk guru-guru sekalian. Guru rasmi pertamaku ialah guru kelas darjah satu bernama Cikgu Norma yang mengajar bahasa Melayu, manakala Cikgu Mat Isa atau Pak Andak(panggilan kampung) pula mengajar Kira-Kira. Guru keturunan Cina yang pertama mengajarku ialah Cikgu Chow semasa aku berada dalam darjah lima. Tahun itu jugalah mencatat sejarah di mana sekali dalam hidupku aku mendapat nombor satu dalam kelas. Masih kuingat pujian yang diberikan oleh Cikgu Chow setelah mengumumkan kedudukan dalam kelas ketika itu. Apa yang sangat aku puas hati ialah dapat mengalahkan dua orang rakanku, murid ‘regular’ yang sering dapat nombor satu dan dua. Mereka pun kini barangkali sudah hampir bergelar professor di universiti tempatan.
Guru kelas terakhirku semasa Tingkatan 6 Atas ialah Pn. Zainiah Mohamad. Di universiti pula guru kelas pertamaku bernama Dr. Rosnani. Beliau tidak mengajar kami tetapi sekadar menjadi Penyelaras Program. Guru terakhirku di universiti ialah En. Baharuddin, yang seingat aku tetap ‘menunggu penuh sabar’ sehingga selesainya kertas penyelidikan aku. Ketika itu semua rakan satu ‘batch’ sudah selesaikan keperluan kredit masing-masing dan sudah 'blah', berlepas ke destinasi asal masing-masing. Tidak dapat kupastikan apakah beliau marah dengan kealpaan aku itu.
Guru silat aku yang pertama dan terakhir ialah Ustaz Mokhtaruddin, ketika itu aku kira beliau masih belum jadi pelakon popular. Sempat juga belajar sekelumit ilmu tentang spelet tapak tiga. Guru al-Quran aku hanya dipanggil Tok Lang Son. Dari zaman datuk, nenek, ibu dan bapa kami sampailah sekarang , semua anak muridnya memanggil Mak Lang atau Tok Lang, bukan ustazah atau cikgu. Guru Besar yang rapat dengan ayahku ialah arwah Cikgu Md Desa yang aku kira antara orang yang mula-mula gunakan kereta Datsun 120Y ketika itu. Beliau juga banyak menasihat dan jadi 'kaunselor' kepada ayah tentang arah tujuan pelajaranku.
Guru Warden pertamaku bernama Abu Bakar bin Faizal Din. Dari nama Abu Bakar inilah aku mendapat ilham mengarang salasilah keluagaku kerana kebetulan Bakar itu nama datukku. Jadilah salasilahnya begini….Abu Bakar bin Fisoldin bin Zaini bin Noordin bin Ali bin Hamid bin Januari. Semua mereka itu adalah rakan-rakan sekolahku dan yang terakhir itu adalah seniorku dari Sabah di mana bila sampai nama banya, aku sudah tidak dapat lanjutkan lagi salasilah keluargaku dan ternoktah di situ. Warden ini banyak meninggalkan kenangan kerana memang tugasnya perlukan ketegasan dan garang dengan penghuni asrama. Maka seringkali kami didenda dan denda yang pertama aku dapat ialah mengunyah bola getah yang dihiris kecil-kecil. Ini adalah pengajaran kerana sebab bola itulah kami terlewat solat berjamaah Maghrib. Padan muka bola itu dan kami juga! Namun kami tidak pernah simpan kemarahan itu dan terus dewasa dengan peristiwa tersebut.

Ada juga guru yang memberikan peluang kami berbahas dengannya. Natijahnya ada dari kalangan pendebat yang ‘berani’ berdebat dengan beliau hari ini menjadi Ketua Pemuda Parti Politik, Pengurus Sekolah Swasta, Wakil Rakyat(ADUN) dan Pensyarah universiti. Terima kasih Cikgu Abdul Hadi. Aku masih ingat Cikgu Abdul Hadi ini kerana beliau juga dikaitkan dengan watak Cikgu Hadi dalam cerpen ‘Pak Utih’ karya SN Shahnon Ahmad. Sampai satu peringkat kami fikir Cikgu Hadi inilah yang menjadi pendorong kepada keluarga Pak Utih untuk keluar ke Pekan Alor Setar. Beliau jugalah mengusulkan frasa 'tontonan khayalan' dan 'dongengan perasaan' bagi menggambarkan isi akal dan resah emosi kami - anak-anak remaja.

Itulah sekelumit catatan kenanganku bersama guru-guru yang dapat diturunkan di sini. Sesungguhnya mereka mewakili guru-guruku yang sangat berjasa sepanjang hidupku. Tidak dapatlah dirakamkan semuanya dalam ruang yang terbatas ini. Biar pun ada yang berkata bahawa sejarah dan pengalaman juga merupakan guru namun guru yang hadir berinteraksi – senyum, marah, tangis, leteran atau motivasi dan restu - merupakan anugerah terbaik bagi seorang pelajar.
Kepada semua guru di mana jua cikgu-cikgu berada diucapkan terima kasih. Bagi yang telah meninggalkan kita sedekahkan al-Fatihah dan tafakur memperingatinya. Mudah-mudahan bahagia di ruang abadi sana. Selamat Hari Guru, Cikgu.



2 ulasan:

  1. saudara,

    terima kasih atas komen yang menarik...cerita anda juga menarik..

    www.duniacacamarba.blogspot.com

    BalasPadam
  2. cikgu mat black tu kena tngkp dgn polis x?haha

    BalasPadam